Tunaikan hasrat Anwar mahu moratorium pembalakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerantut, Ir Khairil Nizam Khirudin, berharap kementerian bertanggungjawab dapat menunaikan keinginan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan moratorium pembalakan.

Menurut Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) itu, semasa Anwar (PH-Tambun) menjadi Ketua Pembangkang sebelum ini, beliau menyatakan banjir teruk di Pahang berlaku akibat pembalakan dan moratorium itu perlu dilaksanakan.

- Advertisement -

Katanya, Anwar ketika itu berkata moratorium itu bagi menghentikan semua aktiviti pembalakan termasuk yang telah diluluskan, serta tidak memberi kelulusan baharu untuk pembalakan tanpa mengira kedudukan, darjat ataupun pengaruh politik.

“Menariknya, beliau pada waktu itu menegaskan supaya didedahkan semua lesen pembalakan yang diluluskan dalam jangka masa lima tahun.

“Jadi saya harap kementerian terbabit, boleh ambil kenyataan daripada Perdana Menteri sekarang untuk dibentangkan dalam penggulungan 40 minit nanti.

“Apakah nama dan pengusaha yang telah mendapat lesen dalam masa lima tahun, saya merayu supaya dapat dimasukkan item (perkara) ini dalam Belanjawan ini,” katanya semasa membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat itu, walaupun lesen pembalakan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kerajaan Pusat yang menguruskan urusan polisi.

Katanya, moratorium pembalakan ini adalah polisi di peringkat kerajaan Pusat untuk membantu kerajaan negeri.

“Jika ada moratorium dan berikan kepada kerajaan negeri, kemudian diminta kurangkan pembalakan, Insya-Allah, perkara ini boleh dilaksanakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -