Covid-19: Kerajaan tidak wajar ulangi kesilapan lalu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mencadangkan kerajaan persekutuan melaksanakan kawalan berterusan kemasukan pelancong China ke negara ini berikutan kes Covid-19 kembali meningkat di negara itu.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan tidak sepatutnya mengulangi kesilapan lalu dengan membiarkan pelancong masuk secara bebas tanpa sebarang kawalan.

Malah, katanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengambil tindakan wajar berhubung perkara itu bagi mengelak kejadian lama berulang.

Menurutnya, beberapa negara sudah membuat keputusan mengawal kemasukan pelancong dari China.

“Saya kira perkara yang sama perlu dipertimbangkan kerajaan Malaysia, mana lebih penting pendapatan melalui pelancong dengan keselamatan rakyat sendiri.

“Terdapat laporan peningkatan kes Covid-19. Jika perlu mereka dikenakan syarat ketat seperti memiliki sijil vaksinasi dan bukti kesihatan,” katanya selepas menghadiri majlis Amanat Khas Tahun Baharu Menteri Besar di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Pada majlis itu Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob melancarkan buku bertajuk Nazhafah Diri dan Integriti.

Mohd Amar juga berkata, rakyat negara ini mengalami kesan ekonomi yang teruk dalam tempoh dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Washington turut melaksanakan peraturan Covid-19 baharu kepada semua pengembara dari China yang ingin memasuki negara itu.

Komuniti antarabangsa bimbang mengenai perkembangan kes Covid-19 di China serta kekurangan data yang telus termasuk data penjujukan genom. – HARAKAHDAILY 5/1/2023