KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan kali ke dua yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas rakyat Palestin yang sedang menunaikan ibadah di Masjid Al-Aqsa pada Rabu (5 Apr).
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari berkata melalui satu kenyataan di laman Facebook miliknya semalam, serangan yang dilakukan oleh rejim Zionis turut mencabul kesucian Masjid Al-Aqsa.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari berkata melalui satu kenyataan di laman Facebook miliknya semalam, serangan yang dilakukan oleh Rejim Zionis turut mencabul kesucian Masjid Al-Aqsa.
“Perbuatan yang dilakukan oleh rejim Zionis itu amat mengguris perasaan umat Islam di seluruh dunia.
“Mereka telah kembali mengamuk, mencabul maruah umat Islam pada bulan Ramadan yang mulia,” ungkap beliau.
Tambah beliau, ketegangan yang dicetuskan oleh rejim Zionis ini turut meletus di seluruh Tebing Barat dengan menjadikan Masjid Al-Aqsa sebagai lokasi serangan dan keganasan.
“Pertembungan ini didakwa bermula apabila jemaah yang menunaikan solat Tarawih di Masjid Al-Aqsa secara tiba-tiba diserang oleh polis rejim Zionis dengan gas pemedih mata dan serangan senjata seperti belantan.
“Ini diikuti oleh polis Israel telah membenarkan peneroka haram Israel membanjiri perkarangan Al-Aqsa semasa perayaan Paskah,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, sehingga semalam (6 April) polis Israel telah menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa dan bertempur dengan rakyat Palestin dalam usaha untuk mengusir para jemaah Palestin; yang mana dalam kejadian itu, hampir 400 orang Islam telah ditangkap oleh polis Israel.
Beliau yang turut memegang jawatan Ahli Parlimen Pasir Mas turut menyatakan di laman Facebooknya, bahawa Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin telah melaporkan bahawa rejim Zionis telah menghalang pasukan penyelamat dan perubatan ini daripada memberikan rawatan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
“Ini adalah perbuatan keji yang jelas melanggar hak asasi manusia.
“Puak rejim Zionis yang terkutuk itu tidak perlu menipu masyarakat antarabangsa dengan alasan yang tidak logik itu,” tegasnya.
Oleh itu, beliau menggesa agar bantuan dan rawatan kecemasan kepada mangsa-mangsa keganasan ini diberikan secepat mungkin dan tidak dihalang oleh rejim Zionis.
Selain itu, beliau turut memohon agar pihak kerajaan Malaysia segera membuat tindakan susulan terhadap insiden baru-baru ini dengan tindakan konkrit yang boleh mencetuskan tekanan antarabangsa terhadap pencabulan hak asasi manusia yang berulang yang dilakukan oleh Israel.
Pada masa yang sama, kita berharap semua negara Islam akan kembali ke meja perpaduan bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik untuk membebaskan Palestin, termasuk menilai semula dan memutuskan normalisasi hubungan dengan negara tidak sah Israel.
Menurutnya, pada bulan Ramadan yang mulia ini, beliau menyeru kepada seluruh umat Islam khususnya golongan muda untuk menunjukkan solidariti terhadap nasib umat Islam di Palestin.
“Marilah kita manfaatkan bulan yang mulia ini untuk berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala kesusahan yang dihadapi umat Islam di Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2023