Normalisasi pluralisme agama, agenda musuh Islam

Dr Ahmed Al Tayeb
- Advertisement -

PADA 21 Februari 2023, Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) telah mengeluarkan kembali kenyataannya yang bertarikh 21 Februari 2021 bersama Liga Ulama Islam dan Liga Arab Maghreb ketika mengadakan persidangan yang bertajuk The Position of the Islamic Ummah on the Abrahamic Religion yang merumuskan bahawa Abraham Religion adalah satu ancaman terhadap akidah umat Islam.

- Advertisement -

Ia berikutan pada tanggal 16 Februari lalu UAE secara rasminya telah membuka Abraham Family House, iaitu satu komplek yang mengandungi sebuah masjid, gereja dan synagogue di Pulau Saadiyat, Abu Dhabi, UAE.

Akhbar utama negara haram Israel, The Jerusalem Post dalam ulasannya begitu bangga dengan perkembangan tersebut, menyatakan ia adalah simbol kejayaan Abraham Accord iaitu kejayaan menormalisasikan hubungan antara negara haram Israel dengan negara – negara Arab seperti UAE, Bahrain, Mesir dan Morocco di samping ia adalah satu langkah kehadapan untuk menyatukan tiga agama di rantau tersebut.

KUIS dalam kenyatannya menyeru para cendekiawan Islam, penuntut ilmu dan pendakwah untuk menunaikan kewajipan mereka terhadap agama Islam dalam menghadapi cabaran bid’ah yang sesat di zaman ini dengan meningkatkan kesedaran serta memberi amaran tentang bahaya yang berlaku terhadap umat Islam.

Begitulah tegasnya kenyataan KUIS terhadap pencerobohan ke atas akidah Islam dengan doktrin Abraham Religion dan bahaya di sebalik normalisasi hubungan dengan negara haram Israel.

Hal yang demikian juga telah diberi amaran oleh ulama ketika agenda ini mula dilaksanakan pada tahun 2021. Mengimbas kembali ketika sambutan ulang tahun ke 10 penubuhan The Egypt Family House pada November 2021, Dr. Ahmed Al Tayeb, Syeikh (Imam Besar) Al Azhar dengan tegas dan jelas menyuarakan kebimbangan dalam ucapannya di majlis tersebut berkenaan satu agama baharu iaitu Abraham Religion dengan menyifatkannya sebagai satu agama sesat.

Dr. Ahmed Al Tayeb kemudiannya menjelaskan dalam ucapannya terdapat perbezaan antara menghormati dan mengiktiraf satu-satu agama. Islam menghormati agama lain khususnya agama samawi akan tetapi tidak mengiktirafnya sebagai agama yang benar. Di sisi Islam, agama yang benar hanyalah Islam sebagaimana maksud firman Allah: “Sesungguhnya Agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam” (Al-Imraan: 19)

Pendirian Dr. Ahmed Al Tayeb ini mendapat sokongan jitu dari masyarakat dunia Arab termasuk daripada golongan Kristian sambil menyatakan sokongan terhadap penolakan tersebut di media sosial termasuk dari golongan cendikiawan, orang kenamaan dan masyarakat awam.

Namun ramai dari kalangan masyarakat Arab ketika itu tertanya-tanya mengapakah Dr. Ahmed Al Tayeb mula menyuarakan perihal Abraham Religion. Adakah sedang berjalan agenda sulit atau terselindung untuk menyebarkan atau mengumumkan penubuhan agama baharu ini di kala situasi geopolitik sedang bergolak hebat di Asia Barat?

Abraham Religion adalah gabungan daripada tiga agama samawi iaitu Islam, Kristian dan Yahudi yang digabungkan dengan tujuan untuk menyatukan umat manusia di bawah satu agama dengan menyampai satu mesej untuk menyeru umat manusia ke arah penyatuan dan kedamaian.

Ia dilancarkan oleh UAE ketika menandatangani perjanjian normalisasi hubungan antara UAE dan negara haram Israel pada Ogos 2020 yang diusahakan oleh Donald Trump dan Jared Kushner yang dikenali sebagai Abraham Accord.

Dalam teks deklarasi perjanjian tersebut yang diterbitkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, dinyatakan bahawa “Kami menggalakkan usaha untuk menyokong dialog antara budaya dan agama untuk memajukan budaya keamanan antara tiga agama Abraham dan semua umat manusia“.

Secara zahirnya, teks deklarasi perjanjian tersebut mempunyai mesej terselindung berkenaan Abraham Religion yang akan diusahakan untuk menyatukan ketiga-tiga agama samawi ini di bawah satu agama.

Ramai yang beranggapan bahawa UAE adalah pelopor kepada Abraham Religion ini, selari dengan penubuhan Abrahamic Family House di Abu Dhabi ketika lawatan oleh Pope Francis pada awal 2019 sebelum ditandatangani perjanjian normalisasi dengan negara haram Israel.

Penubuhan Abrahamic Family House di Abu Dhabi, UAE adalah sama tujuannya dengan penubuhan Egypt Family House di Mesir, iaitu untuk mempromosi serta mewujudkan keamanan dan keharmonian di antara penganut berbilang agama di negara masing-masing.

Namun begitu, perlu difahami bahawa Abraham Religion adalah satu pendekatan yang mengandungi agenda besar yang tersirat yang dijalankan oleh rejim zionis Israel dan sekutunya dengan tujuan utamanya adalah untuk menyebarkan dan memperkukuhkan program penerimaan proses normalisasi, intergrasi sosiobudaya dan politik dalam kalangan negara-negara Dunia Islam terutamanya negara-negara Asia Barat dengan negara haram Israel.

Dengan mengetengahkan idea keamanan, keharmonian dan perpaduan kepada umat Islam, ia diharap dapat melembutkan hati dan memperdaya umat Islam terutamanya pemerintah negara-negara Dunia Islam untuk menerima perjanjian normalisasi yang mampu mengukuhkan kedudukan regim zionis Israel di Asia Barat dan seterusnya menguatkan keabsahan kewujudan negara haram Israel di samping terus melupakan perjuangan rakyat Palestin.

Oleh itu perlu ditegaskan sebagaimana kenyataan KUIS termasuk juga Syeikh Dr. Ahmed Al Tayeb, Abraham Religion adalah satu ancaman dan muslihat besar yang boleh menyesatkan akidah umat Islam. Agama baharu ini perlu ditolak dan diperjelaskan bahayanya kepada umum di samping bertujuan untuk memanipulasi umat Islam supaya menerima keberadaan zionis Yahudi samada di Palestin atau di negara-negara Dunia Islam yang lain.

Idea kebersamaan dan inovasi agama yang mampu membawa kepada meninggalkan agama Islam adalah satu bahaya yang besar kepada umat Islam. Sebagaimana yang kita lihat hari ini buku-buku, artikel, filem dan pelbagai lagi yang mempromosi dan mengetengahkan agenda kekufuran dan kebersamaan agama yang mampu merosakkan akidah dan iman umat Islam perlu dihalang dari terus merosakkan minda umat Islam.

Jika dibiarkan agenda pluralisme agama dalam pelbagai medium terutamanya media massa dan media sosial, ia dijangka akan mendatangkan bahaya terutamanya kepada anak muda yang ketika ini terdedah kepada idea kebebasan melampau dan hak asasi manusia tidak masuk akal yang jauh terpesong dari ajaran agama Islam yang sebenar.

Apa yang berlaku menunjukkan bahawa musuh Islam tidak akan berhenti untuk menyesatkan umat Islam dengan apa cara sekalipun. Malangnya terdapat dalam kalangan umat Islam yang sanggup menjadi alat kepada musuh-musuh Islam semata-mata kerana kepentingan kuasa dan harta keduniaan.

Inilah sejarah yang akan berulang kali berlaku iaitu sejak dari zaman awal Islam dahulu sehinggalah dunia ini ditamatkan riwayatnya.

Semoga umat dan Dunia Islam senantiasa terpelihara dan berada di dalam lindungan Allah SWT.

Malaysia Sejahtera

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 11/3/2023

- Advertisement -