Pusat digesa penuhi tiga tuntutan untuk Kedah

- Advertisement -

KERAJAAN Persekutuan perlu mempertimbangkan tiga tuntutan yang telah disampaikan oleh Alor Setar semasa perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Tuanku YDPA pada 15 Februari 2023:

1. Tuntutan agar Pulau Pinang kepada Kerajaan Negeri Kedah dengan membayar pajakan daripada RM10.01 juta kepada RM200 juta. Selaras dengan kemajuan Negeri Pulau Pinang serta pendapatan yang tinggi negeri itu, maka tuntutan ini seharusnya tidak menjadi masalah untuk dilakukan.

Tuntutan ini tidak termasuk dengan sumber air Negeri Kedah yang telah digunakan secara percuma oleh Pulau Pinang sejak sekian lama.

2. Kedah juga memohon pampasan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM117.8 juta dibayar kepada Negeri Kedah kerana Kedah telah berkorban menjaga tanah sawah seluas 299,000 demi periuk nasi Malaysia.

Kedah telah menyumbangkan sebanyak 41.84 peratus kepada pengeluaran padi negara. Atas dasar keprihatinan Kedah terhadap Sekuriti Makanan negara, Kedah telah mengorbankan hampir RM200 juta yang Kedah mampu perolehi daripada sektor industri.

3. Alor Setar juga mewakili seluruh Ahli Yang Berhormat, memohon supaya kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan kawasan Parlimen kepada Ahli Parlimen lebih daripada RM1.3 juta. 

Bukan itu sahaja, Alor Setar juga memohon agar Kerajaan Persekutuan (PH-BN) mengotakan janji dalam manifesto yang menyatakan peruntukan sama rata akan diberikan kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti.

Dengan peruntukan inilah, semua Ahli Yang Berhormat dapat gunakan untuk membantu rakyat di kawasan Parlimen masing-masing terutamanya kawasan kampung-kampung.

Secara kesimpulannya, berdasarkan perkara 1 dan 2 yang telah dinyatakan, Kedah mampu menjadi negeri dengan pendapatan tinggi jika bayaran-bayaran yang dituntut dilakukan. Dengan perolehan sebanyak hampir RM400 juta, nasib rakyat di Negeri Kedah dapat dibela dengan lebih baik. Manakala bagi perkara 3, peruntukan kepada Ahli Parlimen juga sangat penting bagi memudahkan urusan Ahli Parlimen Kawasan Parlimen masing-masing melaksanakan tugas dan membantu rakyat yang memerlukan.

Alor Setar memohon Kerajaan Persekutuan mengenepikan polithinking pada masa ini dan terus bersama-sama menabur jasa, berganding bahu untuk membantu rakyat yang sedang ditekan pada masa kini.

YB USTAZ AFNAN HAMIMI
Ahli Parlimen Alor Setar
Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Tuanku YDPA
Sidang Parlimen Ke-15 – HARAKAHDAILY 16/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -