Islamofobia: Berniat jahat bukan kerana benar

- Advertisement -

FOBIA ialah rasa ketakutan yang melampau terhadap sesuatu perkara atau fenomena. Fobia juga dikatakan boleh menghalang kehidupan para penghidapnya mengetahui sesuatu hakikat yang sebenar. Pemerhati fobia menggunakan bahasa logik, sementara penghidap fobia biasanya menggunakan bahasa rasa tanpa menggunakan akal.

- Advertisement -

Bagi seorang pemerhati fobia, dirasakan lucu jika seseorang itu berbadan besar dan takut dengan haiwan yang kecil seperti lipas atau tikus. Sementara di bayangan mental seorang penghidap fobia, ia menjadi benda yang sangat besar dan menakutkan.

Dalam keadaan normal, setiap orang memiliki kemampuan untuk mengendalikan rasa takut. Akan tetapi, bila seseorang terdedah kepada fobia secara terus menerus, ia berpotensi menyebabkan berlakunya suatu keadaan di mana mental seseorang menjadi terkunci. Ini disebabkan oleh ketidakmampuan seseorang dalam mengendalikan perasaan takutnya sehingga berlaku salah anggap.

Kini, fobia dikaitkan dengan Islam, walaupun negara besarnya telah berjaya ditumbangkan dan hari ini genap 100 tahun Perjanjian Lausanne (Treaty of Lausanne) yang dimeterai pada tahun 1923.

Perjanjian tersebut telah menghina umat Islam selepas dihilangkan Khilafah ‘Uthmaniyyah oleh Kamal Ataturk di Turki yang digerakkan oleh musuh Islam. Setelah dunia Islam dijajah dan dibelasah oleh Barat, mereka membahagi-bahagikan seluruh wilayah sesama mereka.

Apa yang dilakukan itu laksana membahagikan harta pusaka nenek moyang mereka, dengan semangat Perang Salib yang masih berkobar-kobar yang belum dihentikan sehingga kini. Namun, ketakutan kepada Islam masih berlaku.

Beberapa tokoh ilmuwan dan politik Barat membuat kenyataan melampau mengenai bahaya pengaruh Islam yang tidak boleh dihapuskan, sehinggakan dilancarkan serangan ketenteraan yang bertubi-tubi dengan menggunakan segala senjata secara melampau seperti yang berlaku di Afghanistan, Iraq, Yaman, Syria dan lain-lain.

Kini, serangan diteruskan dengan menggunakan media baru secara sangat melampau bagi menyebarkan Islamofobia,  apabila Islam dituduh melampau.

Pada awalnya, Islamofobia lebih disebarkan dalam masyarakat Barat, kemudian dibawa ke dalam masyarakat Islam yang jahil pada zaman penjajah bagi menghalang kebangkitan semula Islam dan umatnya. Pada masa yang sama, bagi menutup kegagalan ideologi ciptaan manusia di Timur dan Barat. Islam diberikan gambaran yang salah dan fitnah yang menakutkan walaupun umatnya dianggap lemah dan mundur.

Terkini Islamofobia disebarkan kepada masyarakat di negara umat Islam yang hidup bermasyarakat majmuk, khususnya dalam kalangan bukan Islam. Termasuk apa yang berlaku di Malaysia bagi tujuan adu domba dan menghalang kuasa kembali semula kepada Islam yang sebenar sehingga berjaya memerintah negara.

Isu Islamofobia ialah senjata baru serangan pemikiran terhadap Islam khususnya oleh kerajaan ciptaan penjajah. Begitu juga, parti politik, kumpulan sekular dan individu yang bermusuh terhadap Islam, khususnya melalui media tanpa sempadan yang tidak dapat menyembunyikan permusuhannya terhadap Islam secara jahil atau jahat.

Al-Quran sebagai kitab mukjizat ilmu yang berkekalan telah menyebutkan firman Allah SWT sejak 15 abad yang lalu, sebagaimana firman-Nya:

﴿…وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْ…٢١٧﴾

“…Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) memurtadkan kamu (umat Islam) daripada agama kamu (keluar daripada Islam), seandainya mereka mampu…” (Surah al-Baqarah: 217)

Firman Allah SWT:

﴿وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ١٠٩﴾

“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat memurtadkan kamu (kepada kekafiran setelah kamu beriman), kerana dengki yang (timbul) dalam diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka, maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 109)

Keadaan itu berlaku, disebabkan kedengkian dan kezaliman terhadap Islam dan para penganutnya, bukannya dengan tujuan mencari kebenaran. Padahal kedatangan nabi akhir zaman yang membawa Islam itu telah disebutkan dalam semua kitab suci agama.

Islam berjaya menyelamatkan pelbagai bangsa daripada kezaliman dan belenggu kejahilan dengan kejayaan tamadun Islam yang cemerlang pada zaman keemasannya. Namun, Islam dan umatnya pula yang dipersalahkan. Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya bersabar menghadapi kejahatan dan kezaliman musuhnya, kerana Islam membawa mesej menyelamatkan seluruh manusia (Islam for All).

Kebenaran Islam itu sangat kebal dan tidak mungkin dapat ditembusi oleh fitnah yang dilemparkan terhadapnya. Kebenarannya akan ternyata, sekiranya dikaji ajarannya secara ikhlas dengan tujuan mahu mencari kebenaran, termasuk melalui dialog secara ilmu tanpa fanatik, nescaya terbongkar siapa benar dan siapakah yang salah dan sesat.

Maka, disebabkan itu mereka sangat takut untuk berdialog atau berdebat secara bersemuka. Termasuklah ditutup pengamalan konsep demokrasi yang sebenar kepada Islam, apabila disekat kebebasan bersuara dan sesiapa yang menulisnya juga diganggu.

Apabila seluruh ajaran Islam dilaksanakan dengan sempurna, nescaya kebenarannya akan lebih nyata. Sejarah telah membuktikan pengaruh Islam kepada manusia tersebar di mana sahaja kerajaannya ditegakkan, seperti di Asia Tengah, Asia Tenggara, sehingga Utara Afrika, Selatan Eropah dan Timurnya.

Islamofobia berhujah dengan tulisan kebencian dan permusuhan terhadap Islam, khususnya oleh para orientalis yang mengkaji bukan bersumberkan ilmu Islam yang sebenar daripada al-Quran, hadis (huraian Rasulullah SAW) dan para ulama’ yang muktabar (ilmuwan Islam yang menjaga adab ilmu).

Islamofobia hanya berhujah dengan tulisan para orientalis yang mengkaji Islam secara menebuk dengan tujuan mencari kesalahan dan kelemahan ajaran Islam pada pandangan akal manusia yang lemah.

Ajaran Islam diambil secara tidak jujur, terpilih dan tidak sempurna atau melalui laporan yang bohong dan tidak mengikut budaya ilmu yang berakhlak murni untuk mencari kebenaran. Di sana, ramai juga yang mengkaji Islam itu memeluk Islam kerana benar-benar mengetahui kebenarannya.

Antara tumpuannya ialah hukum halal dan haram tanpa dijelaskan dengan tafsiran yang sebenar atau tafsiran yang tidak lengkap dan diselaputi dengan salah faham, bagi mengelirukan hakikat yang sebenar. Mereka menonjolkan beberapa hukum syariat Islam (undang-undang Islam) khususnya hukum jenayah seperti qisas, hudud dan takzir supaya dianggap ganas tanpa dilihat kepada penjenayah yang paling ganas yang wajib dihukum dengan keras bagi mendidik penjenayah dan menjaga masyarakat umum.

Mereka mengetepikan prinsip kehakiman Islam, konsep dan sistemnya yang menjamin keadilan yang sebenar.

Lalu dikelirukan sejarah peperangan untuk menentang Islam oleh musuhnya sebenar yang ganas dan zalim, tetapi umat Islam yang mempertahankan agama, umat dan negaranya pula dipusing menjadi ganas dan zalim. Umat Islam yang menentang penjajah asing yang menceroboh dianggap lanun, penjajah pula dianggap pejuang kebebasan.

Walaupun Islam menetapkan batas sempadan, adab dan akhlak Islam dalam peperangan supaya tidak melampau dan zalim, ajaran Islam itu banyak dijiplak secara diam-diam oleh pencipta undang-undang dan piagam antarabangsa sehingga hari ini.

Al-Quran mewajibkan umat Islam agar berlaku adil terhadap seluruh manusia kerana itu merupakan amanah yang besar. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menunaikan semua amanah kepada kalangan yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

Bahkan, juga diwajibkan berlaku adil terhadap musuh, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَئآنُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Kalau dikaji hukum halal dan haram secara saintifik dan hikmahnya, akan didapati semua perkara yang haram itu mendatangkan mudarat kepada jasad manusia, roh, akal, keluarga, masyarakat dan alam sekitar. Adapun semua perkara yang halal itu tidak mendatangkan mudarat, namun dilarang melampau. Firman Allah SWT:

﴿قُلۡ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ ٱلۡفَوَٰحِشَ مَا ظَهَرَ مِنۡهَا وَمَا بَطَنَ وَٱلۡإِثۡمَ وَٱلۡبَغۡيَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّ وَأَن تُشۡرِكُواْ بِٱللَّهِ مَا لَمۡ يُنَزِّلۡ بِهِۦ سُلۡطَٰنٗا وَأَن تَقُولُواْ عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٣﴾

“Katakanlah: ‘Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, sama ada yang nampak dilihat ataupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui.’” (Surah al-A‘raf: 33)

Salah satu contohnya, arak diharamkan dengan hukuman yang keras kerana ia merosakkan akal yang mulia, di samping menyebabkan penyakit jasad, keluarga dan masyarakat. Walhal, akal yang dikurniakan kepada manusia itu patut digunakan kepada perkara yang baik tanpa disia-siakannya.

Akan tetapi, Islam dianggap melampau kerana telah mengharamkan arak, walaupun tidak dihalang kepada penganut agama lain untuk meminumnya dan dihalalkan oleh agama mereka. Begitulah juga seperti haramnya daging babi, berzina, riba, judi dan lain-lain.

Salah anggap juga berlaku terhadap undang-undang syariat Islam yang berkait dengan hukuman qisas, hudud dan takzir, iaitu kesalahan jenayah agama, nyawa, akal, maruah, keluarga dan harta yang menjadi rukun hidup bagi mengawal kemuliaan manusia.

Maka, Islam dianggap melampau dan ganas. Namun, mereka yang membiarkan manusia menjadi lebih liberal dan ganas daripada binatang, sama ada hukumannya ringan atau dibebaskan tanpa tindakan undang-undang.

Walaupun undang-undang Islam itu sukar untuk menjatuhkan hukuman kerana syarat-syaratnya yang banyak dan ketat dari aspek kehakiman, penyiasatan, saksi sehinggalah hukuman. Hal ini sekali gus menjadikan sukar untuk dijatuhkan hukuman, tetapi hukumannya sangat mendidik penjenayah agar menjadi insaf dan menyedarkan masyarakat, namun hukum Islam tetap dianggap ganas juga.

Adapun dengan berpandukan akal, mereka mencipta hukuman ringan yang tidak memberikan keinsafan dan hanya mendidik untuk lebih bersimpati kepada penjenayah bukannya terhadap mangsa jenayah. Malah, mereka mencipta hukum yang sebenarnya ganas seperti hukuman bunuh mandatori digantung dan dicekik dengan tali yang menyeksakan mengikut hukuman purba.

Selain itu, mereka mengenakan hukuman sebat yang menyeksa dan mencacatkan, namun kadar jenayah bertambah juga, sehinggakan laksana banjir yang tidak dapat dibendung lagi.

Berbanding dengan hukuman syariat yang diwajibkan agar beradab dan mendidik. Dijatuhkan hukuman bunuh serta hukuman sebatan yang tidak menyeksa dan mencacatkan jasad tetapi hanya memalukan. Pada masa yang sama, dikenakan hukuman takzir yang tidak mandatori bunuh dan lain-lain seperti kesalahan dadah. Adapun perkara yang tiada nas pula diserahkan kepada kebijaksanaan pemerintah bagi menghukum dan mendidik.

Peperangan dibenarkan, bahkan diwajibkan oleh Islam apabila ada sebabnya yang adil kerana menentang pencerobohan atau kezaliman yang melampau. Namun, ia diwajibkan berlaku secara tidak melampau apabila bertindak untuk berperang. Hal ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ١٩٠﴾

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)

Maka, diharamkan bersikap melampau dalam peperangan dengan arahan-arahan tidak boleh membunuh mereka yang tidak terlibat dengan peperangan seperti orang tua, kaum wanita, kanak-kanak, orang awam, para paderi dan sami di rumah ibadat. Termasuk juga tidak boleh memusnahkan harta awam dan tempat pencarian mereka seperti kebun dan kedai.

Berdasarkan hukum Islam, sekiranya seseorang itu melampau akan dikira berdosa dan wajib membayar diat (pampasan ganti rugi).

Bandingkan tindakan Israel terhadap peristiwa tembakan pesawat awam Libya dan tembakan Amerika terhadap pesawat awam Iran di Teluk yang menjadikan undang-undang antarabangsa laksana sarang labah-labah bagi menahan serangga yang lemah. Namun, ia boleh dirempuh oleh helang yang besar, prinsip undang-undang di rimba, siapa yang kuat maka dia selamat.

Silakan buat perbandingan yang jauh antara Fathu Makkah dan peperangan Islam dalam sejarah Islam dengan Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua oleh Barat dan sekutunya. Begitu juga, bandingkan dengan kemenangan komunis dalam Kesatuan Soviet, China, Perang Vietnam, Kemboja dan lain-lain.

Islam mengharamkan umatnya daripada mencincang mayat di medan perang. Bahkan, diwajibkan agar menjaga tawanan perang dengan baik dan memberikan nafkah kepada sesiapa yang ditugaskan menjaga tawanan itu.

Terlebih dahulu, amaran awal diberikan selama tiga hari sebelum dilancarkan serangan, sama ada ingin berdamai atau berperang, kecuali ada tanda yang musuh mahu menyerang lebih dahulu atau sudah menceroboh.

Kedatangan Islam bukan berkonsepkan penjajah, tetapi berdakwah tanpa paksaan dan menyelamatkan rakyat yang dizalimi. Islam juga mendahulukan perdamaian daripada peperangan, sehingga menerima tawaran perdamaian ketika berperang dengan perintah Allah dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya:

﴿وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٦١﴾

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Tuhan yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Anfal: 61)

Islam diterima oleh rakyat kerana berkebajikan. Islam juga menghapuskan amalan feudalisme melalui penguasaan golongan bangsawan terhadap rakyat para petani dan peniaga, apabila mereka memasuki ke mana-mana negara. Semua itu adalah berdasarkan perintah Allah SWT:

﴿مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٧﴾

“Apa sahaja harta rampasan fai’ (diambil selepas berperang atau berdamai) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal daripada penduduk kota-kota, maka ia adalah untuk Allah, untuk rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar antara orang-orang kaya sahaja antara kamu. Apa yang diberikan rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat keras hukuman-Nya.” (Surah al-Hasyr: 7)

Islam telah mendahului Piagam Geneva dengan mewajibkan diberikan perlindungan kepada para pendatang daripada negara lain yang dizalimi. Hal ini sebagaimana perintah Allah SWT:

﴿وَإِنۡ أَحَدٞ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ يَسۡمَعَ كَلَٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُۥۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡلَمُونَ٦﴾

“Dan jika seorang antara orang-orang Musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah ia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.” (Surah al-Tawbah: 6)

Oleh itu, tiada alasan sedikit pun untuk fobia terhadap Islam, sekiranya dikaji semua ajarannya dengan jujur daripada rujukan yang asli, bukan tiruan dan penipuan.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 1 Rajab 1444 / 23 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 23/1/2023

- Advertisement -