Menelusuri kisah agung surah al-Kahfi (4)

- Advertisement -

ASHABUL Kahfi adalah kisah mengenai penghuni gua dan Ar-Raqim iaitu nama anjing yang mengiringi mereka. Ada yang menyatakan ia batu yang dicatitkan nama-nama pemuda yang melarikan diri ke dalam gua. Allah S.W.T memulakan peristiwa ini dengan menceritakan mengenai sekelompok pemuda yang melarikan diri untuk menyelamatkan agama dan membolehkan mereka melaksanakan ibadah kerana raja yang memerintah pada masa itu merupakan raja kafir yang menindas orang-orang beriman. Ajaran yang sebenar adalah ajaran Nabi Isa A.S. 

Sewaktu mereka membawa diri, mereka berdoa dengan ayat: 

- Advertisement -

رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا (١٠)

“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”. (10)

Ini merupakan salah satu doa yang diajarkan untuk kita amalkannya dalam kehidupan. Menurut ulamak, doa yang terbaik adalah doa yang diajarkan oleh al-Quran dan Nabi. Doanya ringkas tetapi maksudnya mendalam. Boleh juga ditambah dengan doa yang diajarkan oleh ulamak dan orang soleh. 

Ayat ini sepatutnya kita baca sebelum melakukan perkara yang besar. Sebab rahmat membantu kita dalam kehidupan. Ada satu doa yang diamalkan oleh Imam Ghazali dalam kitab Ihya’, sebelum kita solat Subuh, bacalah: 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِكَ تَهْدِي بِهَا قَلْبِي، وَتَجْمَعُ بِهَا أَمْرِي، وَتَلُمُّ بِهَا شَعَثِي، وَتُصْلِحُ بِهَا غَائِبِي، وَتَرْفَعُ بِهَا شَاهِدِي، وَتُزَكِّي بِهَا عَمَلِي [1]

Anak muda: Frontliners dalam perjuangan

ثُمَّ بَعَثْنَٰهُمْ لِنَعْلَمَ أَىُّ ٱلْحِزْبَيْنِ أَحْصَىٰ لِمَا لَبِثُوٓا۟ أَمَدًا (١٢)

“Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidur mereka), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, mengenai lamanya mereka hidup (dalam gua itu).” (12)

Setelah bangun daripada tidur, mereka tertanya-tanya, berapa lamakah mereka sudah tidur? Mereka menyangka bahawa mereka cuma tidur semalaman. Hakikatnya adalah mereka tidur lebih daripada semalaman. 

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِٱلْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَٰهُمْ هُدًى (١٣)

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” (13)

Mereka dihidupkan pada zaman yang berbeza. Pada masa itu, walaupun masyarakat sudah beriman, namun mereka masih berbelah bahagi mengenai hari kebangkitan. Selain daripada Allah ingin menunjukkan kebesaran-Nya, Allah ingin menjawab persoalan yang dihadapi oleh masyarakat pada waktu itu. Cerita ini adalah benar berbanding cerita yang dibawa oleh orang-orang Yahudi. Cerita pada zaman dahulu mungkin sudah bercampur aduk kerana barangkali telah ditokok tambah dan direka-reka. 

Generasi muda belum lagi mempunyai satu pegangan dan masih dalam keadaan mencari. Apa yang mereka nak pegang dan siapa idola mereka? Apabila tiada bimbingan, mereka akan bertindak ikut sesuka hati. Sesetengahnya mengikuti pelakon, artis, usahawan dan sebagainya. Islam datang membimbing manusia untuk mencari dan membuat pilihan yang betul dengan wahyu-Nya. Apa-apa yang sesuai dengan jiwa manusia, mereka akan terima. 

Dalam sejarah, orang muda membawa perjuangan Islam ke hadapan. Walaupun tidak menafikan peranan orang tua seperti Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Uthman, namun yang menjadi frontliners dalam perjuangan ialah orang muda. Sejarah dakwah Nabi memperlihatkan bahawa orang muda banyak menyokong sedangkan orang tua menolak. Orang tua sudah mempunyai pegangan iaitu beriman dengan ajaran sesat dan mempercayai pegangan nenek moyang. Manakala orang muda boleh menerima apa-apa yang Nabi bawa kerana ia sesuai dengan pemikiran yang waras, jiwa yang bersih iaitu tidak mempercayai patung, berhala dan tidak mengamalkan tradisi pelik. 

i) Kebanyakan generasi muda moden seperti kaum China dan India memeluk agama Kristian kerana tidak boleh menerima ajaran agama tradisi mereka. Apabila berpendidikan lebih tinggi, mereka meninggalkan tradisi lama. 

ii) Orang muda Kristian sendiri pula menolak agama Kristian sebab banyak benda yang tidak munasabah dalam agama. Pada awalnya agama Katolik, kemudian muncul Protestan. Di Ireland, mereka berperang sesama sendiri dan kemudian berpecah kepada beberapa agama. Di Barat, gereja pun kosong kerana agama Kristian ada banyak campuran. Paderi-paderi memasukkan unsur-unsur yang tidak boleh diterima. 

Orang cerdik boleh menerima Islam sebab ajaran Islam tidak bercanggah dengan akal dan bersesuaian dengan jiwa manusia yang bersih. Walaupun ada perkara yang tidak boleh difikir zahirnya tetapi tidaklah bercanggah. 

Surah yang dianggap satu pertiga al-Quran

Contoh, Tuhan ada satu. Berbeza dengan Kristian yang mengatakan bahawa Tuhan satu tetapi ada tiga. Paderinya yang hebat pun tidak boleh menerangkan sebab terjadi sedemikian dan menyuruh agar penganutnya beriman sahaja. Hakikatnya adalah pentadbir itu perlu satu sahaja. Contohnya pilot, kapten kapal dan pemandu kereta hanyalah seorang sahaja. Tuhan adalah tidak sama dengan makhluk. Tidak benar apabila ada yang mengatakan bahawa Tuhan ada anak, bapa dan pasangan kerana ia menjatuhkan taraf dan kedudukan-Nya. 

Hal ini terkandung dalam surah al-Ikhlas. Ia merumuskan akidah Islam secara teori. Tuhan adalah yang Maha Esa (1). Tuhan adalah tempat manusia bergantung (2) sebab Dia ibarat ketua. Tuhan tidak beranak dan tidak diperanakkan (3). Tiada yang serupa dengannya. Rumusan ini menjawab beberapa pegangan iaitu: a) orang Kristian yang mengatakan bahawa Nabi Isa adalah anak Tuhan, b) Yahudi yang mengatakan bahawa Uzair adalah anak Tuhan dan c) Musyrikin yang mengatakan bahawa Malaikat adalah anak perempuan Tuhan. Surah al-Ikhlas dianggap sebagai satu pertiga al-Quran [2].

Permudah, jangan menyukarkan 

Abu Hurairah memberitahu bahawa Nabi berpesan agar kita menjaga tiga perkara untuk memudahkan kita memasuki syurga iaitu berpuasa selama 3 hari sebulan (yang disebut sebagai Puasa Hari Putih pada 13,14 dan 15 setiap bulan Hijrah), solat sunat Witir sebelum tidur dan solat Dhuha [3]. 

Perkara yang mudah akan menjadi sukar kalau kita tidak memahaminya. Oleh itu, betapa pentingnya pengajian kerana dapat menambah ilmu dan kefahaman. Menjadi mudah kalau kita mengikut al-Quran dan Hadis tetapi ia menjadi sukar sebab kita suka mengikut-ikut orang lain. Kadang-kadang, memandai-mandai pula dalam menambah apa yang tidak sepatutnya. 

Contoh, niat solat dilihat sukar untuk dipraktikkan dalam kalangan kita. Ada yang sehinggakan Imam hendak rukuk, barulah selesai angkat takbir kerana tersangkut pada niat. Sedangkan ia mudah sahaja mengikut Mazhab Syafie. ‘Usolli…’ adalah lafaz niat yang membantu hati. Belajar al-Quran pula, payahnya nak sebut huruf ‘dho’. Cuba kita dengar bacaan Qari-qari, kelihatan biasa sahaja bukan? Itulah sebab kadang-kadang kita yang terlalu ingin mengejar kesempurnaan. Amatilah Hadis di bawah:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَبَشِّرُوا وَلَا تُنَفِّرُوا

“Dari Anas bin Malik dari Nabi S.A.W, Baginda bersabda: permudahlah dan jangan menyukarkan, berilah khabar gembira dan jangan membuat orang lari (menjauh). [4]”

Iman bak mutiara, tak hilang dek zaman

وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا۟ فَقَالُوا۟ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَا۟ مِن دُونِهِۦٓ إِلَٰهًا لَّقَدْ قُلْنَآ إِذًا شَطَطًا (١٤)

“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”” (14)

Mereka sanggup meninggalkan jawatan dan kedudukan. Mereka bukan orang-orang biasa tetapi anak bangsawan, pegawai kerajaan, anak orang kaya, mak ayah mereka tokoh hartawan. Salah seorang daripadanya bekerja di istana raja. Disebabkan oleh raja yang tidak beragama Islam dan menganiayai orang-orang beriman, dia meletakkan agama lebih besar daripada kedudukan, kesenangan dan kemewahan. 

Walaupun mereka ditidurkan selama bertahun-tahun, setelah mereka dibangunkan, yang keluar daripada mulut mereka adalah ‘Tuhan kami ialah Tuhan langit dan bumi’. Maknanya akidah mereka tidak hilang sama sekali. Betapa mahalnya iman dalam diri mereka walaupun tidak mempunyai harta benda. 

Zaman moden, wajarkah berhijrah?

هَٰٓؤُلَآءِ قَوْمُنَا ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ ءَالِهَةً لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَٰنٍۭ بَيِّنٍ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا (١٥)

“(Mereka berkata pula sesama sendiri): “Kaum kita itu, menyembah beberapa Tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.” (15)

Kaum mereka menyembah selain daripada Allah. Tujuan sembahan mereka tidak berdasarkan hujah yang sebenar. Para pemuda berbincang dan menganggap bahawa perbuatan kaum itu adalah perbuatan yang tidak baik dan menzalimi diri sendiri. Mereka mengambil keputusan untuk membawa diri dan berada di dalam gua. Mereka berharap agar mereka dapat mengamalkan ajaran agama yang benar dan Allah membantu mereka dalam kehidupan. 

Pada zaman Nabi Muhammad, orang Islam diseksa di Makkah. Jadi pada ketika itu, wajib bagi mereka untuk berhijrah ke Madinah. Hijrah adalah bertujuan untuk menyelamatkan akidah. Kalau masih tinggal di Makkah, mereka tidak dapat mengamalkan Islam dengan baik dan terpaksa mengeluarkan perkataan kufur, bahkan mereka akan dizalimi dan dibunuh oleh kaum Musyrikin. Orang tua yang lemah dan orang sakit, Wanita serta budak-budak kecil dimaafkan kalau tidak keluar berhijrah. Kalau orang muda yang tidak berhijrah dan meninggal dunia, mereka akan dikira menzalimi diri mereka sendiri dan dimasukkan ke dalam neraka [5].

Dalam perbincangan ulamak, selepas pembukaan Kota Makkah, hukum keluar berhijrah menjadi tidak wajib. Sebab Islam sudah menguasai Semenanjung Tanah Arab. Bagaimana pula dengan zaman moden? Kalau kita berada di dalam negara yang tidak boleh mengamalkan Islam seperti tidak boleh menunaikan solat dan membaca al-Quran, maka pada waktu itu wajib bagi kita untuk keluar dari situ dan mencari tempat yang sekurang-kurangnya kita boleh menunaikan solat, membaca al-Quran dan berpuasa. Kalau kita tetap tinggal di situ dan tanpa ikhtiar, maka kita dikira berdosa dengan Allah S.W.T.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 13 Februari 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 17/2/2023

Rujukan: 
[1] Doa ini berasal daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi (no. Hadis 3419) dan beliau berkata bahawa Hadis ini Gharib.
[2] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 6643).
[3] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 1178).
[4] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 67)
[5] Berdasarkan petikan daripada Surah Al-Nisaa’, ayat ke-97.

- Advertisement -