Bantuan RM1 bilion KWSP tidak capai sasaran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata, bantuan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang hanya untuk segelintir pencarum, iaitu kumpulan umur 40 hingga 54 tahun gagal memberi manfaat kepada keseluruhan pencarum.

Ketika pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan cadangan untuk mengkreditkan RM500 ke Akaun 1 pencarum KWSP berusia antara 40 hingga 54 tahun yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 membabitkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

- Advertisement -

“Tidak perlulah saya bercakap panjang mengenai perkara ini memandangkan YB (Yang Berhormat) Ayer Hitam (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) ketika membahaskan ucapan Belanjawan 2023 telah mengulas panjang lebar tentang pemberian ini yang ternyata indah khabar daripada rupa.

“Hakikatnya, bantuan KWSP yang diumumkan oleh YAB Tambun hanya untuk segelintir pencarum, iaitu kumpulan umur 40 hingga 54 tahun, sedangkan hampir 53 peratus penyumbang caruman yang aktif tidak mendapat manfaat daripada pemberian ini,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Presiden Bersatu itu berkata, golongan pencarum yang berumur di bawah usia 40 tahun pula dinafikan hak mereka untuk mendapat bantuan yang sama.

Katanya, permintaan pencarum untuk mengeluarkan simpanan KWSP juga tidak dipedulikan, sekali gus menunjukkan kerajaan hari ini tidak mendengar denyut nadi rakyat yang sedang dihimpit oleh bebanan kos sara hidup yang tinggi.

“Benar KWSP adalah untuk simpanan hari tua, tetapi apa guna bercakap tentang hari tua, jika hari ini pun rakyat tidak mempunyai wang untuk keperluan harian,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -