Ar-Rahn platform gadaian bebas riba

Mohd Sabri (kiri) dalam majlis majlis perasmian A-Rahn Cawangan Baling pada 5 Mac 2023.
- Advertisement -

BALING: Ar-Rahn menyediakan platform gadaian bebas riba dan mematuhi syarak selain alternatif kepada sistem gadaian secara  konvensional.

Timbalan Pengerusi Koperasi Rakyat Kelantan Berhad, Mohd Sabri Abdullah berkata, sistem Ar-Rahn yang diperkenalkan pihaknya bersifat adil, telus selain memudahkan pelanggan yang berurus niaga dengannya. 

- Advertisement -

“Selain menyediakan platform gadaian bebas riba khususnya kepada masyarakat Islam, Ar-Rahn juga menyediakan perkhidmatan tunai segera yang amat mudah dan cepat,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian A-Rahn Cawangan Baling, semalam. 

Pada majlis itu, seramai 20 asnaf atau golongan kurang berkemampuan diraikan serta menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Kelantan, Zainudin Mohamed itu turut dihadiri Pengarah SKM Negeri Kedah, Norzila Nayan.

Turut hadir ialah Imam Besar Masjid Daerah Baling, Ustaz Mohamad Nazif Zakaria; Ketua Pegawai Operasi Permodalan Kelantan Berhad, Ahmad Nazri Ismail; dan Pengerusi Koperasi Permodalan Kelantan Berhad, Hassan Shukri Abdullah. 

Zainudin menandatangani plak perasmian cawangan Ar-Rahn ke-36 di Baling Kedah pada 5 Mac 2023.

Menurut Sabri, Ar-Rahn juga mengambil peluang dengan pendigitalisasi dengan memperkenalkan aplikasi bayaran secara di atas talian menerusi Ar-Rahn Click dan pelanggan tidak perlu ke kaunter untuk membayar upah. 

Tambah beliau, Ar-Rahn di Baling telah beroperasi setahun lalu dan merupakan cawangan ke tiga di Kedah selain di Sungai Petani dan di Alor Setar sebelum ini.

“Untuk menubuhkan cawangan, pihaknya juga mengambil kira dari segi pasaran dan majoriti penduduk di sesuatu tempat yang lebih ramai [penduduk Melayu atau yang beragama Islam. 

“Kalau tempat berkenaan belum ada pajak gadai Islam dan baik untuk pasaran serta majoriti penduduk dari kalangan orang Melayu/Islam, kita akan pertimbangkan untuk menambah cawangan,” jelasnya. 

Sehingga kini termasuk yang terbaharu di Baling, ujar beliau, terdapat 36 pajak gadai Islam Ar-Rahn di bawah kendalian Koperasi Permodalan Kelantan Berhad di seluruh Malaysia. 

“Ar-Rahn milik Koperasi Permodalan Kelantan ini  menerima semua golongan sebagai pelanggannya termasuk yang mempunyai CCTIS/CTOS, selain membantu peniaga kecil mendapatkan modal perniagaan segera,” katanya. HARAKAHDAILY 6/3/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -