Penduduk hargai PAS bina semula jambatan roboh

- Advertisement -

SANDAKAN: Penduduk Kampung Forest yang ditimpa bencana air pasang meluahkan rasa syukur dan terima kasih di atas sumbangan berupa papan dan kayu yang diberikan oleh PAS untuk membina semula jambatan, pagi semalam.

- Advertisement -

Menurut penduduk yang dikenali dengan panggilan Sakkam, kebanyakan mereka terpancar kegembiraan di wajah setelah keperluan yang sangat diinginkan telah dipenuhi oleh PAS.

“Kami penduduk di sini berbanyak-banyak terima kasihlah atas sumbangan yang cukup besar bagi kami supaya jambatan di kampung kami ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata, beliau mewakili PAS Sandakan menghulurkan sumbangan tersebut bagi membina semula jambatan yang musnah akibat bencana berkenaan.

“Jambatan ini akan memberi manfaat kepada penduduk untuk urusan harian termasuk anak-anak ke sekolah, para pemuda serta ayah yang pergi bekerja, urusan ibu-ibu dan lain-lain.

“Saya berharap agar sumbangan ini dapat memberikan kelegaan buat penduduk yang bersusah payah mengeluarkan dana sendiri sebelum ini untuk membina jambatan,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Sandakan.

Beliau turut berharap agar lebih banyak pihak tampil khususnya wakil rakyat sekali gus membela nasib mereka yang amat memerlukan.

Pada 24 Disember lalu, lebih 100 rumah atas air dilaporkan roboh akibat dipukul ombak ketika fenomena air laut pasang besar

Kejadian yang berlaku pada 10.30 malam itu melibatkan dua kampung iaitu Kampung Forest dan Kampung Tinusa Dua.

Susulan kejadian itu, sebanyak 29 keluarga melibatkan 162 orang termasuk 53 kanak-kanak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2.

Di Kampung Tinusa Dua pula, 13 keluarga melibatkan 130 orang berlindung di masjid manakala keluarga lain berpindah ke rumah jiran yang berkedudukan lebih tinggi.

Lima jambatan turut roboh di itu namun tiada mangsa dilaporkan cedera. – HARAKAHDAILY 5/1/2023

- Advertisement -