KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengingatkan Perdana Menteri bahawa beliau tidak akan berada pada kedudukan sekarang jika tidak diberi pengampunan oleh Sultan Kelantan yang ketika itu adalah Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, Sultan Muhammad V pada 16 Mei 2018, berkenan memberi pengampunan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika itu setelah melalui proses pengampunan.
“Ahli Parlimen Tambun ini, jika tidak kerana diampuni perkenan untuk dibebaskan, maka Tambun takkan sampai ke sini pada hari ini. Siapa yang bertanggungjawab? Tidak lain, Sultan Kelantan yang merupakan Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu.
“Dan Sultan inilah yang bertitah agar penyelesaian isu tuntutan bayaran tunai petroleum dapat diselesaikan mengikut perjanjian yang telah ditandatangani,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Marzuk berkata, ketika Istiadat Perasmian Pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Mac 2012. Sultan Kelantan bertitah agar gas dapat didaratkan di negeri Kelantan kerana telah menyediakan zon industri petroleum di Pantai Bachok seluas 4,000 ekar sejak 1990 lagi.
“Semuanya ini berlaku di zaman Tambun sebagai Menteri Kewangan, sepatutnya kawasan Joint Development Area (Kawasan Pembangunan Bersama), iaitu sebuah kawasan perlombongan petroleum di kawasan bertindih dengan Thailand yang jaraknya dengan Pantai Bachok hanya 140 kilometer.
“Tetapi Tambun pada 1996 sebagai Menteri Kewangan telah melarikan pendaratan gas ini ke Songkhla, Thailand, jaraknya 230 km. Jika kata mahu mengangkat martabat Melayu, Melayu mana yang ada di Songkhla Thailand,” ujarnya.
Begitu juga jika mahu menghapuskan miskin tegar, sepatutnya minyak itu didaratkan di Pantai Bachok, Kelantan kerana sudah pasti ia akan memacu industri hiliran namun tidak berlaku demikian.
Bukan itu sahaja, Ahmad Marzuk menegaskan bahawa hasil lima peratus daripada hasil petroleum tidak diberikan kepada Kelantan. – HARAKAHDAILY 2/3/2023