Peristiwa Badar: Mencermati Sirah Baginda S.A.W

- Advertisement -

PERTENTANGAN dasar perjuangan

Sekiranya kita menuruti asal usul pertentangan antara Musyrikin Makkah dengan Nabi S.A.W, kita akan dapati ia bermula dengan pertembungan dua asas utama. Iaitu pertembungan antara agenda pembodohan pembesar Makkah, dengan agenda mencerdikkan umat yang dibawa oleh Baginda S.A.W.

Ia dibayangi dengan pertembungan aqidah. Antara aqidah yang betul dengan pegangan yang salah. Demi pengaruh dan komersial berhala, pembesar Makkah melaksanakan agenda pembodohan. Antaranya, melalui produk yang dihasilkan atas nama agama (percaya kepada dewa), ia sangat membantu ekonomi mereka.

Justeru, untuk memastikan survival ekonomi ini, mereka perlu terus membodohkan masyarakat Makkah dengan kepercayaan tahyul. Pembesar Makkah mula tergugat apabila Nabi S.A.W mengisytiharkan kenabian, selepas 3 tahun dakwah secara sembunyi.

Masing-masing bimbang, agenda mencerdikkan umat dengan wahyu-wahyu Tuhan, akan memecahkan tembelang mereka selama ini dalam bab kepercayaan. Sebab itulah bingkai wahyu yang diturunkan di Makkah (Makkiyyah) lebih bersifat kepada pembentukan cara fikir.

Allah S.W.T menamakan Perang Badar sebagai يوم الفرقان di dalam Surah al-Anfal ayat 41, yang bermaksud Hari Pembeza, iaitu membezakan antara kebenaran dan kebatilan. 

Pembesar Makkah menjaja fahaman polytheisme (pendewaan) yang menyesatkan dan mereka beroleh untung daripada penjajaan tersebut. Manakala Nabi S.A.W membawa agenda keimanan yang terbina daripada akal yang berfikir dengan betul.

Hasil pembinaan akal dan pembentukan cara fikir, melahirkan sebuah kefahaman di kalangan Sahabat R.A. Mereka tahu dan sedar mereka berjuang atas dasar apa. Mereka tahu matlamat hidup mereka. Mereka tahu kenapa mereka mesti menegakkan kebenaran.

Mengukuhkan kefahaman orang beriman

Manusia dikurniakan akal untuk berfikir. Tabiat akal adalah inginkan bukti untuk mengesahkan sesuatu perkara. Bukti demi bukti akan mengukuhkan lagi keimanan dan pegangan seseorang yang beriman. 

Demikianlah dalam Peristiwa Badar. Pengukuhan Iman itu dengan pembuktian daripada Allah S.W.T untuk membantu hamba-hamba yang memperjuangkan agamaNya. 

Allah S.W.T berfirman;

- Advertisement -

وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”

(Ali-Imran: 123)

Perang Badar mencetuskan kefahaman Tauhid yang cukup mendalam. Apatah lagi Allah S.W.T menyatakan dalam ayat-ayat berikutnya, membuktikan bahawa Allah benar-benar menunaikan janjinya. 

Di hujungnya Allah S.W.T menyatakan;

وَمَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ لَكُمْ وَلِتَطْمَئِنَّ قُلُوبُكُم بِهِ ۗ وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ (126) لِيَقْطَعَ طَرَفًا مِّنَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَوْ يَكْبِتَهُمْ فَيَنقَلِبُوا خَائِبِينَ (127)

“Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana. (126) (Kemenangan Badar itu) kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa. (127)” 

(Ali-Imran: 126-127)

Membentuk kesediaan untuk berjihad

Sebelum peristiwa Badar, kita dapat lihat bagaimana umat Islam telah dipersiapkan dengan persediaan. Gambaran kesediaan umat Islam boleh dilihat melalui beberapa perkara;

a. Kekuatan akidah.

Ketahanan para Sahabat R.A menghadapi ujian di Makkah telah melahirkan generasi yang menerima apa sahaja perintah untuk dilaksanakan, sedia berkorban sama ada menang atau syahid, hasil kefahaman yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W.

b. Persediaan Madinah.

Nabi S.A.W telah mempersiapkan sebuah negara yang berdaulat, melalui pengukuhan politik menerusi Piagam Madinah dan sebagainya. Bahkan Baginda S.A.W membuat pengisytiharan secara terbuka bahawa Madinah sebagai negara Islam. 

c. Tanzim dan khittah (strategi) yang baik.

Pengukuhan kekuasaan politik Islam di Madinah yang dilakukan oleh Nabi S.A.W sebelum Perang Badar, antaranya ialah peristiwa Saiful Bahr, Peristiwa Rabigh, Peristiwa al-Khirar, peristiwa di Abwa’ dan Wadan, Peristiwa Bawwat, Peristiwa Safuan dan lain-lain.

Persediaan ini sebagai gambaran bahawa umat Islam telah dipersiapkan terlebih dahulu sebelum Peristiwa Badar. Ia menjadi gambaran bahawa kemenangan Badar itu bukanlah diperolehi secara ‘magic’. Sebaliknya kemenangan itu melalui proses Sunnatullah.

Peristiwa ini sebagai gambaran bahawa umat Islam itu perlu sentiasa dalam keadaan bersedia, dan sentiasa mempersiapkan diri untuk menghadapi segala penentangan. FirmanNya;

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

(al-Anfal: 60)

Operasi memintas rombongan Abu Sufyan

Perang Badar berlaku pada tahun kedua hijrah. Ia bermula dengan rampasan yang dilakukan oleh kerajaan Makkah terhadap harta mereka yang mengikut Nabi S.A.W berhijrah ke Madinah. 

Hasil rampasan tersebut bersama barangan yang lain, dijual oleh rombongan perdagangan yang diketuai oleh Abu Jahal di Syam. Barang dagangan tersebut bernilai sekitar 50,000 dinar emas, dengan menggunakan 1,000 ekor unta dan dikawal oleh 40 orang.

Setelah menerima berita bahawa rombongan Abu Sufyan dalam perjalanan pulang dengan mengangkut segala kekayaan, Nabi S.A.W mengerahkan sukarelawan untuk menyertai operasi tersebut. 

Objektifnya ialah sekiranya rombongan tersebut berjaya disekat, Islam akan memperolehi rampasan yang besar, dan kemenangan dari sudut ketenteraan, politik dan ekonomi. Dalam masa yang sama, operasi tersebut juga mampu memberi tamparan yang hebat terhadap kesombongan orang Quraisy.

Rasulullah S.A.W tidak mewajibkan kepada para Sahabat R.A untuk menyertai misi ini. Ini kerana, Baginda S.A.W sendiri tidak menjangkakan bahawa operasi ini bakal mencetuskan perang terbuka yang besar dan bersejarah. 

Kekuatan pasukan yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W seramai 313 orang sahaja, dalam keadaan tidak mempunyai kelengkapan untuk berperang. Lebih kepada sekadar menyekat rombongan perdagangan sahaja.

Ketika ini, Rasulullah S.A.W telah mengarahkan 2 orang Sahabat R.A untuk mengintip pergerakan rombongan tersebut. Dalam masa yang sama, bahaya yang bakal menimpa rombongan Abu Sufyan, dapat dihidu oleh beliau. 

Lalu, Abu Sufyan dan rombongan melakukan tinjauan dan pantauan sama ada melalui operasi intipan, dan juga bertanya kepada orang yang lalu lalang di laluan tersebut. Sehinggalah beliau dapat mengesan gerakan memintas yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.

Propaganda Dhamdham bin Amru

Abu Sufyan pun bertindak dengan mengupah Dhamdham bin Amru untuk pergi ke Makkah meminta bantuan. Dhamdham pergi ke Makkah dan mencetuskan propaganda. Beliau telah memotong hidung untanya, memusingkannya, dan mengoyakkan bajunya. 

Dengan tindakan ini, beliau cuba menarik perhatian orang Makkah. Beliau berkata : “Wahai kaum Quraisy, bahaya! bahaya! bahaya akan menimpa harta benda kamu yang ada pada Abu Sufyan. Muhammad dan pengikutnya sedang memintas. Kamu mesti pergi tolong.”

Hasil propaganda tersebut, orang-orang Makkah semakin bersemangat untuk pergi bagi menghadapi Rasulullah S.A.W bersama pengikutnya itu. Lalu sekumpulan orang Makkah seramai 1,300 orang dengan 100 ekor kuda 600 baju besi dan unta yang banyak sebagai stok makanan. 

Di sini kita dapat lihat bagaimana musuh sentiasa memainkan propaganda untuk meniupkan api kebencian terhadap perjuangan Islam. Musuh juga gemar menggunakan pendekatan ‘nampak teruk’ bagi meraih simpati umum terhadap mereka.

Tajaan perang dan penyertaan Iblis

Bekalan pasukan yang dipimpin oleh Abu Jahal itu telah ditaja oleh 9 tauke kaya. Setiap hari, mereka menyembelih 9 atau 10 ekor unta. Bukan sekadar tajaan bekalan makanan, bahkan pasukan Abu Jahal juga turut disertai oleh Iblis. 

Ketika pasukan Abu Jahal merasa bimbang dengan gangguan Kafilah Bani Bakr yang sedang berkrisis dengan mereka. Ketika itulah Iblis muncul dengan menyerupai Suraqah bin Malik, yang merupakan pimpinan Bani Kinanah. Iblis telah memberi jaminan untuk memberikan perlindungan sekiranya pasukan mereka diganggu.

Faktor-faktor inilah yang menyemarakkan lagi kesombongan pasukan Abu Jahal. Hal ini telah difirmankan oleh Allah S.W.T:

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ خَرَجُوا مِن دِيَارِهِم بَطَرًا وَرِئَاءَ النَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ (47) وَإِذْ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ وَقَالَ لَا غَالِبَ لَكُمُ الْيَوْمَ مِنَ النَّاسِ وَإِنِّي جَارٌ لَّكُمْ ۖ فَلَمَّا تَرَاءَتِ الْفِئَتَانِ نَكَصَ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ وَقَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِّنكُمْ إِنِّي أَرَىٰ مَا لَا تَرَوْنَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ ۚ وَاللَّهُ شَدِيدُ الْعِقَابِ (48) 

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah dan (ingatlah) Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka kerjakan. (47) Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu”. Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir Musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), Syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksaNya”.” (48) 

(al-Anfal: 47-48)

Dalam pada itu, dengan maklumat yang diperolehi oleh Abu Sufyan, beliau telah berjaya mengalihkan ‘trek’ perjalanan rombongannya agar tidak bertembung dengan pasukan Islam. Setelah memastikan ia rombongannya berada dalam kondisi selamat, beliau pun mengutuskan utusan kepada Pasukan Abu Jahal, mencadangkan supaya pasukan tersebut pulang ke Makkah.

Namun, apabila berita itu sampai kepada Abu Jahal, beliau tetap berkeras untuk menentang pasukan Rasulullah S.A.W, akibat kebencian yang menebal. Lalu, Abu Jahal memutuskan untuk kekal di sana, dengan berpesta selama 3 hari dengan arak dan hiburan.

Gambaran kesediaan para Sahabat R.A

Nabi S.A.W setelah mendapat maklumat mengenai pasukan ketenteraan Abu Jahal yang siap untuk berperang, lalu Nabi S.A.W bermesyuarat dengan para Sahabat R.A. Dalam mesyuarat tersebut, Miqdad bin Aswad R.A berkata;

يا رَسولَ اللهِ ، إنَّا لا نَقولُ لك كما قالت بَنو إسرائيلَ لِموسى: {اذْهَبْ أَنْتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ} [المائدة: 24]، ولكنِ اذهَبْ أنتَ وَرَبُّكَ فقاتِلا، إنَّا معكم مُقاتِلونَ

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami tidak mengatakan kepada kamu sepertimana Bani Israel mengatakan kepada Nabi Musa A.S: “Pergilah kamu dengan kepercayaan Tuhanmu. Berperanglah kamu berdua. Kami mahu duduk di sini sahaja”. Akan tetapi, yang kami katakan ialah: “Pergilah kami bersama Tuhanmu, kami bersama-sama kamu berperang.””

Nabi S.A.W meminta pandangan para Sahabat R.A, lalu Saad bin Muaz menegaskan;

فقد آمنَّا بك، وصدَّقناك، وشهدنا أنَّ ما جئت به هو الحق، وأعطيناك على ذلك عهودنا ومواثيقنا على السَّمع والطَّاعة، فامض يا رسول الله لما أمرك الله. فوالذي بعثك بالحقِّ، إن استعرضت بنا هذا البحر، فخضته لخضناه معك، ما يتخلَّف منَّا رجل واحد، وما نكره أن تلقى بنا عدوَّنا غدًا، إنَّا لصُبُرٌ في الحرب، صُدُقٌ عند اللِّقاء، ولعلَّ الله يريك منَّا ما تقرُّ به عينك، فسِر بنا على بركة الله

“Sesungguhnya kami telah beriman dengan kamu, dan kami membenarkan kamu. Kami bersaksi bahawa apa apa yang kamu bawa kepada kami, itulah yang benar, dan kami berikan janji dan kesetiaan kami terhadap perkara itu. Kami bersedia mendengar dan taat kepadamu. Maka, teruskanlah wahai Rasulullah. Demi Tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran. Sekiranya kamu bentangkan kepada kami lautan yang luas, dan engkau mengharunginya, sudah pasti kami akan mengharunginya bersamamu. Tiada seorang pun di antara kami yang akan mundur. Dan tidaklah kami membenci kamu disebabkan kamu bertemu musuh esok. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang sabar di medan perang, benar mengotakan apa yang kami katakan sekiranya bertemu musuh. Mudah-mudahan Allah S.W.T membuktikan kepadamu dengan melihat sendiri apa yang kami lakukan. Maka, marilah kita teruskan perjalanan, mudah-mudahan Allah memberkati kita.”

Hasil mesyuarat tersebut, para Sahabat R.A telah menyatakan dengan jelas kesediaan mereka untuk berperang dengan pasukan Abu Jahal. 

Mengkaji perancangan musuh

Nabi S.A.W sendiri bersama dengan Saidina Abu Bakar mula melakukan tinjauan, bagi mengkaji perancangan musuh. Ketika tinjauan dibuat, Baginda S.A.W bertanya kepada seorang Badawi tua;

Rasulullah S.A.W: Di mana letaknya pasukan Muhammad dan Sahabatnya, dan di mana pula letaknya pasukan Quraisy dari Makkah?

Badawi tua: Aku tidak akan memberitahu kamu selagi kamu tidak memperkenalkan kepada aku siapa kamu berdua?

Rasulullah S.A.W: Kalau kamu beritahu kepada kami apa yang kami minta itu, kami juga akan memberitahu kamu apa yang kamu minta itu.

Badawi tua: Dimaklumkan kepada aku, bahawa Muhammad dan Sahabatnya telah keluar pada hari sekian-sekian, maka sudah tentulah dia berada di tempat sekian-sekian. Dimaklumkan kepada aku bahawa Quraisy keluar pada hari sekian-sekian, maka sudahlah tentu mereka berada di tempat sekian-sekian. Kalaulah berita yang aku terima itu benar, begitulah. Kamu berdua pula dari mana?

Rasulullah S.A.W: Kami dari air.

Badawi tua: Dari iraqkah barangkali?

Dialog ini menggambarkan bahawa Nabi S.A.W turut berusaha melakukan tinjauan untuk mendapatkan maklumat mengenai pergerakan musuh. Di sinilah kita perlu sedar mengenai keperluan untuk mengkaji mengenai musuh. 

Bukan sekadar itu, Nabi S.A.W juga turut membentuk dua pasukan pengintip. Salah satu kumpulan tersebut dipimpin oleh Saidina Ali R.A. Pasukan ini berjaya menangkap 2 orang budak suruhan Makkah, yang ditugaskan mencari air.

Hasil soal siasat 2 orang tawanan ini, beberapa maklumat dari Pasukan Abu Jahal dapat diperolehi. Antaranya siasatan yang dibuat, ialah;

1. Kedudukan pasukan itu, iaitu di sebalik Bukit al ‘Udwah al Quswa. 

2. Bilangan (kekuatan) pasukan itu, berdasarkan kapasiti makanan harian mereka. Iaitu seramai 900 hingga 1,000 orang.

3. Organisasi pasukan itu, yang diketuai oleh beberapa orang.

Penyiasatan ini menggambarkan bahawa usaha Nabi S.A.W untuk meneliti kekuatan dan perancangan musuh agar dapat menghadapinya dengan perancangan yang teliti.

Markas sebagai pusat arahan

Markas merupakan langkah yang menjadi keutamaan Nabi S.A.W berdasarkan banyak peristiwa. Antaranya;

1. Nabi S.A.W menjadikan rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam sebagai markas bagi pembentukan kumpulan Islam secara sulit di zaman awal dakwah.

2. Nabi S.A.W membina Masjid Nabi setibanya di Madinah sebagai pusat pentadbiran.

3. Nabi S.A.W membentuk markas tentera dalam peristiwa Badar.

Markas yang dibina secara sederhana bertujuan untuk pemusatan arahan. Pada peringkat permulaannya, Nabi S.A.W dan para Sahabat R.A memilih lokasi mata air yang berhampiran dengan mereka. Namun, Habbab bin Munzir bertanyakan “Adakah kedudukan ini berdasarkan wahyu Allah, atau boleh dikemukakan pandangan lain?”

Lalu Nabi S.A.W membenarkan Habbab melontarkan pandangannya. Habbab mencadangkan supaya markas dibina di tempat yang paling hampir dengan lokasi musuh. Ia bertujuan untuk menyekat bekalan air musuh. Hujah tersebut diterima oleh Nabi S.A.W, dan tersedialah markas di situ.

Dalam hal ini, Nabi S.A.W benar-benar membuat penyusunan yang rapi. Termasuklah dalam memeriksa perbarisan tentera. Nabi S.A.W mengarahkan;

إذا أَكْثَبوكُم فارْموهُم بالنَّبلِ واستَبِقوا نَبلَكُم وَلاَ تَسُلُّوا السُّيُوفَ حَتَّى يَغْشُوكُمْ

“Apabila mereka menghampiri kamu, seranglah mereka dengan panah. Bercermatlah menjaga anak-anak panah (jangan memanah dalam keadaan mereka berjauhan). Janganlah mencabut pedang sehinggalah mereka menghampiri kamu.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Usaha diteruskan dengan bermunajat

Persiapan, persediaan, usaha, pengintipan, dan sebagainya telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sekalipun beliau seorang Rasul. Ia diteruskan juga dengan munajat kepada Allah S.W.T di saat berlangsungnya perang. 

Antara munajat Rasulullah S.A.W;

اللَّهمَّ أَنْجِزْ لي ما وَعَدْتَني، اللَّهمَّ إنَّكَ إنْ تُهلِكْ هذهِ العِصابةَ مِن أهلِ الإسلامِ، فلا تُعْبَدُ في الأرضِ أبدًا

“Ya Allah, laksanakanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, sekiranya kamu mengalahkan kumpulan yang kecil ini yang terdiri di kalangan orang Islam, maka Kamu tidak disembah lagi oleh sesiapa di atas muka bumi ini.”

(Hadis Shahih Muslim)

Munajat Nabi S.A.W begitu bersungguh sehingga terjatuh kain rida’nya. Saidina Abu Bakar R.A melihat hal itu, mengambil kain tersebut dan menggantungkan semula di bahu Baginda S.A.W. Lalu berkata;

يا نَبيَّ اللهِ، كَفاكَ مُناشَدَتُكَ ربَّكَ؛ فإنَّهُ سيُنْجِزُ لكَ ما وَعَدَكَ

“Wahai Nabi Allah, cukuplah munajatmu itu untuk Tuhanmu. Sesungguhnya Allah S.W.T pasti akan merealisasikan janjiNya.”

(Hadis Shahih Muslim)

Kesungguhan Baginda berusaha, dan kemudiannya diteruskan dengan munajat yang serius, akhirnya Allah S.W.T merealisasikan janjiNya. FirmanNya;

إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ (9) وَمَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِ قُلُوبُكُمْ ۚ وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (10)

“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut. (9) Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (10)”

(al-Anfal: 9 dan 10)

Golongan ‘playsafe’ yang rugi

Perang yang bersejarah ini memberi tamparan yang hebat kepada Musyrikin Makkah. Mereka ingin berperang dengan berbekalkan kesombongan, lalu dikalahkan oleh tentera Islam yang berbekalkan kerendahan hati kepada TuhanNya.

Dalam peristiwa ini, ada sekumpulan orang yang mengaku Islam. Tetapi mereka menyembunyikan keIslaman mereka. Apabila Nabi S.A.W dan para Sahabat R.A berhijrah, mereka tidak ikut serta sekalipun mereka itu ada kemampuan. 

Apabila tercetusnya Perang Badar, mereka telah dikerahkan oleh pembesar Makkah untuk berperang memerangi Rasulullah kerana mematuhi arahan tersebut. Akhirnya mereka terbunuh. Allah S.W.T berfirman;

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ ۚ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا ۚ فَأُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَاءَتْ مَصِيرًا (97) إِلَّا الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًا (98) فَأُولَٰئِكَ عَسَى اللَّهُ أَن يَعْفُوَ عَنْهُمْ ۚ وَكَانَ اللَّهُ عَفُوًّا غَفُورًا (99) ۞ وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا (100)

“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir Musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (97) Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). (98) Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. (99) Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (100).”

(an-Nisa: 97-100)

Pengurusan organisasi yang baik

Dalam peristiwa Badar, menggambarkan satu susunan kolektif yang baik. Iaitu;

1. Kepimpinan yang bijaksana.

Perancangan Nabi S.A.W dan para Sahabat dalam menyusun strategi, kecermatan, dan sebagainya menggambarkan bahawa pasukan yang dibentuk oleh Baginda S.A.W adalah susunan kolektif yang terbaik. 

Sesebuah organisasi mestilah dipimpin oleh mereka yang cerdik. Bukan dipimpin oleh kepimpinan yang bodoh, yang malas berfikir. Di sinilah keperluan ilmu sebagai bekalan bagi mereka yang memimpin. 

2. Kebersamaan.

Kebersamaan Nabi S.A.W bersama dengan pasukannya dalam semua perkara, menggambarkan bahawa Baginda S.A.W tidak mengamalkan sikap ‘bossy’. Baginda S.A.W berpenat lelah bersama para Sahabat R.A, merancang bersama, bermesyuarat dan sebagainya.

Keputusan dibuat secara kolektif. Nabi S.A.W terbuka dalam menerima pandangan orang lain, dan tidak ada masalah untuk menerima pandangan yang dilontarkan dengan hujah. Tidak timbul isu tidak beradab terhadap pemimpin.

3. Pengorbanan dan semangat jihad.

Sesebuah organisasi itu hanya dapat dibina dengan keringat-keringat orang yang berkorban dan bersungguh (jihad). Mesti melalui jalan yang payah, dan berisiko untuk mengejar matlamat. 

Sekiranya perjuangan itu mudah, sudah pasti tiadanya kesungguhan (jihad). Sebab itulah perjuangan itu sering diuji dengan kepayahan dan ranjau bagi melahirkan semangat jihad yang berterusan.

4. Lemah lembut.

Interaksi Nabi S.A.W dengan para Sahabat R.A adalah interaksi dengan lembut. Tidak bersikap kasar, sekalipun dalam situasi getir, iaitu dalam perang. Tidak perlu tengking menengking, atau disembur dengan cacian serta makian.

Teguran Nabi S.A.W yang lembut sekalipun Ketika memeriksa perbarisan tentera membuatkan beliau adalah pimpinan yang dikasihi. Dalam berorganisasi, perlukan interaksi yang bersesuaian agar ia didokongi atas rasa kebersamaan.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak
PAS Perak – HARAKAHDAILY 7/4/2023

- Advertisement -