KOTA BHARU: Aduan masalah bekalan air di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah mendapat tindakan segera unit teknikal Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi mengesan masalah yang berlaku.
Pengurus Besar AKSB berkata, pasukan AKSB dan Unit Air Tidak Berhasil (NRW) Ibu Pejabat AKSB melakukan beberapa kaedah bagi mengesan punca ketiadaan air di kawasan tersebut.
Katanya langkah dilakukan termasuk ujian tekanan air, kerja-kerja mengesan kebocoran dan kaedah kepungan air.
“Alhamdulillah kaedah kepungan air yang dilakukan menemui lokasi kebocoran. Bagaimanapun lokasi dan paip yang bocor terlalu sukar dan memakan masa untuk ditemui.
“Ini kerana ia berada bersekali dengan laluan parit air dan tertutup dengan semak samun,” katanya pada kenyataan hari ini.
Menurutnya laporan ketiadaan air dibuat kepada AKSB pada 24 Mac lepas dan kebocoran ditemui pada pagi 29 Mac berdekatan sekolah.
Ekoran itu katanya AKSB membuat pembaikian paip yang bocor dan siap pada hari sama.
Kata beliau bekalan air pulih secara berperingkat yang mana tempoh pemulihan bekalan air 24 jam bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
“Bagaimanapun sepanjang tempoh siasatan di tapak, AKSB menghantar bekalan air menggunakan lori tangki kepada pengguna di kawasan tersebut.
Dr Nazmi juga berkata, bekalan air di Kampung Lalang Pepuyu Pepuyu mendapat sumber bekalan air daripada Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Gajah.
Menurutnya juga muka bumi Kampung Lalang Pepuyu berada di kawasan tinggi dan berbukit dengan anggaran bilangan akaun pengguna 200 akaun.
Beliau turut menasihatkan pengguna memaklum kepada AKSB berhubung masalah bekalan air yang dihadapi bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Aduan boleh dibuat melalui myAKSB atau menghubungi AKSB di talian 15777 atau WhatsApp ke 019-5755777 atau email pintas@airkelantan.com.my – HARAKAHDAILY 30/3/2023