Kesal Jawi tidak dapat perhatian

- Advertisement -

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit kesal dan terkilan apabila isu tulisan Jawi yang dibahaskannya sebelum ini, tidak mendapat perhatian sewajarnya pihak kerajaan Persekutuan.

- Advertisement -

Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek, katanya ketika menjawab soalan berkenaan, tidak memberitahunya dengan jelas dan terang hingga beliau terpaksa bangun sekali lagi memohon penjelasan berkenaannya.

“Saya bawa isu martabat tulisan Jawi dalam ucapan perbahasan Titah Diraja pada Sidang Dewan Rakyat minggu lalu tetapi Menteri Pendidikan berkata, isu itu tidak terkandung dalam ucapan perbahasan saya,” kata beliau agak kesal.

Melalui hantarannya kepada Harakahdaily semalam, Sabri berkata, tulisan Jawi perlu dipersada dan diangkat namun beliau merasa agak kesal kerana Jawi telah ditiadakan dalam kertas Pendidikan Islam, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini amanah pencinta Jawi, minta saya sampaikan dalam Dewan Rakyat,” tambahnya lagi.

Pada masa sama, beliau mengharapkan pihak yang mencatat isu-isu yang dikemukakan pada ucapan perbahasan jangan alpa sebaliknya lebih peka terutama berkaitan pendidikan seumpama itu.

Beliau juga memohon Menteri Pendidikan yang dikatakan beramanah dan mampu mendengar keluhan rakyat agar dapat menggunakan kebijakan politik untuk memberdaya Jawi di arus perdana pendidikan. – HARAKAHDAILY 27/2/23

- Advertisement -