Kedah Aerotropolis dilaksana secara PFI

Perlu kerjasama agensi Persekutuan dalam konteks lain

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri Kedah ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesedaran mengenai wujudnya projek mega Kedah Aerotropolis.

- Advertisement -

Kedah Aerotropolis merangkumi beberapa komponen termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang sedang dalam perancangan untuk dibangunkan di kawasan bersempadan tiga daerah Kuala Muda, Kulim dan Baling di negeri ini.

Kedah Aerotropolis adalah projek berimpak tinggi yang akan dibangunkan melalui pelaburan syarikat swasta tempatan tanpa melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Dalam kedudukan kewangan yang kurang memberangsangkan, Kerajaan Negeri Kedah memilih untuk melaksanakan projek berkenaan secara pelaburan swasta (PFI) sepenuhnya.

Dalam konteks ini, apa yang diperlukan ialah kerjasama daripada agensi-agensi Persekutuan untuk memudah cara sebarang urusan yang berkaitan dengan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan seperti dalam urusan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Secara umum, projek ini adalah katalis yang berpotensi tinggi untuk menarik kemasukan pelaburan asing melalui pembukaan kawasan perindustrian baharu berasaskan industri berteknologi tinggi aeroangkasa dan penerbangan.

Ini akan direalisasikan menerusi pembukaan Sidam Logistic Aerospace Manufacturing Hub (SLAM) sebagai kawasan perindustrian yang memberi tumpuan kepada industri MRO (Maintenance, Repair & Overhaul) yang sangat diperlukan dalam sektor penerbangan.

Selain itu projek jajaran lebuh raya — Northern Corridor Highway (NCH) — yang akan menghubungkan Lebuhraya PLUS di daerah Bandar Baharu dengan KXP dan Sungai Petani juga akan dibangunkan.

Rangkaian landasan keretapi baharu juga akan dibina menghubungkan Kedah Aerotropolis (KXP) dengan Tasik Gelugor dan Sungai Petani.

Dalam konteks Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), KXP tidak akan jadi pesaing kepada lapangan terbang terbabit. Ini kerana KXP akan beroperasi sebagai hab kargo, manakala segmen penumpang belum dipertimbangkan dalam fasa ini.

Justeru LTAPP boleh terus memberi fokus kepada perkhidmatan yang ditawarkan dan menerima bahawa projek KXP adalah untuk menjadi pelengkap, bukannya pesaing kepada lapangan terbang itu.

Saya percaya YAB Perdana Menteri setakat ini belum mendapat gambaran penuh mengenai projek KXP dan usaha untuk membuat pembentangan projek ini di hadapan beliau akan dilakukan.

Setakat ini sudah dua kali surat permohonan bertemu bagi tujuan itu telahpun dihantar kepada YAB Perdana Menteri namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.

Walau apa jua rintangan, adalah diharapkan agar suatu titik temu akan dapat dicapai bagi merealisasikan usaha ini demi kepentingan dan manfaat rakyat Kedah khususnya, dan seluruh negara amnya.

Sekian, terima kasih.

Salam hormat,

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah
Makkah Al Mukarromah – HARAKAHDAILY 25/2/2023

- Advertisement -