Terapi dengan membaca

- Advertisement -

SELF Healing hari ini telah menjadi topik penting. Semua orang memerlukan ‘me time’ untuk mengembalikan kekuatan supaya mampu berdiri dengan kaki sendiri. Ini kerana masalah setiap orang berbeza-beza dan pelbagai tahap.

Secara asasnya manusia tetap memerlukan pertolongan orang lain. Kata Ibnu Khaldun, saling memerlukan itu merupakan tabiat manusia, bezanya kita dengan haiwan, diberi upaya akal dan berfikir untuk mendapatkan pertolongan yang bermanfaat dan bukan pertolongan yang menghasilkan dosa dan keburukan. 

Ini bermakna, kita boleh sahaja minta tolong orang lain untuk membantu. Membantu tidak semestinya memerlukan duit, menjadi pendengar yang baik juga dikira membantu.

Kita boleh sahaja self healing dengan pelbagai aktiviti outdoor. Dijamin (insya-Allah) ada keberhasilannya. Cuma, pasti terbatas waktu untuk kita berterusan sebegitu. Barangkali ada yang self healing dengan makan makanan yang sedap, berjalan ke pusat peranginan dan lain-lain. Namun, tetap masalah itu masih membelenggu fikiran kita. 

Saya teringat pengalaman berceramah di sebuah Sekolah Rendah. Bertanya kepada seorang murid.

Awak pernah rasa sedih?

Ya, pernah. 

Kenapa awak sedih?

Sebab ayah saya baru meninggal dunia (kesan COVID-19). Semua orang turut diam tanda memahami perasaan itu. Saya lanjutkan lagi.

Lalu, kalau awak sedih, apa yang awak buat?

Jawabnya ‘saya makan’.

Bermakna, semakin kerap dia sedih, akan makin kerap dia makan. Sudah tentu dalam jangka yang panjang akan memberi kesan terhadap kesihatannya!

Barangkali, terapi diri dengan membaca buku boleh dicuba. Ia hanya memerlukan modal membeli buku dan memilih topik yang sesuai, kemudian sedikit masa dan ruang untuk membacanya. Membetulkan cara fikir itu jauh lebih bermakna untuk self healing yang efektif. 

Kerana apa? Jika difikir dengan serius, nyata problem asasnya adalah pola fikir kita yang menjadikan jiwa kita terganggu. Lalu, apabila kita mula membelek helaian buku yang turut menyentuh masalah yang sedang kita rasai, ternyata ia sangat membantu untuk mengubah pola fikir kita dan seterusnya daya dan gaya hidup kita. (Bukanlah habis baca satu buku terus masalah selesai).

Membaca perihal kisah mereka yang telah berjaya mengatasi kepayahan hidup, memang akan menginspirasi kita untuk terus hidup! Maka, patutlah Allah memuatkan kisah-kisah Inspirasi di dalam al-Quran hingga satu pertiga al-Quran adalah kisah-kisah benar! Subhanallah! Tuhan telah sediakan pedomannya untuk kita.

“Jadi, baca jela Quran, kita kan orang Islam.”

hmm… 

Ya, memang tepat, orang Islam selayaknya berdamping dengan al-Quran. Begitu juga berdamping dengan masjid, orang soleh. Itulah yang perlu diusahakan. Cuma, tidak boleh menafikan pendekatan lain yang diusahakan bukan anjuran al-Quran. 

Insya-Allah, terapi dengan membaca buku-buku seperti di bawah masih dianjurkan oleh Islam:

- Advertisement -

فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ 

“Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (merujuk kisah mereka yang menentang kebenaran).”

 (al-A’raf:176)

Moga Allah berkati pagi kita semua. 

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 3/2/2023

- Advertisement -