Royalti minyak: Langkah yang sangat tidak adil

Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

Memulakan bicara, saya ingin memetik suatu Firman Allah SWT dalam Surah al- A’raf, Ayat 96 (maksudnya): “Kalaulah penduduk sebuah negara itu beriman kepada Allah dan bertakwa kepada Allah SWT, nescaya Kami akan bukakan kepada mereka pintu-pintu pengurniaan, keberkatan, limpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Akan tetapi mereka mendustakan Rasul-rasul Kami lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksaan disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.

- Advertisement -

Ayat ini menggariskan panduan kepada kita bahawa aspek keberkatan dalam kehidupan ini merupakan perkara yang penting. Kita bukan hanya memberi fokus kepada nilai-nilai bersifat fizikal dan kebendaan semata-mata dengan mengabaikan nilai pembangunan kemanusiaan kerana tamak dan sikap haloba manusia tidak akan habis- habis.

Sebagai mana ingatan Allah SWT dalam al-Quran (maksudnya): “Kamu dilekakan untuk mengumpul harta sehingga kamu diusung ke kubur”. Oleh kerana itu, pembangunan yang seimbang antara keperluan fizikal dan spiritual, mesti juga diberi perhatian dalam belanjawan pihak kerajaan. Kita lihat bahawa dalam fokus kepada nilai-nilai kebendaan semata-mata akan mendedahkan kepada kita soal beberapa perkara yang akan boleh merosakkan pembangunan manusia dan pembangunan negara.

Untuk itu bajet pada kali ini saya lihat bahawa memberi juga perhatian soal tanggungjawab golongan-golongan yang kaya (T20), yang maha kaya. Dalam bajet disebut, untuk menyumbang kepada golongan yang miskin atau golongan yang susah.

Apa yang jelas kepada kita bahawa pembentangan tersebut tidak memperincikan mekanisme bagaimana penyaluran tanggungjawab golongan T20 ini supaya dia dapat jelas kaedahnya, formulanya dan mekanisme yang perlu dibuat. Tanpa mekanisme yang jelas ia hanya menjadi satu retorik yang tidak dapat dilaksanakan bila kita turun ke bawah. Saya lihat dalam konteks Islam ia jelas ia merupakan satu kewajipan disebut sebagai zakat, kata Rasulullah SAW (maksudnya): “Ambillah daripada golongan kaya mereka dan diberi kepada golongan miskin di kalangan mereka.”

Apa yang jelas ialah hasrat besar untuk menamatkan golongan miskin tegar yang dalam kaedah syarak disebut sebagai fuqara bukan al-masakin. Akan tetapi, golongan al-fuqara ini sentiasa disebut oleh Allah SWT ada lapan golongan yang layak menerima zakat.

Saya juga sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Semporna tadi agak khuatir tentang tempoh masa yang ada. Kita hanya ada masa lapan bulan dan kerajaan telah hendak menamatkan golongan miskin tegar dalam tempoh lapan bulan yang ada. Sebagaimana yang disebutkan tadi Dewan Negara belum luluskan bajet kita. Itu juga akan mengambil masa. Saya fikir bahawa sesuatu perancangan mesti jelas. Jangan akhirnya pada hujung penilaian kita dan prestasi kewangan negara akhirnya kita mendedahkan kegagalan kita dalam mencapai target yang telah kita letakkan.

Saya menyambut baik tentang kesediaan BERNAS bagi menyumbang 30 peratus keuntungan kepada penanam padi. Alangkah baiknya kalau keuntungan syarikat-syarikat lain sebagai contoh Top Glove yang mengaut keuntungan jutaan ringgit membekalkan sarung tangan kepada dunia pada waktu Covid-19 berlaku juga turut menyumbang kepada penoreh-penoreh getah yang berdepan dengan masalah kos dan kadar harga getah yang sangat tidak stabil dan tidak mampan. Tindakan kerajaan menaikkan 20 sen sebenarnya tidak banyak membantu. Ini kerana pada waktu yang sama hari ini penoreh getah berdepan dengan masalah penyakit yang melanda hampir seluruh negara.

Sebelum ini kita dapati pisang. Sampai sekarang kerajaan tidak ada penyelesaian bagaimana untuk mengatasi masalah penyakit yang melanda penanam-penanam pisang kita. Hari ini penanaman getah juga berhadapan dengan masalah ya. Getah meluruh tiga kali setahun dan menyebabkan susu tidak keluar hasil dan penoreh-penoreh getah berhadapan dengan masalah yang serius. Saya ingin mendapat penjelasan berapakah keluasan getah yang telah dijangkiti penyakit ini dan apakah mekanisme yang dibuat oleh pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam bajet yang lalu Yang Berhormat Menteri telah pun mengumumkan untuk menamatkan enam projek tebatan banjir. Dengan penamatan ini disebut bahawa kerajaan dapat penjimatan RM2 bilion. Saya rasa pelik sebab projek yang hendak ditamatkan ini belum dimulakan, belum laksana, belum ada surat setuju terima dan belum lantik kontraktor pun. Bagaimana kerajaan tiba-tiba boleh umum hendak tamat benda yang belum mula. Apa yang peliknya dapat penjimatan.

Saya fikir kalau kita tunda projek tersebut bukan penjimatan, kerajaan akan berdepan dengan kerugian. Oleh sebab setiap kali penangguhan projek ini ia akan melibatkan kos yang lebih meningkat. Kedua, ia juga turut mendatangkan kesan kepada setiap kali musim bencana berlaku. Negara kerugian antara RM6 bilion ke RM7 bilion setiap kali banjir berlaku. Saya fikir saya perlu dapatkan penjelasan. Manakah projeknya? Dalam pembentangan Yang Amat Berhormat Tambun mengumumkan tiga projek iaitu RTB Sungai Golok Fasa 3. Fasa 2 pun belum bermula. Fasa 3, kontraktor pun belum dilantik. Macam mana boleh jimat.

Kedua, projek dwifungsi Sungai Rasau. Kontraktor belum dilantik pun lagi, baru peringkat rundingan. Itu pun belum dilaksanakan. Masih di bawah Kementerian Kewangan. Apatah lagi RTC Segamat yang diumumkan.

Saya fikir Dewan perlu dapat penjelasan yang jelas terhadap perkara ini kerana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang dalam sesi lalu melihat bahawa peruntukan RM15 bilion yang diberi sebab sebahagian besar projek yang tertunda ini daripada RMKe-9 lagi. Oleh sebab itu, saya menyambut baik hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang sesi lepas yang telah memperuntukkan satu jumlah yang segera supaya isu banjir dapat kita muktamadkan dan kita tidak lengah-lengahkan.

Saya harapkan jangan setiap kali bertukar kerajaan akhirnya apa yang dirancang terpaksa dirombak balik dan terpaksa diubah semula seolah-olah apa yang dibuat dalam sistem sama ada tender terbuka atau tender terhad ataupun runding terus kepada perkara-perkara yang segera ia masih di dalam peraturan yang dibenarkan oleh Kementerian Kewangan. Jangan…

Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu]: Kubang Kerian, minta laluan. Minta maaf. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Berkaitan dengan pos Projek Tebatan Banjir, setuju atau tidak Yang Berhormat Kubang Kerian bahawa apa yang dicakapkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun itu. Mungkin tidak faham apa yang dicakapkan ataupun dia tidak tahu apa yang diperkatakan. Macam burung tiong bercakap. Setuju atau tidak?

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian]: Burung tiong itu saya setuju sebab dia pun tidak faham apa yang dia cakap. Saya fikir bahawa kita perlu, Dewan perlu dapat penjelasan yang jelas tentang isu ini. Soal tebatan banjir ini dan merupakan perkara dan fenomena yang berlaku akibat perubahan iklim yang sangat ketara mutakhir ini.

Semalam, satu jalan di Keratong telah terputus kerana hujan turun dengan lebatnya. Sekarang banjir tidak lagi berlaku di kawasan yang biasa. Ia akan berlaku di kawasan semua. Fenomena perubahan iklim ini memerlukan satu penelitian khusus. Saya menyambut baik hasrat pihak kerajaan yang telah pun membentuk kementerian yang dinyatakan jelas tentang perubahan iklim dalam kementerian sebut hari ini.

Isunya ialah agensi alam sekitar ataupun perubahan iklim ini belum diwujudkan lagi di peringkat kementerian. Saya berhasrat untuk meminta supaya pihak JPA khususnya menyegerakan pelantikan unit perubahan iklim ini sebab kita ada komitmen di peringkat antarabangsa dan kita juga penelitian terhadap beberapa akta yang melibatkan perubahan iklim yang perlu disegerakan.

Saya memahami situasi yang ada di peringkat kementerian sewaktu saya berada di sana dan perlunya ditambah kakitangan. Baru-baru ini Dewan yang mulia telah pun meluluskan satu akta Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekeliling Pindaan 2022 di mana kita telah pun menaikkan had denda sampai RM10 juta. Kita juga meningkatkan kadar kompaun. Akan tetapi yang jelasnya penguat kuasa kita staf Jabatan Alam Sekitar ini sangat tidak mencukupi. Satu negeri ada dua sahaja cawangan Jabatan Alam Sekitar. Tidak mungkin mereka boleh memantau seluruh negeri tersebut.

Bila berlaku satu kes pencemaran yang melibatkan sungai ataupun udara dan sebagainya penguatkuasaan perlu segera supaya pembuktian dapat diambil pada waktu kejadian. Kelewatan sampai ke tempat kejadian menyebabkan bukti akan hilang, pendakwaan tidak boleh hendak buat. Ini antara cabaran-cabaran besar.

Saya simpati dengan apa yang berlaku dan saya minta pihak jabatan JPA khususnya dan pihak kementerian dapat meneliti perkara ini supaya penambahan staf, kakitangan dan agensi-agensi yang melibatkan perubahan iklim dapat kita laksanakan.

Akhirnya, saya dengan masa yang ada saya hendak sentuh sikit soal pembangunan yang seimbang di antara negeri. Dalam sesi lalu kita ada Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030). Saya fikir bahawa projek dan perkara ini perlu diteruskan. Dalam pembangunan yang ada baru-baru ini kita jelas seolah-olahnya kerajaan menyenaraikan enam negeri ini sebagai negeri kurang maju seperti Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Apa makna kita senarai kalau peruntukan kita tidak bagi.

Ya, kita menyenaraikan setiap tahun negeri miskin. Royalti minyak dibatalkan sedangkan untuk makluman waktu perjanjian royalti minyak yang dibuat dengan Kelantan dan negeri lain yang diadakan perjanjian tersebut, kita dapati isu tiga batu nautika langsung tidak termasuk dalam perjanjian. Perjanjian yang diadakan pada 9 Mei 1975 sedangkan perjanjian ataupun Akta Laut dan Wilayah [Akta 750] diwartakan pada 17 Jun 2012. Mana mungkin perjanjian yang baru dia boleh buat hendak membatalkan, hendak mengehadkan perjanjian yang telah dipersetujui sebelumnya. Saya fikir ini langkah yang sangat tidak adil.

Untuk makluman, Sabah dan Kelantan dua negeri yang menolak akta ini, Akta Laut dan Wilayah [Akta 750] kerana melihat bahawa akta ini sengaja digubal untuk menyekat peluang-peluang negeri tersebut untuk mendapatkan hasil bagi negeri. Ternyata sekarang terbukti. Alasan diberi kerana di luar daripada tiga batu nautika. Soalnya Terengganu yang berpuluh tahun dapat royalti pada waktu itu di bawah peraturan mana?

Saya minta bahawa perkara ini dapat dipertimbangkan dengan rapi dan supaya pembangunan yang seimbang dapat kita teruskan. Tidak guna kita bicarakan negara-negara yang hanya melibatkan pembangunan si tempat tertentu sedangkan rakyat kita di luar bandar, di negeri-negeri tertentu terus terpinggir dan ini akan menyebabkan jurang yang besar pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 3/3/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 1 Mac 2023.

- Advertisement -