MASBATE, Filipina: Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud pada Skala Ritcher telah menggegarkan tengah Filipina pada awal pagi hari ini Khamis (16 Feb), dengan agensi seismologi tempatan memberi amaran tentang gegaran susulan bakal melanda dan kemungkinan impak kerosakan.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina dalam kenyataannya berkata, gempa bumi itu berlaku pada jam 2.10 pagi waktu tempatan dengan kedalaman 10 kilometer (km), kira-kira 11km barat daya dari bandar Batuan di wilayah Masbate di pulau Luzon, lapor agensi berita China, Xinxua.
“Gempa bumi turut dirasai di beberapa kawasan di Luzon dan tengah Filipina termasuk Bandar Legazpi di wilayah Albay, Sorsogon, Samar Utara, Negros Occidental dan Leyte Selatan,” ujar kenyataan itu lagi.
Gempa bumi cetek cenderung menyebabkan lebih banyak kerosakan berbanding gempa bumi yang lebih dalam, tetapi tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan setakat ini, namun Ketua Polis wilayah Masbate, Rolly Albana memberitahu AFP bahawa gempa bumi sebagai ‘agak kuat’.
“Saya sedang tidur apabila terasa digoncang dan dikejutkan,” katanya yang mengesahkan belum menerima sebarang laporan kesan kesan gempa bumi itu.
Sementara, Ketua polis Uson, Kapten Reden Tolledo berkata, beberapa penduduk melarikan diri dari kediaman mereka yang bergegar.
“Saya juga bergegas keluar kerana bimbang kemungkinan gempa susulan,” ujarnya.
Pegawai Bencana di perbandaran Dimasalang, Gregorio Adigue pula berkata, dia merasakan gegaran susulan yang kuat hampir sejam selepas gempa itu.
“Namun bangunan dan struktur lain di kawasan ini tidak mengalami sebarang kerosakan. Kamki akan membuat rondaan di sekolah dalam setiap kampung untuk meninjau keadaan bangunan di situ,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Masbate telah membatalkan sesi persekolahan pada hari ini, Khamis berikutan gegaran susulan berterusan dirasai di wilayah itu.
Gempa bumi adalah kejadian yang biasa berlaku di Filipina, yang dari segi geografi terletak di di sepanjang ‘Lingkaran Api (‘Ring of Fire’) Pasifik, sebuah arka seismik yang kuat serta aktiviti gunung berapi yang terbentang dari Jepun melalui Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik.
Kebanyakan gempa bumi sebelum ini terlalu lemah untuk dirasai oleh manusia, tetap jika gempa yang kuat melanda, ia boleh mengakibatkan kerosakan secara rawak tanpa teknologi tersedia untuk meramalkan bila dan di mana ia akan berlaku.
Sehubungan itu, pejabat pertahanan awam Filipiina kerap mengadakan latihan simulasi senario gempa bumi di sepanjang garis sesar aktif.
Gempa besar terakhir di negara itu adalah pada Okt tahun lepas di utara Filipina, yang berukuran 6.4 magnitud melanda bandar pergunungan Dolores di wilayah Abra, mencederakan beberapa penduduk kampung, merosakkan bangunan dan memutuskan bekalan elektrik ke kebanyakan wilayah itu.
Gempa bumi berukuran 7.0 magnitud di pergunungan Abra, pada Julai tahun lalu pula menyebabkan tanah runtuh dan keretakan tanah, menyebabkan 11 kematian dan beberapa ratus oyang lain mengalami kecederaan. – HARAKAHDAILY 16/2/2023