Keputusan Mahkamah Persekutuan pengakhiran kes SRC Najib

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyemak sabitan dan hukumannya menandakan kesnya melibatkan dana SRC International Sdn Bhd itu telah berakhir, kata Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram.

- Advertisement -

Sithambaram yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu berkata keputusan hari ini juga menunjukkan pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu dibuat secara sah dan tidak bermotifkan politik.

Beliau berkata kedaulatan undang-undang telah dilaksanakan dalam kes ini.

“Kepada ahli politik lain dan yang berkemungkinan menjadi pesalah lain, pendakwaan ini telah menunjukkan bahawa tiada siapa di negara ini yang mengatasi undang-undang.

“Pendakwaan yang berjaya ini mesti menghantar mesej kepada semua bakal pesalah bahawa undang-undang akan mencari anda dan menghukum mereka yang bersalah,” katanya semasa sidang media di lobi Istana Kehakiman hari ini

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman majoriti 4-1, menolak permohonan Najib untuk menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Keputusan majoriti itu dibacakan oleh hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan dipersetujui oleh hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, yang mengetuai panel lima hakim bagaimanapun tidak bersetuju.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata penghakiman bertentangan itu akan membuka jalan lain dalam kes anak guamnya, namun beliau enggan mengesahkan sama ada permohonan semakan kedua akan difailkan.

“Ini bukan penamat. Boleh ada satu lagi prosiding mahkamah. Hasil daripada penghakiman minoriti, ada laluan yang dibuka.

“Ada kes semakan bukan sekali sahaja dilakukan. Selagi ada asas untuk semakan baharu, ia boleh dibuat,” katanya ketika sidang media di sini.

Beliau berkata berikutan permohonan mereka kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD), difahamkan proses itu telah bermula dan terdapat usaha untuk meminta Peguam Negara memberi maklum balas.

“Kami akan menghantar dokumen lanjut mengenai penghakiman minoriti dan majoriti ini kepada UNWGAD, supaya ia akan diteliti untuk mengetahui yang mana lebih baik,” tambahnya.

Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang, telah memfailkan permohonan semakan bagi membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini, diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos tahun lepas.

Selain itu, beliau juga telah memfailkan permohonan pengampunan diraja pada September tahun lepas.

Pada 5 Jan lepas, beliau juga memfailkan petisyen kepada UNWGAD untuk meminta pembebasan daripada penjara atau perbicaraan semula kes SRC International yang dihadapinya berikutan pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang beliau dakwa mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa. – BERNAMA

- Advertisement -