Tidak wajibkan kuota ambil pekerja OKU

Mohd Hasnizan Harun
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mewajibkan kuota pengambilan pekerja orang kurang upaya (OKU) ke atas majikan, kata Kementerian Sumber Manusia.

- Advertisement -

Menurutnya, pengambilan pekerja OKU adalah atas inisiatif majikan masing-masing.

Katanya, berdasarkan pendaftaran OKU bagi tahun 2022 oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, jumlah pengambilan pekerja adalah berjumlah 661,257 orang.

Kementerian itu menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd Hasnizan Harun [PN-Hulu Selangor] di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Hasnizan meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah kementerian menyediakan kuota industri yang mewajibkan pengambilan OKU sebagai pekerja.

Pada masa yang sama, katanya kerajaan sentiasa mengambil inisiatif meningkatkan peluang pekerjaan golongan OKU melalui Jawatankuasa Pekerjaan KSM di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya yang bertanggungjawab untuk menyelaras program dan aktiviti penawaran peluang pekerjaan kepada OKU, memurnikan pelan tindakan Ahli-ahli Jawatankuasa bagi pelaksanaan program/aktiviti dan peluang pekerjaan kepada OKU dan membantu meningkatkan penempatan OKU di sektor awam dan swasta secara lebih komprehensif dan sistematik.

Selain itu, jelasnya Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO menyediakan program-program bagi peningkatan modal insan dan kebolehpasaran pekerja termasuk pekerja OKU seperti khidmat kaunseling kerjaya, skills profiling, penulisan resume, mock interview, latihan kemahiran bahasa dan penyampaian serta seminar pekerjaan.

“Melalui inisiatif-inisiatif ini, kebolehpasaran golongan OKU dapat ditingkatkan selain meluaskan peluang mereka untuk memasuki pasaran kerja,” katanya.

Tambahnya, PERKESO juga giat menganjurkan Karnival Khas OKU di seluruh Malaysia bagi golongan OKU mendapatkan pekerjaan serta mempromosi pekerjaan OKU kepada majikan. – HARAKAHDAILY 27/2/2023

- Advertisement -