Tayar kereta pecah terbabas jalan berlubang di Kuantan

- Advertisement -

BENTONG: Ketika ada pihak ghairah mempamerkan gambar jalan berlubang di kawasan kampung di Kelantan, namun tanpa sedar keadaan serupa juga berlaku di banyak negeri.

- Advertisement -

Malah Pahang yang pernah mempunyai dua perdana menteri pun terdapat banyak jalan berlubang termasuk di Bandar Raya Kuantan dan bandar-bandar lain.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, Kuantan juga tidak ketinggalan terdapat banyak jalan berlubang sehingga mencacatkan pandangan pelancong.

Sedangkan katanya Kuantan merupakan sebuah bandar raya dan ibu negeri Pahang.

“Apa kata pelancong luar yang datang ke Kuantan. Dahulu kita terkenal sebagai ‘Marikh Malaysia’, adakah kita berbangga untuk dikenali pula sebagai ‘Pahang ‘raja’ jalan berlubang,” katanya pada kenyataan di sini.

Baru-baru ini tular di media sosial keadaan jalan di Bandar Raya Kuantan yang mendatangkan rungutan orang ramai kerana boleh membahayakan keselamatan mereka.

Orang ramai menggambarkan banyak jalan raya di Pahang khususnya di Kuantan yang berlubang, gelap, tiada garisan di bahagian tengah dan tepi.

“Banyak rungutan serta aduan dimuat naik di media sosial di Laman Warga Kuantan dan beberapa laman lain, ada kenderaan rosak rim dan tayar pecah kerana terbabas dalam jalan berlubang.

“Keadaan jalan itu sehingga ke sempadan Terengganu. Begitu juga jalan-jalan di kampung dan taman perumahan banyak yang rosak,” katanya.

Andasura yang juga Adun Beserah berkata, keadaan jalan tambah rosak ekoran hujan yang tidak menentu sekarang.

Menurutnya ramai pengguna jalan raya terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan membaiki kerosakan kenderaan akibat jalan berlubang.

Oleh itu katanya pihak berwajib termasuk JKR, Roadcare, YP Maintenance dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu turun padang mengatasi masalah tersebut bagi mengelakkan lebih banyak kemalangan akibat jalan berlubang. – HARAKAHDAILY 10/2/2023

- Advertisement -