Royalti: Kerajaan PH-BN ulangi agenda era BN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan sekali lagi dinafikan hak terhadap royalti petroleum, mengulangi agenda yang pernah berlaku ketika era pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

- Advertisement -

Sedangkan ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Keluarga Malaysia sekatan tersebut tidak berlaku.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan Malaysia Madani yang dipelopori PH-BN mengulangi semula apa yang pernah berlaku sebelum 2018.

Katanya, era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Ismail Sabri Yaakub lebih berjiwa besar bagi memastikan hak rakyat Kelantan tidak dihalang.

“Apa pun kita tetap akan terus berusaha mendapatkan hak ke atas royalti sebagaimana yang termaktub dalam Akta Petroleum 1975.

“Malah almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyebut apabila sampai di simpang lampu isyarat kita kena berhenti sekejap.

“Tetapi jangan pula kita matikan enjin kenderaan kerana kita berhenti seketika sahaja. Kita akan terus berjuang mendapat hak,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim hari ini.

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilapor berkata, Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus.

Ini kerana kata beliau Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga 3 batu nautika.

Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, Kelantan akan berbincang dengan mana-mana pihak untuk menentukan kaedah yang boleh dilakukan. – HARAKAHDAILY 1/3/2023

- Advertisement -