Pemimpin pusat datang negeri PN ‘tanpa beri salam’

- Advertisement -

PENDANG: Amalan menteri yang datang ke negeri diterajui pembangkang tanpa dimaklum kepada pemimpin kerajaan negeri kini menular semula sejak Putrajaya diterajui PH-BN.

- Advertisement -

Mengulangi kaedah serupa seperti diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika menerajui negara sejak merdeka sehingga 2018.

Sedangkan pada penggal lepas di bawah kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Keluarga Malaysia, kehadiran pemimpin pusat turut dimaklum kepada kerajaan negeri.

Minggu lepas Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim datang ke Terengganu juga tanpa dimaklumkan kepada pimpinan kerajaan negeri.

Situasi itu berlaku juga di Kedah apabila majlis penyerahan Hospital Pendang Khamis lepas tidak dijemput pemimpin kerajaan negeri dan wakil rakyat tempatan.

Program itu difahamkan hanya melibatkan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa tanpa mengundang pemimpin kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, tindak tanduk pemimpin kerajaan pusat sekarang seumpama ‘tetamu masuk rumah kita tidak pandai beri salam’.

Katanya kerajaan persekutuan sewajarnya bersikap lebih terbuka dengan melibatkan semua pihak tanpa mengira idelogi politik.

“Sepatutnya Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijemput bersama atau paling tidak Exco Kesihatan, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman.

“Apa alasannya.. Adakah kerana Kedah politik tidak seiring dengan kerajaan pusat?” katanya pada hantaran di media sosialnya.

Menurutnya juga sikap tersebut boleh memberi gambaran tidak baik terhadap Perdana Menteri ke-10 yang baharu sahaja mengambil alih teraju pentadbiran Putrajaya.

Oleh itu katanya kerajaan PH-BN perlu amalkan budaya politik lebih matang. – HARAKAHDAILY 16/1/2023

- Advertisement -