Kerajaan perlu hantar nota bantahan kepada Sweden

Isu bakar al-Quran

- Advertisement -

SAYA merujuk kepada tindakan pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan yang menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, dengan bertindak membakar al-Quran baru-baru ini. 

Saya difahamkan bahawa Paludan menyertai bantahan tersebut di bawah perlindungan ketat polis dengan kehadiran kira-kira 100 orang, termasuk sejumlah besar wartawan. 

Selepas mengecam hampir sejam dia menyerang Islam dan Imigresen di Sweden, dia bertindak membakar kitab suci itu dengan pemetik api.

Paling mengejutkan saya adalah Rasmus Paludan menerima permit daripada Kerajaan Sweden untuk membakar kitab suci umat Islam itu di hadapan bangunan kedutaan Turkiye. 

Tindakan ekstremis oleh ahli politik berhaluan kanan ini seolah-oleh mendapat restu daripada Kerajaan Sweden atas nama kebebasan menyuarakan pendapat dan pandangan tanpa mengira sensitiviti. 

Apatah lagi, pada 2020, Paludan telah dijatuhi hukuman penjara sebulan selepas menyiarkan video anti-Islam di media sosial rasmi partinya. 

Walaupun beliau telah membuat rayuan terhadap sabitan itu, Mahkamah Tinggi Denmark masih mengekalkan keputusan tersebut.

Saya mengambil maklum bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan ini. 

Namun, selaku pemimpin di antara negara-negara Islam, saya ingin menggesa kepada Kerajaan Persekutuan agar bertindak dengan mengambil tindakan serius dengan menyatakan pendirian melalui penghantaran nota bantahan diplomatik pula kepada Kedutaan Sweden di negara ini. 

Nota ini harus dibuat bagi menzahirkan manifestasi kebencian umat Islam di negara kita terhadap tindakan jelik Paludan itu.

Gesaan saya untuk bertindak dengan menghantar nota bantahan diplomatik ini bagi mempamerkan suara umat Islam secara lebih tegas memandangkan siri-siri penghinaan agama Islam di negara-negara Barat semakin menjadi-jadi pada dekad ini. 

Mereka yang kebanyakannya adalah ahli politik bertopengkan atas nama kebebasan sebenarnya bertindak sedemikian bagi meraih sokongan dan perhatian rakyat mereka tanpa memikirkan kesannya kepada sensitiviti penganut agama Islam di seluruh dunia.     

Oleh itu, saya melahirkan harapan agar usaha menyerahkan nota bantahan diplomatik ini dibuat secepat mungkin agar ia selari dengan tindakan negara Islam yang lain seperti Turkiye yang telah memanggil Duta Sweden di Turkiye ke Kementerian Luar Negeri Turkiye bagi mendapatkan penjelasan berkenaan isu ini. 

Saya khuatir jika tiada usaha yang tegas dibuat oleh negara-negara Islam selepas ini, tindakan-tindakan menghina agama Islam akan menjadi satu normalisasi dunia dan generasi umat Islam akan hilang perasaan bertanggungjawab dalam mempertahankan agama Islam yang suci.

“Malaysia Sejahtera”

YB USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB
Ahli Parlimen Parit – HARAKAHDAILY 24/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -