Arak: Pemuda PAS Gombak lapor polis Exco PH Selangor

- Advertisement -

GOMBAK: Kebiadaban pemimpin DAP yang sering memprovokasi sensitiviti umat Islam perlu dihentikan segera sebagai menghormati Islam agama rasmi negara.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Gombak, Mohamad Suffi Kamari berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Teng Chang Kim yang menghina agama Islam berhubung bantahan promosi jualan arak secara terbuka oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Md Jan jelas mengguris perasaan umat Islam.

“Saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak, pihak polis mengambil keterangan hampir sejam lebih berhubung isu yang membabitkan Exco Kerajaan Negeri Selangor tersebut.

“Chang Kim memuat naik satu hantaran di Facebooknya yang menyatakan bahawa kalau ‘kamu tak minum dan kamu mabuk itu masalah kamu bukan masalah arak, sia-sia kamu sembahyang’.

“Kenyataan itu dia paparkan kepada hantaran Ustaz Fawwaz yang membantah Sunway Carnival Mall di Seberang Jaya, Pulau Pinang mempromosi jualan arak secara terbuka,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD), Bukit Idaman, Selayang petang semalam.

Turut hadir Ketua Pemuda, PAS Kawasan Gombak, Dr Firdaus Azim. dan Exco Dewan Pemuda PAS kawasan berkenaan Muhammad Rashidi Abdul Hamid.

Mohamad Suffi juga berkata, laporan itu dibuat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Akta 233 Akta Multimedia dan Komunikasi.

Jelas beliau, laporan polis itu dilakukan untuk memberi kesedaran kepada mana-mana pemimpin politik khususnya DAP untuk menjaga sensitiviti agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

“Jadi kita nak bawa kesedaran tak boleh nak biarkan lagi Exco terbabit mencebik mulut dan menulis yang bukan-bukan. Malah dia telah memadam hantaran tersebut, mungkin atas dasar nasihat peguam mereka,” ujarnya.

Dalam masa yang sama beliau menjelaskan pihaknya ingin mengubah persepsi masyarakat khususnya yang bukan beragama Islam terhadap isu penjualan minuman beralkohol.

“Kita bukan nak menghalang orang jual arak itu tak betul, tapi kita perlu bersuara jika penjualan arak dibuat secara terbuka di kawasan majoriti umat Islam, itu yang kita marah, bila kita bantah dia kata kita rasis, itu kena betulkan persepsi itu.

“Contoh di Kelantan lebih 30 tahun PAS memerintah tidak diharamkan pun penjualan arak, mereka masih diberikan lesen untuk menjual arak secara tertutup dalam kelompok mereka, ini yang kita mahu.

“Tetapi berbeza di Seberang Jaya kerana 66 peratus penduduk Melayu jadi logiklah, memang ada asas bantahan dibuat kerana ketidaksenangan penduduk terhadap isu arak dan judi,” katanya.

Beliau turut mendesak Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution bertindak secara adil dan saksama berhubung tindakan laporan polis terhadap salah seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Jadi kita minta desak Kementerian Dalam Negeri untuk berlaku adil. Jika ini kerajaan perpaduan, kerajaan yang melaungkan agenda reformasi, ini adalah asaanya bahawa setiap laporan diambil tindakan segera,” kata beliau.

Beliau turut menggesa orang ramai tampil kehadapan menyatakan bantahan terhadap kebejatan dan keceluparan pemimpin DAP.

Sementara itu Muhammad Rashidi turut menyifatkan tindakan pemimpin DAP terbabit melanggar kontrak sosial dalam Perlembagaan Persekutuan kerana menghina Islam serta penganutnya.

Katanya, Perkara 3(1) jelas menyebut bahawa Islam adalah agama persekutuan, yang menuntut semua rakyat termasuk orang Melayu, Cina, India dan termasuk orang yang datang daripada luar perlu menghormati Islam sebagai agama persekutuan.

“Saya kira hantaran yang dibuat pemimpin DAP terbabit tidak wajar dan biadab terhadap orang Islam. Kami hormat hak anda untuk minum arak tetapi dalam masa yang sama jangan kamu tidak menghormati kami sebagai orang Islam dan agama ini agama persekutuan,” tegasnya.

Justeru, beliau menggesa Exco Kerajaan Negeri Selangor itu segera memohon maaf secara terbuka kerana menghina Islam. – HARAKAHDAILY 14/1/2023

- Advertisement -