Gempa bumi paling maut di dunia ragut 830,000 nyawa

Gempa bumi yang menyebabkan tsunami di Tōhoku, Jepun pada 11 Mac 2011. (FOTO: News.sky)
- Advertisement -

Pada tahun ini, dalam usia 2023 yang masih baharu lagi, pada tarikh 6 Feb, dunia telah dikejutkan oleh tragedi gempa bumi di tenggara Turkiye yang bersempadan dengan Syria – yang sehingga hari ini, Jumaat (10 Feb 2023) telah mengorbankan 21,000 nyawa di kedua-dua buah negara.

- Advertisement -

Manusia sebenarnya telah mendokumentasikan kejadian gempa bumi sejak kira-kira 4,000 tahun lalu. Berdasarkan data yang telah direkodkan, bencana alam itu yang boleh dilabelkan paling maut dan dahsyat pernah berlaku di muka bumi ini adalah di China – melibatkan kawasan seluas 840 kilometer (km). 

Tragedi hitam itu berlaku dalam musim salji pada 23 Januari 1556, yang mana gempa bumi kuat telah menggegarkan seluruh wilayah yang terletak di tengah China – Shaanxi dan jirannya, Shanxi sebelum dengan ganas meragut kira-kira 830,000 nyawa penduduk.

Visual sekitar bandar Beichuan di wilayah Sichuan barat daya China pada 13 Mei 2008 yang teruk dilanda gempa bumi. (FOTO: XINHUA)

Rekod sejarah sering merujuk kepada gempa bumi Shaanxi 1556 sebagai Gempa Besar Jiajing kerana ia berlaku semasa pemerintahan Maharaja Jiajing dalam dinasti Ming. 

Catatan sejarah menganggarkan bahawa kira-kira 60 peratus populasi di beberapa daerah di kedua-dua wilayah itu terkorban.

Anggaran angka kematian dirujuk daripada rekod sejarah tempatan yang turut mengesan 26 gempa bumi lain di rantau itu. 

Dalam rekod tersebut, gambaran gempa bumi Shaanxi 1556 adalah sangat menakutkan dan berbeza daripada gempa bumi lain – gunung-ganang ranap dan menjadi rata serta bertukar lokasi dengan sungai-sungai, muka bumi dilanda aliran banjir besar dan deras; kebakaran yang apinya marak membakar selama berhari-hari, serta landskap muka bumi di lokasi kejadian yang berubah secara drastik – di sesetengah tempat ia tiba-tiba menaik menjadi bukit baharu atau tenggelam memunculkan lembah baharu. 

Kawasan tepian pantai negeri Kerala di India yang diterjah tsunami akibat gempa bumi Lautan Hindi pada 26 Dis 2004. (FOTO: Outlook India)

Walaupun angka kematian dipersoalkan, gempa bumi Shaanxi 1556 dianggap sebagai gempa bumi paling maut dan dahsyat setakat ini.

Ia adalah berdasarkan jumlah korban yang jauh lebih tinggi daripada bencana gempa bumi lain – berbanding gempa bumi kedua paling maut direkodkan pada 2004, menyebabkan tsunami di Lautan Hindi yang mengorbankan kira-kira 230,000 penduduk di Indonesia,Thailand, Sri Lanka, Malaysia dan India.

Gempa bumi ombak gergasi 

Selepas teknologi skala Richter dibangunkan pada tahun 1930-an, saintis mengeluarkan teori bahawa gempa bumi Shaanxi 1556 berkemungkinan antara 8.0 hingga 8.3 magnitud – bukan yang paling kuat pernah direkodkan, tetapi sebaliknya memberi  impak yang paling dahsyat, khususnya dari segi jumlah mangsa terkorban.

Pemandangan menakutkan akibat gempa bumi di wilayah Shaanxi dan Shanxi, China pada tahun 1559. (FOTO: FactsWOW)

Menurut badan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi paling kuat yang secara rasminya direkodkan pada skala Richter 9.5 magnitud ialah Gempa Valdivia, di Chile melanda Chile pada 22 Mei 1960 yang turut diiringi kemunculan tsunami.

Kejadian pergerakan seismik itu mencipta ombak gergasi tsunami yang kemudian membunuh kira-kira 5,700 penduduk negara itu. (Gempa bumi berserta tsunami Lautan Hindi 2004 pula mencatatkan 9.3 magnitud).

Namun, gempa bumi yang paling dahsyat biasanya bukan yang paling kuat yang direkodkan; dan jumlah korban selalunya disebabkan oleh faktor kedalaman gempa bumi (gempa cetek cenderung menyebabkan lebih banyak kerosakan), kepadatan penduduk, dan berapa banyak bangunan dan struktur lain runtuh di lokasi kejadian.

Situasi selepas gempa bumi melanda Nepal pada 25 April 2015 yang meragut 8,964 nyawa. (FOTO: Phys.org)

Justeru disebabkan itu, tanpa mencatat rekod gempa bumi terkuat, jumlah kematian yang tinggi di Shaanxi  pada 1559 dipercayai berpunca daripada kemusnahan komuniti berpenduduk yang sangat padat di kawasan  tersebut;  dan bangunan-bangunan batu yang didiaminya penduduknya dibina dengan struktur yang tidak kukuh, termasuk di dalam gua.

Menurut rekod tempatan, penduduk wilayah Shaanxi dan Shanxi bertindak balas terhadap bencana alam itu dengan membina semula kediaman mereka dengan kaedah yang dapat mengurangkan kesan kerosakan disebabkan gempa bumi pada masa hadapan. 

Memandangkan gempa bumi telah meruntuhkan begitu banyak bangunan batu di situ, masyarakatnya membina semula kediaman mereka dengan bahan yang lebih lembut seperti buluh dan kayu, yang lebih tahan gegaran dan akan menyebabkan lebih sedikit kerosakan jika  kejadian gempa bumi berulang kembali lagi.

Gempa bumi paling kuat pernah direkodkan di dunia mencecah 9.5 magnitud dalam skala Ritcher di Valdivia, Chile pada 22 Mei 1960 yang turut disertai limpahan tsunami. (FOTO: National Weather Service)

Bersedia untuk gempa bumi masa depan

Cendekiawan Qin Keda, yang terselamat daripada gempa bumi itu menulis tentang pengalamannya dan mengemukakan petua keselamatan untuk diikuti orang ramai sekiranya berlaku bencana lain.

“Pada awal gempa bumi, orang yang berada di dalam rumah tidak seharusnya keluar serta-merta,” tulis Keda. 

“Cuma duduk dalam keadaan meringkuk dan tunggu peluang (untuk selamatkan diri). Walaupun ‘sarang runtuh, beberapa telur di dalamnya mungkin masih kekal utuh’,” tambahnya berkias.

Nasihat Qin Keda untuk tinggal di dalam rumah mencerminkan nasihat  sama yang diutarakan USGS. 

Visual impak tragedi gempa bumi yang meragut 87,351 nyawa di Kashmir, Pakistan pada 8 Okt 2005. (FOTO: A News)

Dalam bahagian tapak webnya yang berjudul, Apa yang perlu saya lakukan semasa gempa bumi?, USGS menyatakan bahawa jika seseorang itu sudah berada dalam situasi gempa bumi, adalah tidak selamat untuk terus menuju ke pintu kediaman. 

“Berlari semasa gempa bumi adalah sangat berbahaya, dan berada di dalam kediaman boleh melindungi anda daripada serpihan yang berterbangan,” ujar USGS.

USGS menasihatkan (dalam huruf besar) bahawa jika gempa bumi berlaku semasa berada di dalam rumah, anda harus ‘JATUHKAN, TUTUP, DAN TAHAN’ – pada asasnya nasihat lebih kurang sama sepertimana yang disarankan Qin Keda lebih 450 tahun yang lalu.

Bangunan adob terbesar di dunia, Arg-é Bam – sebuah kota di bandar Bam dalam wilayah Kerman di tenggara Iran yang didaftarkan oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia sebelum (gambar kiri) dan selepas ranap akibat dilanda gempa bumi pada 26 Dis 2003. (FOTO: ResearchGate)

Gempa bumi Turkiye-Syria keenam paling maut abad ke-21

Dalam pada itu, berikut adalah ‘Top 5’ gempa bumi paling maut pada abad ke-21 (antara tahun 2,000 hingga sekarang, 2023) – dari segi jumlah kematian; yang mana gempa bumi Lautan Hindi 2004 pada tarikh 26 Dis adalah tragedi gempa nombor satu paling maut dalam abad ini mencatat kira-kira 230,000 kematian.

Ia diikuti gempa bumi Haiti 2010 pada 12 Jan (160,000 korban); gempa bumi Sichuan, China 2008 bertarikh 12 Mei (87,587 maut); gempa bumi Kashmir, Pakistan 2005 pada 8 Okt (87,351 terbunuh); dan gempa bumi Bam, Iran 2003 pada 26 Dis (26,271).

Sehubungan itu, dengan jumlah kematian mencecah 21,000 dalam tempoh lima hari selepas kejadian pada 6 Feb 2023, gempa bumi Turkiye-Syria berada di tempat keenam dalam senarai tersebut.

Pemandangan menyayat hati dirakam di Hatay, Turkiye pada 9 Feb 2023. (FOTO: DW)

Melengkapi pula senarai ‘Top 10’ dari tempat ketujuh hingga sepuluh dalam senarai tersebut masing-masing ialah gempa bumi (dan tsunami) Tōhoku, Jepun 2011 pada 11 Mac (20,896 kematian); gempa bumi Gujerat, India 2001 pada tarikh 26 Jan (20,085 maut); gempa bumi Nepal 2015 pada 25 April (8,964 terbunuh); dan gempa bumi Yogjakarta 2006 pada 26 Mei (5,782 terkorban).

Dari segi kos kerugian akibat gempa bumi, tragedi Tōhoku, Jepun 2011 menjadi bencana alam dengan kerugian harta benda paling banyak – kira- kira AS$360 bilion; diikuti gempa bumi Sichuan 2008 yang mengakibatkan kerugian sekurang-kurangnya AS$150 bilion. – HARAKAHDAILY 10/2/2023

- Advertisement -