Aktiviti penambakan pasir jejas pendapatan nelayan

- Advertisement -

TANGGA BATU: Pendapatan nelayan di sepanjang Pantai Kelebang, Balik Bukit, Pantai Puteri dan Pantai Kundor kini terjejas akibat aktiviti penambakan pasir.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, nelayan terbabit meluahkan hasil tangkapan berkurangan sekarang sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

“Sosio ekonomi nelayan sepanjang pantai di Melaka akhir-akhir ini teruk terjejas kesan aktiviti penambakan pasir,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Petang semalam beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon di Pejabat Perikanan Negeri di Batu Berendam.

Oleh itu kata beliau langkah alternatif perlu diusaha bagi membantu nelayan terbabit termasuk mengadakan aktiviti rekreasi dan sukan memancing.

Menurutnya aktiviti tersebut boleh menambah menjadi sumber pendapatan tambahan kepada nelayan tempatan.

“Pengarah Perikanan Melaka juga memberitahu ikan-ikan yang berkualiti seperti ikan jenahak, ikan merah dan lain-lain spesis masih berada dalam lingkungan populasi terpelihara.

“Kebanyakan spesis tersebut berada pada jarak 8 hingga 12 batu nautika dari pantai,” tambahnya.

Bakri juga berkata, Jabatan Perikanan Negeri Melaka sedang membuat kajian potensi sukan memancing sebelum ia dilaksanakan.

Kata beliau program terbabit bukan sahaja dapat menambah pendapatan nelayan, sebaliknya menaik taraf sosio ekonomi penduduk dan peniaga yang tinggal di sepanjang pantai do Parlimen Tangga Batu. – HARAKAHDAILY 11/1/2023

- Advertisement -