Mereka tidak faham konsep hidup kekal selepas mati

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh
- Advertisement -

Pasir Puteh berdiri pada hari ini bukan untuk menolak belanjawan tetapi untuk menyokong belanjawan yang baik, yang berguna kepada rakyat. Ada beberapa teguran yang akan ditegur oleh Pasir Puteh, yang saya kira semua pihak perlu menerima dengan hati yang terbuka.

- Advertisement -

Pertamanya, saya rakamkan jutaan terima kasih kepada sahabat saya dari Muar, sahabat saya dari Pasir Gudang pun ada, dari Titiwangsa dan dari Damansara yang saya lihat ucapan-ucapan mereka ini sangat membina. Kita membahaskan belanjawan negara ini untuk membina negara kita. Kami barisan pembangkang ini, kita membahas untuk membina negara, bukan untuk kita mengkritik secara membabi buta. Ini perlu difahami oleh kita. Ini adalah tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat kepada kita dan yang lebih besar daripada itu iaitu tanggungjawab ini diberi oleh Allah SWT kepada kita yang akan ditanya oleh Allah apabila kita mati suatu hari nanti.

Dalam ucapan ini, suka saya menyentuh bahawa perbincangan bajet negara kita ini selepas daripada Covid-19, satu. Kedua, dalam situasi peperangan di antara Rusia dan Ukraine yang masih berlanjutan, tentunya memerlukan kepada pakar-pakar untuk melihat negara kita ini lebih maju ke hadapan dan mampu membina kekuatan ekonomi kita dalam situasi kita bersaing dengan negara-negara yang lain yang ada di antara negara, kadar inflasi mereka menurun dan tidak dinafikan ada negara yang kadar inflasinya meningkat lebih daripada negara kita.

Apa yang ingin saya sebut iaitu ialah berkenaan dengan reform, berkenaan dengan ekonomi di dalam negara kita. Reformasi ini bila kita sebut, saya ingin menyambung sedikit daripada apa yang disebut oleh Muar, yang pertama sekali ialah reformasi institusi. Ini semua kita faham. Kedua iaitu kita mesti reformasi dasar dan yang ketiga, yang ingin saya tambah iaitu reformasi kepada personaliti.

Oleh sebab, kalau kita ubah dasar macam mana sekalipun, kalau kita ubah, reformasi institusi macam mana sekalipun, kalau individu-individu sama ada mereka ini pemimpin, mereka ini pegawai-pegawai kerajaan, mereka ini orang yang bertindak di institusi-institusi kerajaan, yang tidak ada sahsiah ataupun tidak ada moral, tidak ada personaliti, apa yang kita sebut reformasi ini tidak ke mana-mana. Apa yang ingin Pasir Puteh cadangkan pada hari ini supaya kerajaan mengambil pendekatan me-reform ketiga-tiga perkara ini secara serentak dengan memartabatkan Kementerian Agama supaya Kementerian Agama ini mampu memandu masyarakat. Terutama sekali masyarakat yang beragama Islam di dalam negara kita supaya mereka memahami dan beriman, kalau mereka dilantik sebagai pemimpin, mereka adalah amanah di sisi Allah. Mereka akan dipersoal selepas daripada mati, insya-Allah kalau dia Perdana Menteri, dia tidak akan berdendam. Dia tidak akan mencari keaiban orang tetapi dia akan bina negara.

Apa yang saya bimbang, dengan maaf, bila saya perhati dengan teliti bajet yang dibentangkan, mengapakah pembangkang diketepikan? Oleh sebab personaliti, kerana tanggungjawab dengan Allah SWT ini boleh dipertikaikan. Mereka tidak memahami konsep ini, mereka tidak memahami konsep kita akan hidup kekal abadi selepas daripada mati. Jadi, reformasi perkara ini perlu wujud di dalam Dewan yang mulia ini supaya bila kita hendak bangunkan negara di sudut ekonomi, kita mampu melonjak ekonomi kita dengan megah, dengan hebat, insya-Allah.

Saya ingin menyebut yang pertama sekali pembangunan ekonomi industri kecil dan sederhana. Dalam negara kita, industri yang paling besar iaitu industri kecil dan sederhana yang dipegang oleh rakyat kita di merata ceruk, di kampung- kampung. Mereka ini harus dibela dan saya ingin ingatkan kepada kerajaan yang baharu ini supaya mereka menyambung usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum daripada ini. Imma Kerajaan Perikatan Nasional, imma Kerajaan Umno-Barisan Nasional sebelum daripada ini, imma mana sahaja yang baik, ambil yang baik, yang tidak baik, kita jernihkan mana-mana yang tidak baik.

Oleh sebab, usahawan kecil dan sederhana ini, mereka berhadapan dengan berbagai-bagai kekangan untuk mereka maju. Sebagai contoh, hasil-hasil yang diusahakan oleh pengusaha-pengusaha kita, industri kecil dan sederhana, ke manakah mereka hendak salurkan? Ini ialah tugas dan tanggungjawab kerajaan. Sebelum daripada ini sudah ada pelan-pelan yang diatur susun dengan baik. Saya minta supaya ketepikan politik dan sebelah pembangkang pun kita jangan sebut bahawa ini idea daripada kita. Ini kerajaan tiru kita. Kita baiki semua dan kerajaan jangan rasa angkuh. Semua yang dibuat dahulu seolah-olah tidak betul, tidak betul.

Kita kena ingat, semua manusia ada salah, ada silap. Kalau kita tidak ada salah, tidak ada silap, nama kita bukan manusia, nama kita malaikat. Memang kita ada salah, kita ada silap, sebaik-baik manusia, orang yang menerima kesalahan dan kesilapan. Oleh sebab itulah, industri kecil dan sederhana ini perlu dipandu oleh kerajaan. Selain daripada kerajaan menambahkan peruntukan-peruntukan yang sewajarnya kepada mereka, kerajaan mesti memandu. Ada produk yang dikeluarkan oleh mereka barangkali kalau dihimpun, boleh dieksport ke luar negara.

Kita kena belajar. Singapura sebagai contoh, yang tidak ada pertanian, tidak ada rambutan, tidak ada apa. Kalau kita pergi ke negara-negara Arab, kita tengok yang ditinkan itu, ‘Made in Singapore’. Kita telah merancang sebelum daripada ini. Saya sebut, kita telah merancang, kita sudah ada pelan supaya bahan-bahan pertanian yang ada dalam negara kita ini dapat kita manfaatkan dengan sebaik mungkin dan ia tidak berlaku pembaziran. Kita boleh eksport, kita boleh buat macam-macam perkara.

Masa tidak mengizinkan, maka sedikit saya ingin menyentuh isu yang berlaku di dalam Parlimen saya, Pasir Puteh. Pertama sekali, saya minta kerajaan memandu projek tenusu yang diwujudkan di negeri Kelantan di Daerah Pasir Puteh yang terkenal iaitu projek tenusu, projek ternakan yang kita gabung jalin dengan pelancongan.

Nama ia Jeram Mengaji. Di sana ada projek tenusu, di sana ada binatang-binatang model yang kita perkenalkan untuk masyarakat-masyarakat kampung ini mereka libatkan diri. Ada lembu-lembu yang ia punya brand, berjenama yang hebat, yang boleh dijual harganya mencecah lebih RM40,000 untuk satu ekor. Ini juga perlu dipandu oleh kerajaan. Jangan sampai tahap bila kita lihat ini ialah negeri pembangkang, maka tidak boleh ditolong. Tadi sahabat saya sebut airport di negeri Kedah, di Kulim dibatalkan.

Ini semua sekali benda-benda, tindakan yang merugikan negara dan merugikan masyarakat. Adanya airports lebih banyak yang lebih menguntungkan, lebih baik, mampu menjana ekonomi dan buka peluang pekerjaan kepada rakyat. Jangan kita bertindak ini kerana perbezaan parti politik kita.

Ini satu perkara yang telah ditolak oleh generasi muda. Oleh sebab itulah dalam pilihan raya baru-baru ini kita tengok generasi muda, saya ucapkan ribuan terima kasih. Minda politik mereka sangat hebat dan tinggi. Mereka kenal mana batu, mana permata. Mereka tahu mana kerajaan yang boleh membangunkan negara, mana kerajaan yang hanya mengambil kesempatan untuk memerintah negara, mereka tahu. Saya ucap ribuan terima kasih kepada generasi muda.

Kedua, yang ingin saya sentuh adalah berkenaan dengan pembangunan di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan. Tok Bali telah diluluskan satu pelabuhan, bukan supply base tetapi satu pelabuhan di mana hab perikanan akan dibuka di Tok Bali yang boleh mengelak para usahawan pukat jerut membawa hasil tangkapan mereka ke negara jiran, Thailand. Hasil dari Malaysia dibawa. Ada yang dibawa melalui lautan, ada yang didaratkan di Tok Bali kemudian lori-lori ini berpusu-pusu pergi ke Thailand. Ini sebab apa? Kita tidak ada prasarana.

Alhamdulillah, kerajaan yang lepas telah meluluskan benda ini. Saya kira kerajaan hari ini pun profesional dan insya-Allah kita sama-sama bangunkan negara kita. Ini adalah kerana kalau kita teruskan program Tok Bali sebagai pelabuhan, ia akan memberi pulangan yang sangat lumayan bukan sahaja kepada kerajaan negeri tetapi lebih lumayan kepada Kerajaan Pusat itu sendiri.

Ketiga iaitu Taman Industri Tok Bali. Di sana kita hendak jadikan Tok Bali ini sebagai hab halal kepada semua rakyat kerana makanan halal ini bukan dimakan oleh masyarakat Islam tetapi menjadi kegemaran kepada semua manusia. Ini adalah kerana apabila kita sebut halal, ia adalah halalan toyyiban. Makanan yang pertamanya halal. Keduanya, yang baik dan berkualiti. Jadi kita hendak jadikan Tok Bali ini sebagai hab halal makanan.

Seterusnya, prasarana ekonomi di kawasan Tok Bali seperti pasar-pasar yang telah – kalau sebelum ini diluluskan, saya harap tidak ada sekatan-sekatan.

Begitu juga yang terakhir yang ingin saya sentuh sedikit iaitu berkenaan dengan royalti. Walaupun ia bertelingkah tetapi royalti ini pada waktu perjanjian dahulu jelas ia adalah hak negeri Kelantan. Tiba-tiba selepas daripada itu, Kerajaan Persekutuan membuat pentafsiran sendiri sempadan lautan yang dimiliki oleh negeri dan juga oleh Persekutuan. Sedangkan di dalam Perlembagaan Kelantan jelas menyebut bahawa peraturan ini tidak boleh diubah kecuali dengan mendapat keizinan daripada Dewan Undangan Negeri dan daripada Majlis Tuanku Sultan negeri Kelantan Darul Naim.

Akan tetapi, ini yang disebut oleh Yang Berhormat Muar tadi, kalau kita buat reformasi biarlah ada dasar. Ini sudah kalau ada dasar kita langgar, kita itu, kita ini, menyebabkan tidak ke mana-mana kita. Kita hendak berkelahi, di manakah keuntungan kita? Negara kita akan menggelongsor ke bawah bukan maju ke hadapan, kalau kita sentiasa bertembung. Kita tidak payah bertembung.

Pembangkang, kerajaan; ada benda yang kita sekata. Ada benda yang kita berkhilaf. Akan tetapi, berkhilaf kita jangan sampai merugikan negara. Jangan sampai menjejaskan ekonomi yang sedang dibina oleh negara kita.

Jadi sebab itu, insya-Allah saya rumuskan. Saya doa kepada Allah SWT supaya negara kita lebih maju. Insya-Allah kami barisan pembangkang ini akan sentiasa membina negara kita dan kalau ia disambut dengan suasana yang muram oleh kerajaan yang ada pada hari ini, insya-Allah kita akan pastikan satu hari yang tidak lama lagi pihak kerajaan akan berada di kerusi pembangkang, insya-Allah. – HARAKAHDAILY 2/3/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 28 Februari 2023.

- Advertisement -