3,200 hektar TRM di Selangor hilang antara 2019-2021

- Advertisement -

PAS Selangor meneliti isu data Tanah Rizab Melayu setakat 30 November 2022 sebagaimana yang didedahkan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik bin Nik Ahmad melalui ciapan di laman twitter beliau Nik Nazmi on Twitter: “Kalau dengar jawapan penuh saya di Dewan Rakyat, saya merujuk semua data yang diberikan oleh PTG setiap negeri. Secara keseluruhan keluasan Tanah Rizab Melayu memang meningkat (daripada tahun 1947 hingga 2022). Penurunan Kedah merujuk kepada data antara 2021-2022. https://t.co/BJ0naJGvCL” / Twitter tempoh hari.   

Bagi tahun 1997, data yang dikemukakan tersebut menunjukkan Tanah Rizab Melayu di Selangor mencatatkan jumlah sebanyak 170,940 hektar. 

Namun, terdapat penurunan ketara daripada tahun 2019 hingga 2021.  

PAS telah memerintah Negeri Selangor melalui Pakatan Rakyat pada tahun 2008, sejak itu Rizab Tanah Melayu mencatatkan peningkatan yang ketara sebanyak lebih 30,000 hektar. 

Namun, jumlah Rizab Tanah Melayu mulai menurun secara mendadak daripada tahun 2019 hingga 2021 sebanyak 3,200 hektar.  

Berdasarkan data yang dikongsikan, Rizab Tanah Melayu di Kelantan yang diperintah oleh PAS telah mencatatkan jumlah paling tinggi dalam negara iaitu sebanyak 1.453 juta hektar. 

Manakala, Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak tiada maklumat yang jelas berkenaan Rizab Tanah Melayu atau hak milik Bumiputera.

Atas dasar akauntabiliti dan tatakelola yang baik, PAS menggesa kerajaan negeri Pakatan Harapan di Selangor memberi penjelasan kepada rakyat dan orang Melayu berkenaan kehilangan 3,200 hektar rizab Tanah Melayu di negeri ini untuk tempoh dari 2019 hingga 2021.

Sehingga kini tiada penggantian penuh dibuat dan ianya bertentangan dengan Enakmen Rizab Melayu (ERM 1933) di mana “Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti. Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah merujuk kepada Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan.”  

Kelemahan dan kecuaian kerajaan negeri di bawah PH tidak lagi boleh dimaafkan oleh rakyat dan majoriti orang Melayu apabila hak mereka tergadai sedangkan ERM telah dijamin Perlembagaan bagi memastikan tanah-tanah kepunyaan Melayu dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman.

PAS Selangor komited mewujudkan Negeri Selangor yang bersih, sejahtera dan toleransi.   

DATO’ DR. AHMAD YUNUS HAIRI 
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS
Negeri Selangor 
Jumaat 
7 April 2023M / 16 Ramadan 1444H – HARAKAHDAILY 7/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -