2 beradik ditahan sedang asyik masak, proses dadah

Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri
- Advertisement -

IPOH: Dua adik-beradik lelaki yang sedang asyik memasak dan memproses dadah ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampar pada Isnin lepas.

- Advertisement -

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata bertindak hasil risikan dan maklumat orang awam, suspek berumur 44 dan 45 tahun itu ditahan dalam serbuan 4 petang bersama beberapa jenis dadah antaranya heroin dan syabu di rumah itu.

“Siasatan mendapati rumah terbabit dijadikan makmal memproses dadah sejak Disember lepas untuk kegunaan pasaran tempatan.

“Selepas diperiksa, terdapat kira-kira 40 kilogram heroin bernilai mencecah RM600,000 selain cecair disyaki dadah bernilai RM60,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati sebuah kenderaan jenis Honda City yang mempunyai pelekat orang kenamaan bertujuan mengaburi pihak berkuasa turut digunakan bagi mengedar dadah yang boleh digunakan untuk 85,000 penagih.

Beliau berkata keseluruhan dadah bersama harta yang disita dianggarkan bernilai RM715,782 dan kedua-dua suspek yang juga penganggur itu direman hingga 16 Jan ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

- Advertisement -