Kemasukan ahli Umno perkuatkan sokongan kepada PN

- Advertisement -

KUALA PILAH: Gelombang kemasukan ahli Umno dalam parti komponen PERIKATAN NASIONAL (PN), terutama PAS bakal memberi impak kemenangan kepada PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, tahun ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, berkata situasi sekarang akan menguatkan momentum gelombang sokongan rakyat kepada PN seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Di Negeri Sembilan, katanya PAS menerima ahli baharu dari Umno bahagian Seremban yang diketuai oleh bekas Ketua Pemuda Umno bahagian itu, Zool Amali Hussin.

Katanya, gelombang baharu ini dilihat menyambut gelombang sedia ada pada PRU15 dan percaya penyertaan mereka dalam PAS, terutama di negeri ini merupakan bukti jelas bahawa ahli Umno sendiri sudah mula tidak dapat menerima apa yang berlaku dalam parti mereka.

“Tindakan pimpinan utama Umno, terutama Presiden untuk bersama Pakatan Harapan (PH) sedangkan keputusan Perhimpunan Agung Umno sendiri menolak Anwar, menolak DAP.

“Ini membuktikan bahawa apa yang mereka janjikan hanya untuk menarik pengundi. Namun selepas menang, mereka mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Semarak Gelombang Rakyat Bersama PN di Ladang Alam Warisan, Kampung Tengah, Seri Menanti di sini, semalam.

Pada majlis ini, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menyampaikan sijil keahlian PAS kepada mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Mohammad Fairus Khairudin; mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Seremban, Zool Amali Hussin dan penyanyi Dayangku Intan.

Rafiei berkata, program ini bertujuan untuk meningkatkan momentum sokongan rakyat kepada PN bagi menghadapi PRN di enam negeri, termasuk Negeri Sembilan tidak lama lagi.

“Alhamdulillah saya melihat sambutan di luar jangkaan. Ini merupakan petunjuk yang jelas bahawa rakyat di Negeri Sembilan, terutama di Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Menanti benar-benar memberikan sokongan dan juga menyambut baik gelombang PN sekarang,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai persediaan menghadapi PRN, Rafiei berkata PN Negeri Sembilan sudah mengadakan beberapa mesyuarat dan perbincangan.

“Walaupun belum lagi dapat memuktamadkan pembahagian kerusi, tetapi kita dapat lihat seperti yang berlaku pada PRU15 tempoh hari, kita tidak menghadapi masalah.

“Ini kerana parti komponen PN sentiasa berpegang kepada matlamat utama kita untuk memenangi PRN atas tiket PN. Soal pembahagian kerusi itu, insya-Allah dapat diselesaikan dengan baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/23

- Advertisement -