KOTA BHARU: Kontinjen melebihi 500 orang secara keseluruhan termasuk peserta, pegawai, pengadil dan urusetia pertandingan bakal terlibat dalam kejohanan Mahrajan Memanah Sekolah Menengah Agama Malaysia (MESMA) peringkat kebangsaan kali ke-4 pada tahun ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam kenyataannya berkata, kejohanan yang bakal berlangsung dari 6 hingga 9 Ogos di Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan itu menampilkan sebanyak dua kategori acara yang akan dipertandingkan – Recurve dan Tradisional.
“MESMA 2023 bakal melibatkan seramai 196 orang peserta (lelaki/perempuan) dari 14 buah negeri yang merupakan pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK),” ujar kenyataan itu.
Sehubungan itu, JAKIM dengan kerjasama Yayasan Islam Negeri Kelantan telah melancarkan MESMA 2023 pada Rabu lalu yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Ruslan Said.
Menurut kenyataan itu lagi, pemilihan peserta di peringkat sekolah akan bermula pada bulan Mac ini.
“Pertandingan di peringkat sekolah dan zon sehingga ke peringkat daerah pula akan dilaksanakan menjelang Mei, manakala pertandingan di peringkat negeri pada bulan Jun hingga Julai kelak,” tambahnya.

Menjelaskan lebih lanjut, ujar kenyataan itu, objektif penganjuran MESMA adalah untuk menerapkan nilai semangat bersaing secara sihat, berkeyakinan dan fokus terhadap apa jua yang dilakukan.
“Di samping itu, ia bermatlamat untuk mengembangkan potensi pelajar ke arah menguasai kemahiran, bakat dan kebolehan yang dimiliki mereka untuk dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, berdasarkan rekod pencapaian mahrajan sebelum ini terdapat beberapa orang peserta telah dipilih sebagai atlet peringkat negeri untuk bertanding di peringkat kebangsaan seperti SUKMA dan Kejohanan Memanah Kebangsaan.
“Pihak penganjur meletakkan sasaran peserta bukan sahaja berjaya mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!