Pakistan tutup pasar, restoran awal untuk jimatkan tenaga

- Advertisement -

ISLAMABAD: Kesengsaraan akibat krisis ekonomi di Pakistan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berkurangan pada tahun 2023, apabila negara itu mengumumkan pelan penjimatan tenaga baharu dengan terpaksa menutup operasi pasar dan restoran lebih awal.

- Advertisement -

Susulan ekonominya yang rapuh dan terus bergelut dengan pelbagai cabaran, kerajaan negara Asia Selatan itu pada Selasa (3 Jan) telah mengarahkan semua pasar di negara itu ditutup pada jam 8.30 malam dan restoran pula menjelang  10 malam, lapor CNN merujuk tweet oleh parti pemerintah kerajaan Pakistan.

“Langkah berkenaan dijangka akan membantu Pakistan menjimatkan sebanyak 62 bilion rupee Pakistan (RM1.2 bilion),” ujar tweet berkenaan. 

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif juga telah mengarahkan semua jabatan kerajaan persekutuan mengurangkan penggunaan tenaga mereka sebanyak 30 peratus. 

“Negara ini berada di tengah-tengah krisis tenaga yang teruk dan sangat bergantung kepada bahan api yang diimport,” jelas beliau.

Pengumuman itu dibuat pada masa rizab pertukaran asing Pakistan telah berkurangan ke paras rendah yang membimbangkan. 

Pada Disember 2022, jumlah rizab pertukaran asing cair negara itu berjumlah RM51.5 bilion – separuh daripada jumlah yang dipegangnya pada awal tahun lalu.

Kewangan Pakistan juga mengalami keperitan kerana perbezaan pendapat dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai proses semakan, yang telah menangguhkan pengeluaran bantuan ‘tranche bailout’ sebanyak RM4.8 bilion.

“Kelangsungan ekonomi tanpa bantuan IMF bukanlah satu pilihan memandangkan skala keperluan pembiayaan luar,” ujar penganalisis di firma penyelidikan yang berpangkalan di Karachi, Arif Habib dalam satu laporan baru-baru ini.

Terdahulu, Pakistan telah mencuba beberapa langkah untuk menjimatkan tenaga pada tahun lepas yang termasuklah dengan mengurangkan minggu bekerja golongan pekerja di negara itu. – HARAKAHDAILY 4/1/2023

- Advertisement -