‘Masyarakat Siam hidup harmoni, kami bukan Taliban’

- Advertisement -

PASIR MAS: Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang dilaksanakan di Kelantan sejak lebih 32 tahun lalu tidak pernah meminggirkan masyarakat non-Muslim.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, perpaduan antara kaum masih subur di bumi Kelantan.

Katanya, dasar-dasar yang digariskan sejak berpuluh tahun lalu dipasak kukuh merangkumi prinsip toleransi, keadilan, kebajikan dan belas ihsan kepada golongan bukan Islam.

“Prinsip utama melayani orang bukan Islam hendaklah diberi layanan sama rata dengan umat Islam.

“Penduduk non-Muslim berhak mendapat perlindungan dalam negara Islam merangkumi perlindungan daripada pencerobohan luar dan kezaliman dari dalam negara,” katanya pada kenyataan di sini.

Sebelum itu Mohd Nassuruddin yang juga Adun Meranti menyampaikan bantuan kepada masyarakat Siam di Kampung di Lubuk Batil. (Foto atas)

Menurutnya juga penduduk bukan Islam berhak menikmati keamanan dan kestabilan hidup serupa dikecapi orang Islam.

Kata beliau juga penduduk Siam yang terjejas akibat banjir turut disantuni dengan sebaik mungkin.

“Masyarakat Siam hidup harmoni di Dun Meranti. Ini menjelaskan keadaan sebenar kami (PAS) bukan Taliban atau ekstrem seperti yang cuba digambarkan pihak tertentu sebelum ini,” ujarnya.

Ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 seorang pemimpin DAP dilapor memberi amaran Malaysia akan menjadi seperti ‘negara Taliban’ sekiranya dikuasai PERIKATAN NASIONAL (PN). – HARAKAHDAILY 26/12/2022

- Advertisement -