Prestasi buruk paksa Everton pecat Lampard

Frank Lampard hanya bertahan di Everton selama 12 bulan
- Advertisement -

Frank Lampard dipecat sebagai pengurus kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton, kelab itu mengumumkan semalam, selepas prestasi buruk yang menyebabkan pasukan itu berada di ambang penyingkiran.

Perlawanan terakhir yang dikendalikan Lampard ialah kekalahan 2-0 kepada West Ham United, Sabtu lalu yang menyebabkan Everton kekal di tangga kedua tercorot dengan 15 mata selepas 20 perlawanan, setingkat di atas Southampton dengan perbezaan gol.

- Advertisement -

“Komitmen dan dedikasi Frank bersama pasukannya adalah sesuatu yang perlu diteladani sepanjang mereka di kelab, tetapi keputusan terkini dan kedudukan liga semasa bermakna keputusan sukar ini perlu diambil,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

“Setiap orang di Everton mengucapkan terima kasih kepada Frank dan kakitangan kejurulatihannya atas khidmat mereka selama 12 bulan yang mencabar. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Frank dan anggota pasukannya untuk masa depan mereka dalam bola sepak.”

Turut meninggalkan kelab bersama Lampard ialah Joe Edwards, Paul Clement, Ashley Cole dan Chris Jones, manakala Alan Kelly kekal sebagai jurulatih penjaga gol.

Pasukan Merseyside bergelut di bawah bekas pemain antarabangsa England itu dengan kali terakhir memenangi perlawanan liga pada Oktober lalu, menewaskan Crystal Palace 3-0 di tempat sendiri.

Lampard dilantik mengendalikan Everton pada Januari 2022 selepas menguruskan Chelsea antara 2019-2021 dan Derby County pada 2018-19. Namun, pemain berusia 44 tahun itu dipecat sebagai pengurus Chelsea pada Januari 2021.

Tugas utama Lampard ialah menyelamatkan Everton daripada penyingkiran dengan kelab itu hanya empat mata di atas zon penyingkiran, tugas yang berjaya dilakukannya dalam perlawanan kedua terakhir musim lalu ketika pasukannya bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menewaskan Palace.

Setelah menjual penyerang Brazil, Richarlison kepada Tottenham Hotspur, musim ini bermula dengan kekalahan berturut-turut sebelum Everton meneruskan enam perlawanan tanpa kalah yang mencetuskan keyakinan.

Selepas menewaskan Southampton pada 1 Oktober lalu, prestasi Everton merudum dengan skuad Lampard berdepan masalah kekurangan penyerang.

Keputusan seri di Manchester City pada malam tahun baharu 2023 melayakkan Lampard dan pasukannya mendapat pujian, tetapi sisa-sisa harapan untuk terus meningkat punah dengan tiga kekalahan liga berturut-turut.

Menurut kelab, Paul Tait dan Leighton Baines akan mengendalikan latihan sehingga pengurus baharu dilantik. Everton akan menjadi tuan rumah kepada pendahulu liga, Arsenal pada 4 Februari diikuti pertemuan setempat menentang Liverpool pada 13 Februari. – REUTERS

- Advertisement -