Tabung Haji tidak peruntukkan kuota khusus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji tidak memperuntukkan kuota khusus kepada mana-mana kumpulan atau pihak tertentu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Nai’im Mokhtar.

- Advertisement -

“Tiada keistimewaan diberikan kepada pesara tentera, polis atau pun penjawat awam dalam pemilihan bakal haji,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Khlir Mohd Nor [PN-Ketereh] pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Khlir dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan adakah sebarang perancangan untuk memberikan penambahan kuota haji Muassasah atau keutamaan kepada veteran ATM yang ingin mengerjakan ibadah haji.

Menurut Mohd Nai’im lagi, Lembaga Tabung Haji mengamalkan sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep yang mendaftar dahulu didahulukan.

Katanya, sistem penggiliran ini telah bermula sejak tahun 1995, iaitu setelah penetapan kuota rasmi setiap negara dikuatkuasakan sepenuhnya oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Melalui sistem pendaftaran haji ini, pemilihan bakal haji untuk menunaikan fardu haji setiap tahun adalah berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji mereka,” katanya.

Tambahnya, tawaran untuk menunaikan haji ke Tanah Suci akan dibuat kepada mereka yang telah tiba giliran pada tahun semasa. – HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -