Jalan maut isu utama Temerloh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Temerloh menghadapi beberapa isu kritikal, terutama kemudahan infrastruktur yang melibatkan jalan-jalan Persekutuan yang perlu diperbaiki dan dinaik taraf.

- Advertisement -

Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berkata, isu ini berada di tangga pertama kerana impaknya besar sehingga melibatkan kematian.

Baru-baru ini, katanya berlaku kemalangan maut di Jalan Lubuk Kawah di Temerloh akibat jalan berlubang yang tidak diselenggara.

“Lebih menyayat hati, mangsa merupakan anak muda, baru sahaja seminggu mendirikan rumah tangga. Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga.

“Kemalangan jalan raya, disebabkan oleh sistem infrastruktur yang tidak diselenggara, bukan sahaja kali pertama berlaku, tetapi berulang kali. Besar harapan warga Temerloh untuk memastikan hal infrastruktur, terutama kemudahan jalan raya yang perlu mendapat lebih perhatian daripada bajet Persekutuan,” katanya ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Salamiah yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat Malaysia berkata, masalah kronik lain ialah isu air disebabkan paip pecah, masalah dua hingga tiga hari ketiadaan air yang sejak puluhan tahun menjadi masalah masyarakat Temerloh.

Baru-baru ini, katanya beliau sempat menyantuni golongan Orang Asal di Kampung Sungai Leleh di Lanchang.

“Kebanyakan aduan yang disuarakan adalah berhubung isu bekalan air bersih. Ketika ini, masih ada masyarakat yang hidup hanya bergantung kepada sumber air sungai dan air tadahan hujan di rumah masing-masing.

“Ini disebabkan masalah air tangki yang dihadapi oleh keseluruhan penduduk kampung ini yang telah bertahun-tahun tidak mendapat perhatian dan tidak diselenggara,” katanya.

Beliau berkata, ada juga yang bersuara bahawa situasi hidup mereka akan menjadi lebih kritikal apabila berdepan musim kemarau, ketiadaan hujan menyebabkan sumber air tadahan terpaksa dicatu dan digunakan untuk keperluan makan dan minum, tidak lagi cukup untuk menampung keperluan seharian mereka. – HARAKAHDAILY 20/1/23

- Advertisement -