Pemimpin sayap kanan Belanda pula hina al-Quran

Edwin Wagensveld sebelum mengoyak helaian dari kitab al-Quran.
- Advertisement -

AMSTERDAM: Edwin Wagensveld dari pergerakan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat (Pegida), menjadi pemimpin sayap kanan Eropah terbaharu melakukan penghinaan terhadap Islam dengan mengoyak dan membakar al-Quran di Belanda.

Di Twitter, Edwin Wagensveld berkongsi video tindakan provokasinya di hadapan bangunan Parlimen di The Hague.

Pihak berkuasa polis tempatan dilaporkan memberinya kebenaran untuk melakukan perbuatan itu dengan syarat dia tidak membakar kitab suci umat Islam itu.

- Advertisement -

Bagaimanapun, video Wagensveld menunjukkan bahawa dia kemudian membakar muka surat al-Quran yang dikoyakkan dalam kuali.

Oktober lalu, polis Belanda menahannya sebelum dia sempat membakar al-Quran ketika perhimpunan yang dihadiri sekumpulan kecil penyokong Pegida di Rotterdam.

Provokasi terbaharu ini menyusuli protes Islamofobia yang sama di Sweden, Sabtu lalu apabila pemimpin anti-Islam, Rasmus Paludan, membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm dengan anggota polis berada di sekelilingnya.

Di Istanbul, Kementerian luar Turkiye, memanggil duta Belanda ke negara itu berikutan kejadian yang menyasarkan kitab suci Islam, beberapa hari selepas kejadian sama di Sweden yang meningkatkan ketegangan hubungan antara kedua-dua negara.

“Ini adalah mengenai kebebasan bersuara dan saya fikir sepatutnya boleh dilakukan di Belanda,” kata Wagensveld dalam video yang disiarkan di laman portal akhbar Belanda, Algemeen Dagblad.

Kementerian Luar Turkiye dalam kenyataan media mengutuk `serangan keji’ itu sebagai bukti Islamofobia, diskriminasi dan xenofobia di Eropah.

Kementerian itu memberitahu duta Belanda bahawa Turkiye mahu langkah pencegahan konkrit untuk menghalang dan tidak membenarkan kejadian serupa pada masa depan, selain menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Wagensveld.

Hubungan antara Turkiye dan Belanda renggang pada 2017 apabila pihak berkuasa Belanda menghalang pegawai Turkiye berkempen untuk referendum dalam kalangan penduduk Turkiye di sana. Presiden Recep Tayyip Erdogan, membandingkan tindakan Belanda seperti Nazi, selain menarik balik duta dari negara itu.

Sabtu lalu, seorang aktivis anti-Islam berhaluan kanan membakar al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm. Turkiye mengecam keras tindakan itu dan Sweden kerana membenarkan tindakan itu. Erdogan turut mengisytiharkan bahawa Sweden tidak boleh mengharapkan sokongan Turkiye untuk menyertai NATO. – ANADOLU/AP

- Advertisement -