Terengganu taja ‘bulan madu kedua’ bantu pasangan bermasalah

Hanafiah Mat
- Advertisement -

MARANG: Kerajaan Terengganu terus komited dalam membantu suami isteri bermasalah dengan menganjurkan program Bulan Madu Kali Kedua melibatkan 40 lagi pasangan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Hanafiah Mat berkata kejayaan menyelamatkan lebih 60 peratus rumah tangga pasangan yang menyertai program itu sebelum ini, mendorong pihaknya meneruskan penganjurannya yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Kebanyakan pasangan yang dipilih telah berkahwin melebihi lima tahun. Kita nak bantu selamatkan perkahwinan mereka dengan harapan dapat kembali mesra sepanjang program itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Terengganu For Turkiye di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Majlis pelancaran tabung tersebut disempurnakan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas menyampaikan kuliah mingguannya di masjid berkenaan.

Menurut Hanafiah pasangan suami isteri tersebut akan menyertai program bulan madu itu selama tiga hari dua malam di lokasi menarik dan diisi dengan pelbagai program termasuk slot motivasi.

Beliau berkata program tersebut dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu sebagai usaha mengurangkan jumlah perceraian pada masa kini.

Baru-baru ini media melaporkan jumlah ibu tunggal yang direkodkan di Terengganu menunjukkan peningkatan iaitu kira-kira 10,000 orang dalam tempoh tiga tahun. – BERNAMA

- Advertisement -