Nepotisme: Bersangka baik PM ada qaul qadim, qaul jadid

- Advertisement -

KUALA Krai ingin menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengundi Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 baru-baru ini. Saya ingin memberi kemenangan besar dengan majoriti yang juga besar-besar. Tentunya ucapan ini saya khususkan juga untuk pengundi Kuala Krai yang terus memberikan kemenangan kepada PAS dan Perikatan Nasional dengan majoriti 25,188 berbanding 7,992 pada PRU14. Saya sekali lagi diberikan peluang untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Parlimen Kuala Krai. Untuk rakyat Kuala Krai yang saya kasihi,

- Advertisement -

Durian kunyit buah kuini,
Kain batik kain sutera,
Ambo pikul tanggungjawab ini,
Semoga Kuala Krai kekal sejahtera.

Tuan Yang di-Pertua, pada persidangan pertama pasca PRU pada bulan Disember tahun lepas, Ketua Pembangkang Yang Berhormat Larut membaca sepotong ayat Al-Quran dan mafhumnya. Ia diperbetulkan oleh kawan-kawan sebelah sana kerana kononnya mafhum yang dibaca oleh Ketua Pembangkang adalah tidak betul. Kemudian Yang Amat Berhormat Tambun pula memperbetulkan bacaan yang pada pandangan beliau, Yang Berhormat Larut juga salah membacanya. Saya tidak ingin mengulas betul atau salah bacaan dan mafhumnya kerana boleh dirujuk kepada Tafsir Pimpinan ar-Rahman dan telah pun diperbetulkan oleh netizens waima bacaan Yang Berhormat Larut, malah Yang Amat Berhormat Tambun sendiri. Apa yang saya ingin sebutkan di sini ialah tentang galakan supaya kita sebagai seorang Muslim sentiasa berusaha belajar dan membaca Al-Quran. Jika betul, akan bersama-sama para malaikat yang mulia dan jika tidak betul tetapi berusaha juga untuk mempelajarinya, akan mendapat dua pahala.

Mafhum hadis Nabi SAW seorang yang mahir dalam membaca Al-Quran bersama dengan para malaikat al-Safarah al-Kiram al-Bararah dan bagi yang membaca Al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya, maka untuknya itu dua pahala. Hadis Riwayat Muslim (798). Jadi, janganlah kita memperkecilkan bacaan orang lain kerana kadangkala kita juga salah membacanya. Akan tetapi, railah setiap kita yang berusaha membacanya. Semoga kita semua diberikan pahala yang setimpal.

Tuan Yang di-Pertua, saya mengambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Majlis Daerah Dabong yang telah berjaya berada di kedudukan ke-25 dalam Pertandingan Inovasi MALA 2.0. MALA ialah Malaysia Association of Local Authorities. Majlis Daerah Dabong adalah majlis daerah yang paling kecil di Kelantan, tetapi di dalam pertandingan tersebut telah berjaya mengatasi beberapa dewan bandar raya, majlis pembandaran dan majlis daerah yang lebih besar dan hebat yang kesemuanya berjumlah 69 PBT telah menyertainya.

Antara penyebab utama pembakar semangat pasukan majlis daerah ini adalah kerana daerah kecil Dabong kini terkenal ke seluruh negara akibat fenomena Train To Dabong. Saya ingin mencadangkan kepada pihak Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar dapat menjadikan Majlis Daerah Dabong sebagai majlis daerah angkat bagi membantu menyediakan kemudahan khususnya kepada para pelancong kerana pendapatan Majlis Daerah Dabong terlalu kecil sedangkan Dabong amat berpotensi untuk dimajukan. Kehendak dan perancangan untuk membangun yang baik tetap akan terhalang dek kewangan yang terhad.

Saya juga ingin mencadangkan kepada pihak KTMB dan Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) agar dapat mempercepatkan pembinaan stesen baharu Dabong atau sekurang-kurangnya membina platform yang lebih selesa dan selamat kepada penumpang yang semakin hari semakin bertambah terutama di musim cuti persekolahan seperti ini.

Tuan Yang di-Pertua, berkaitan dengan pelancongan domestik, yang ini saya bangkitkan ialah apa peranan yang boleh dibawa oleh pihak kerajaan demi memastikan kelestarian aktiviti ekopelancongan di Malaysia secara amnya dan di Stong Geopark secara khasnya. Pengusaha-pengusaha produk pelancongan, saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri KeTSA penggal lepas yang telah pun berjaya mengisytiharkan Stong Geopark ini.

Pengusaha-pengusaha produk pelancongan tempatan memerlukan satu pelan dasar yang boleh membantu merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan. Jika dilihat, ramai pelancong tempatan lebih gemar melancong ke luar negara seperti Thailand dan Indonesia. Mungkin kerana fasiliti pelancongan yang lebih mesra pelancong yang ditawarkan berbanding negara kita. Kita ada banyak tempat menarik, tetapi dipinggirkan pembangunannya oleh pihak kerajaan. Pengusaha-pengusaha tempatan tidak diberi bantuan yang sewajarnya bagi merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan. Sebagai contoh, Air Terjun Gunung Stong yang terletak di Kuala Krai merupakan air terjun paling tinggi di Asia Tenggara, tetapi malangnya tempat ini tidak dibangunkan dengan sewajarnya. Fasiliti infra asas juga teramat daif dan tidak terjaga.

Tuan Yang di-Pertua, apabila ramai yang bercakap berkaitan ekonomi digital, sudah pasti antara halangan terbesarnya ialah capaian Internet yang amat-amat bermasalah. Jangan kata di kampung-kampung dan kawasan pedalaman, di bandar Kuala Krai sendiri on-off, ada dan tiadanya sama banyak. Bahkan di ibu kota ini sendiri, Internet juga berhalangan. Saya amat berharapkan Menteri Komunikasi dan Digital jangan hanya sibuk memantau TikTok sahaja, tetapi kemudahan Internet di seluruh negara amat-amat memerlukan pemerhatian Yang Berhormat Menteri.

Tuan Yang di-Pertua, Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun perlu diterjemahkan dengan sebaiknya dalam bentuk tindakan, bukan semata-mata slogan. Sudah pasti antara yang difahami daripada konsep madani ialah menunaikan janji dan antara janji yang termaktub di dalam Manifesto Pakatan Harapan PRU15 adalah peruntukan kawasan yang sama rata.

Nabi telah memberi peringatan kepada kita (bermaksud): “Orang Islam itu terikat dengan syarat-syarat perjanjian yang ditetapkan…”. Hadis Riwayat At-Tirmidzi, hadis yang ke-1352. Isu ini banyak dibangkit oleh kawan-kawan yang lain. Ia adalah kerana mengambil kira semangat reformasi yang dilaungkan sejak sekian lama, ditambah pula dengan semangat Malaysia Madani. Mana mungkin sebuah kerajaan yang ditubuhkan melalui perjuangan reformasi yang panjang, akhirnya mengetepikan reformasi yang dilaungkan dan balik kepada asal, atau pun orang Kuala Krai sebut, “dua kali lima.”

Tuan Yang di-Pertua, Kuala Krai juga ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini berkaitan isu pelantikan anak beranak dalam jawatan kerajaan sama ada bergaji ataupun tidak. Isunya bukan boleh atau tidak, tetapi ia juga telah melanggar perjuangan dan prinsip reformasi sebelum berjaya menjadi kerajaan. Jika yang melantik anak atau disebut sebagai nepotisme dibuat oleh pemimpin lain, tidaklah terlalu tajam kritikannya.

Rakyat sedang menilai adakah ini adalah sebahagian dari dasar yang paling berjaya dibuat oleh Perdana Menteri menjelang 100 hari Kerajaan Malaysia Madani ini. Mungkin Perdana Menteri terlupa tulisan beliau mengenai amalnya nepotisme. Kalau terlupa, Kuala Krai meminta Perdana Menteri belek dan baca kembali muka surat 110, buku Gelombang Kebangkitan Asia yang ditulisnya sendiri. Saya bawakan di sini, “Rasuah dan lain-lain bentuk yang kegiatan ransacking termasuk nepotisme membebankan masyarakat yang tidak boleh dianggap sebagai keburukan yang perlu untuk merangsang pertumbuhan secara kecekapan”.

Khadam dan kunyahlah perlahan-lahan supaya menjadi panduan dalam mentadbir negara yang kita cintai ini. Bezanya iaitu, anaknya tidak diberi gaji. Sepertinya beliau tidak mengambil gaji. Alhamdulillah, bertuahnya rakyat Malaysia yang mempunyai seorang pemimpin seperti ini tetapi persoalan yang bermain di minda rakyat, bukan pemberian gaji tetapi mengapa melantik anak sendiri. Kita bersangka baik kepada Perdana Menteri Kesepuluh ini kerana mempunyai qaul qadim dan qaul jadid ataupun pendapat lama dan pendapat baharu.

Mungkin pendapat baharu ini telah pun menasahkan pendapat yang lama. Bukan dalam isu ini tetapi dalam banyak isu setelah menjadi Perdana Menteri. Saya mengambil peluang ini untuk menanyakan Menteri Kewangan dan juga Perdana Menteri, berapa jumlah gaji yang tidak diambil sehingga kini dan ke mana kah gaji tersebut telah disalurkan?

Terakhir Tuan Yang di-Pertua, persoalan yang amat penting dan masih tidak berpenghujung penyelesaiannya iaitu isu perkauman. Minggu lepas kita dikejutkan dengan kenyataan daripada seorang pemimpin DAP yang mempersoalkan penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam. Kenyataan ini sangat mengguris hati orang Melayu dan ia tidak sepatutnya dilontarkan. Isu yang disentuh ini seakan beliau ingin merombak perkhidmatan awam dan kekal prejudis serta membenci kaum Melayu.

Apalah ertinya perpaduan dan keharmonian serta Madani yang dilaungkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun selaku Perdana Menteri. Jangan dijaja semua usaha kebaikan itu sebagai produk murahan dan retorik politik tanpa diterjemahkan hakikat sebenar kanvas kehidupan masyarakat negara Malaysia ini.

Kuala Krai menyeru kepada kerajaan hari ini supaya mencari punca isu perkauman ini bermula. Adakah ini berpunca daripada sistem pendidikan kita? Suatu tindakan segera dan tegas untuk menangani isu ini dan janganlah nanti ia terus meruncing dan mengganggu kemakmuran negara ini. Ia tidak boleh dibiarkan, “seperti api dalam sekam”.

Wakil DAP yang juga mantan Ahli Parlimen Iskandar Puteri menyatakan, perpaduan kaum di Indonesia lebih ke hadapan berbanding dengan Malaysia. Mesti ada sebabnya. Adakah kerana nama orang-orang Cina atau India di Indonesia mesti diletakkan nama-nama Indonesia? Adakah mereka wajib bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa Indonesia sepenuhnya? Adakah kerana tiada sekolah vernakular di Indonesia dan semua anak-anak wajib belajar di sekolah kebangsaan mereka?

Oleh itu, semua pihak hendaklah ikhlas dengan diri sendiri dalam memastikan perpaduan kaum ini dapat dijaga dengan sebaiknya. Di Kelantan Tuan Yang di-Pertua, perpaduan kaum cukup harmoni. Ada orang Cina dan India yang bercakap dalam bahasa Melayu khususnya dialek Kelantan dengan fasih sekali. Jika bercakap dengan mereka tanpa melihat tuan empunya diri, kita akan kata ini orang Melayu. Bahkan ada yang dikenali dengan nama panggilan Pak Cu, Mek, Pak Muda dan sebagainya.

Tuan Yang di-Pertua, Kuala Krai akhiri ucapan ini dengan sebuah pantun klasik yang kini telah menjadi sejarah dan sebelum ini telah sentiasa berkumandang di dalam Dewan yang mulia ini iaitu;

Kalau tuan pergi memancing,
Jangan lupa membawa umpan;
Kalau tuan tidak mahu dikencing,
Jangan undi Pakatan Harapan.
– HARAKAHDAILY 21/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 20 Februari 2023.

- Advertisement -