TUMPAT: Biarpun ada pihak cuba menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam terhadap PAS, namun golongan minoriti terbabit di Kelantan tidak mudah terpengaruh.
Mereka mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat Melayu sejak beratus tahun lalu ketika datuk nenek mereka berhijrah ke Kelantan dan Pantai Timur.
Malah institusi masjid dan surau yang menjadi tempat orang Islam beribadat juga mereka pernah jejaki bagi menerima bantuan yang disampaikan wakil rakyat.
Keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Kelantan sudah berlaku sejak turun temurun dan terus dipertahankan di bawah pemerintahan PAS sejak 1990.
Seorang warga emas di Tumpat, Lee Ciang Fatt, 60, berkata, keharmonian kaum di Kelantan terus dipertahan sejak dahulu sehingga sekarang.
Katanya, keharmonian itu berlaku sejak beliau di alam remaja lagi di mana sering berkawan dengan budak Melayu.
“Tiada masalah hidup dalam masyarakat pelbagai kaum biar pun ada pihak cuba gembar gembur kononnya orang Melayu menindas penduduk Cina dan bangsa lain di Kelantan. Itu mengarut belaka.
“Kita hidup seperti anak beranak. Mungkin ada pihak dengki dengan keharmonian kita sehingga cuba nak menghasut, tapi masyarakat bukan Melayu di sini tidak mudah termakan dakyah palsu,” katanya ketika ditemui.
Oie Ching Chong, 62, dari Kampung Kuala Taba, Pengkalan Kubor pula berkata, kerajaan diterajui PAS tidak pernah menganaktirikan masyarakat bukan Islam di Kelantan.
Katanya, kaum Cina hidup bersama masyarakat Melayu, India dan Siam tanpa sebarang masalah.
Malah, kata beliau penduduk bukan Melayu sering menerima bantuan kerajaan negeri termasuk ketika banjir dan wabak Covid-19.
“Tiada masalah kerana kita sudah saling memahami antara satu sama lain, kita sangat tahu budaya masing-masing,” katanya.
Penduduk keturunan Siam, Eh Chan al Chauloy, 67 turut mengakui setiap kaum di Kelantan sudah memahami adat resam masing-masing.
Menurutnya, perkara itu berlaku sejak beratus tahun dahulu, malah penduduk bukan Islam mempunyai perwatakan dan percakapan seperti orang Melayu. – HARAKAHDAILY 25/1/23