Apa ada pada 100 hari PH-BN?

- Advertisement -

MENJELANG awal Mac ini genaplah seratus hari pentadbiran Kerajaan Campuran Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Puluhan tahun Anwar berjuang dan bertarung untuk menjadi Perdana Menteri. Seawal 1993 iaitu kira-kira 30 tahun lalu apabila merangkul jawatan Timbalan Presiden Umno, Anwar sudah nampak jawatan Perdana Menteri terpapar di hadapannya. Tetapi 5 tahun kemudian 1998, beliau dipecat dari jawatannya sekali gus ditendang keluar dari Umno atas pelbagai pertuduhan.

Dari luar Umno, beliau keluar masuk penjara dan terus bergelut menubuhkan parti baru, demi melangsungkan hasratnya untuk mendapatkan jawatan Perdana Menteri.

Pada 10 Mei 2018, musuh ketatnya Tun Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke dan isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah naik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anwar ketika itu masih dipenjara, namun Mahathir dilihat sekadar memanaskan kerusi, kerana usaha dilakukan untuk membebaskannya dan kemudian mengambil-alih jawatan Perdana Menteri dari Mahathir.

Malangnya Mahathir enggan memberi laluan dan akhirnya meletak jawatan sehingga memungkinkan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula naik sebagai Perdana Menteri ke-8 dan bukannya Anwar. Sekali lagi proses menunggunya terpaksa dilanjutkan. Beliau terus menunggu apabila Muhyiddin pula diganti Dato’ Sri Ismail Sabri dan akhirnya setelah 30 tahun menunggu beliau dinobat sebagai Perdana Menteri dan kini sudah hampir 100 hari menjawat jawatan yang diidam-idamkannya itu.

Sebelum jadi Perdana Menteri, Anwar menyerang Perdana Menteri – Perdana Menteri sebelumnya. Masing-masing tempang dan pincang ada sahaja kelemahan dan kekurangan. Kini giliran Anwar, sudah pasti rakyat yang mengundi PH termasuklah rakyat yang tidak, mahu melihat apa istimewa dan luar biasanya Anwar sebagai Perdana Menteri.

Saya yakin rakyat Malaysia rata-rata masih ingat ucapan Anwar sebelum jadi Perdana Menteri yang kini tular merata di media sosial, “Saya ulang ditakdirkan kita perintah dalam sedikit masa lagi, hari ini ambil alih kuasa, besok harga minyak turun”. Dalam satu lagi klip: “ ….. bukan 20 hari, 2 minggu, 24 jam (setelah berkuasa) saya umum harga minyak turun.”

Malangnya setelah hampir 100 hari Anwar sebagai Perdana Menteri, harga minyak RON95 di pasaran masih tidak berubah iaitu pada RM2.05 seliter. Apa sudah jadi?

Pasti kegagalan menurunkan harga minyak ini bagi rakyat adalah isyarat bahawa Anwar sesungguhnya telah memperdayakan mereka.

Rupanya siapa sahaja Perdana Menteri, mustahil boleh menurunkan harga minyak sesuka hati dalam keadaan pasaran yang mencabar hari ini lantas menjadikan janji-janji Anwar sebelum jadi Perdana Menteri itu adalah palsu, bahan untuk menarik sokongan rakyat semata-mata.

Rakyat sekurang-kurangnya yang mengundi dan menyokong PH mengharapkan Anwar mampu membawa perubahan besar sebaik jadi Perdana Menteri terutama dalam menangani permasalahan kos hidup rakyat. Memang ekonomi negara dan dunia baru mahu pulih setelah terjejas teruk apabila berhadapan dengan pandemik COVID-19 sekian lama. Peperangan di Ukraine turut menjejaskan pemulihan pasaran dunia, tetapi kempen-kempen Anwar sebelum menjadi Perdana Menteri seakan mengecilkan permasalahan ini.

Beliau mendakwa kiranya diberi kepercayaan, beliau sebagai Perdana Menteri akan mampu mengatasi permasalahan ini dan akan membela serta mempertahankan nasib dan masa depan rakyat.

Hari ini setelah 100 hari Anwar Perdana Menteri, keluhan rakyat bukannya semakin terkawal tetapi sebaliknya ia semakin kuat dan lantang. Harga bahan makanan di pasaran semakin melonjak naik. Bekalan telur ayam terjejas di pasaran dan harganya juga tidak turun. 

Sehingga ke hari ini walau Anwar telah Perdana Menteri, rakyat seakan tidak nampak jalan bagi Anwar memulih dan membantu hidup mereka. Tuntutan golongan B40 agar mereka sekali lagi dibenarkan membuat pengeluaran simpanan di KWSP ditolak bulat-bulat tanpa memberi pilihan atau alternatif yang membantu. Memang simpanan KWSP dirancang sebagai simpanan untuk kegunaan masa tua, isunya rakyat khasnya golongan ini kesempitan dalam mengharungi arus kehidupan semasa, jika tidak mereka pun tahu maksud simpanan KWSP itu, tetapi mereka terdesak.

Apakah yang Anwar lakukan sebenarnya setelah berkuasa? Rakyat sangkakan setelah 30 tahun menunggu giliran kurang-kurang Anwar sudah punya perancangan teliti untuk membawa perubahan, reformasi sebagaimana slogan laungannya.

Akan tetapi kini ramai sedar ia semua kosong belaka. Integriti yang dilaung-laungkan tidak bermakna apabila beliau membentuk kerajaan bersama pimpinan yang sedang menghadapi kes rasuah dan penyelewengan di mahkamah. Pimpinan inilah beliau dakwa dulu sebagai penyamun dan perompak tetapi hari ini duduk bersama beliau dalam Kabinet. Dulu Umno jijik dan kotor, kini Umno rakan baik.

Beliau juga sebelum ini melaungkan akan menentang sebarang bentuk kronisma mahupun nepotisma dalam pentadbiran kiranya berkuasa, tetapi bila peroleh kuasa sewenang-wenang melantik anak sendiri ke jawatan dalam kerajaan, walaupun konon tidak bergaji tetapi telah sebenarnya memadamkan slogan yang diperjuangkannya sendiri sebelum ini.

PH juga berjanji sebelum ini bahawa Perdana Menteri tidak akan lagi dibenarkan memegang jawatan Menteri Kewangan agar ada semak dan imbang serta mengelakkan sebarang konflik kepentingan mahupun salah guna kuasa. Sejak Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-7, diikuti Tan Sri Muhyiddin dan terakhir Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9, jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipisahkan atas prinsip ini, malangnya masuk Anwar segalanya disondol dan kini sebagai Perdana Menteri ke-10 beliau juga kembali sebagai Menteri Kewangan. Tidakkah memungkiri janji namanya?

Lebih mengecewakan lagi, Anwar sebagai Perdana Menteri bukan lagi pejuang yang memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat. Semasa di blok pembangkang dahulu beliau mendakwa pentadbiran sebelumnya menyekat dan menghalang kebebasan bersuara rakyat. Rakyat diugut dan dikenakan tindakan kiranya menentang kerajaan walaupun ikut saluran yang betul. 

Kini apabila beliau Perdana Menteri, bukannya rakyat diberikan kebebasan sebagaimana yang dijanjikan sebaliknya para pengkritik dan penentang diambil tindakan sehinggakan pengamal media sosial yang dikatakan membantu kempen PN dikenakan pelbagai bentuk tindakan.

Dengan pelbagai kegagalan dan kelemahan ini rakyat mula bimbang apakah Anwar sebenarnya mampu memikul jawatan Perdana Menteri ini? Rakyat sedar bersamanya di dalam Kabinet dan kerajaan bukan sekadar BN dengan 30 kerusi tetapi lebih dominan adalah DAP dengan kekuatan 40 kerusi.

Apakah Anwar punya kekuatan dan kemampuan politik mengawal nafsu dan cita-cita politik melampau DAP atau adakah beliau akhirnya akan tunduk menyerah kerana kekuatan DAP dan BN lah yang memberi peluang kepadanya duduk di kerusi Perdana Menteri yang diidam-idamkannya itu.

100 hari dengan Anwar sebagai Perdana Menteri, pasti membuka mata rakyat. Lain yang diundi lain yang dapat. Moga semua pihak segera insaf dan apa sahaja peluang untuk membuat perubahan perlu disambut dan disokong.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 24/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -