Laksana segera projek tebatan banjir fasa dua – Siti Zailah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Projek tebatan banjir fasa dua perlu dilaksanakan segera memandangkan ia keperluan yang mendesak dan tidak boleh ditangguhkan.

- Advertisement -

Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff ketika bertemu Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas selesai persidangan Dewan Rakyat, hari ini. Turut serta Ahli Parlimen Besut, Dato’ Che Mohamad Zulkifly Jusoh. (Foto atas)

Beliau turut berharap Kerajaan Campuran PH-BN perlu menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan banjir kerana ia menjadi faktor besar yang membawa masalah sewaktu musibah itu.

“Saya berharap ada penyelesaian segera oleh pihak Kerajaan Campuran PH-BN kerana kesan banjir ini banyak rumah-rumah mangsa yang rosak.

“Saya minta perhatian serius daripada Kerajaan Campuran PH-BN kepada rakyat di Rantau Panjang dan Besut,” katanya.

Harapan itu dinyatakan terus kepada Zahid berikutan usul berkaitan banjir yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Muar telah ditolak atas alasan ia dalam tindakan Kerajaan Campuran PH-BN.

Menurut Siti Zailah, dalam pertemuan yang tidak dirancang itu Zahid berjanji akan turun ke Besut dan Rantau Panjang untuk memantau sendiri keadaan banjir.

Beliau dimaklumkan peruntukan sebanyak RM400 juta akan disediakan untuk membantu mangsa banjir.

Ketika Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan telah bersetuju mempercepat projek tebatan banjir fasa dua membabitkan kos RM1.5 bilion.

Pada 2 Mac lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata projek berkenaan dijangka akan menyelesaikan masalah banjir yang melanda Pasir Mas dan Rantau Panjang yang merupakan sebahagian daripada daerah itu serta Tumpat.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat keadaan banjir di Jajahan Pasir Mas dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Gelang Mas, Pasir Mas.

Katanya, projek tebatan banjir fasa dua merupakan kesinambungan kepada projek fasa satu yang sedang berjalan di Rantau Panjang membabitkan kos RM600 juta.

“Projek tebatan fasa dua berjumlah RM1.3 bilion sedang diteliti untuk mendapatkan bajet. Kalau bajet lulus isu berkaitan banjir di tiga kawasan tersebut dapat diselesaikan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/12/2022

- Advertisement -