Ketandusan gol, tetapi Griezmann muncul pemain terbaik

Antoine Griezmann
- Advertisement -

Antoine Griezmann, 31, mengenepikan kritikan terhadapnya sebagai penyerang yang masih gagal menjaringkan gol di Piala Dunia Qatar dengan memainkan peranan lebih besar, membantu Perancis mara ke final Piala Dunia berturut-turut.

- Advertisement -

Gol Theo Hernandez dan pemain gantian, Randal Kolo Muani, memastikan Perancis menang, tetapi aksi Griezmann di padang lebih menarik perhatian.

Penyerang Atletico Madrid itu tidak menjaringkan satu gol pun pada Piala Dunia di Qatar, tetapi mencipta beberapa peluang sambil bermain jauh di bawah dan naik ke atas memecah pertahanan lawan.

Ini mendorong Paul Pogba mencadangkan di Instagram bahawa Griezmann bermain seperti pemain tengah defensif Perancis yang cedera, N’Golo Kante, selepas prestasi keseluruhannya ketika menentang Maghribi, melayakkannya diiktiraf sebagai pemain terbaik perlawanan itu.

“Saya rasa bagus di kaki dan fikiran … apa yang saya lakukan ketika bercuti dan kemudian bersama Atletico Madrid memberi kebaikan, itulah yang saya perlukan. Saya cuba bantu pasukan sebaik mungkin seperti biasa,” kata Griezmann.

“Maghribi menakjubkan malam ini, mereka beraksi dengan sangat baik dari segi taktikal dan pertahanan. Pada separuh masa kedua, mereka mencipta banyak peluang.

“Namun, menjaringkan gol awal menjadikan perkara lebih mudah untuk kami. Gol kedua pula menjadikan lebih selesa untuk kami. Ia adalah permainan yang sukar. Kami akan mencuba dan belajar daripada ini.”

Antoine Griezmann menjadi arkitek kemenangan Perancis

Kemenangan ini membolehkan Perancis berdepan Argentina yang dipimpin Lionel Messi dalam perlawanan akhir di Stadium Lusail, Ahad ini.

“Mana-mana pasukan yang ada Messi akan menjadi berbeza. Kami melihat Argentina bermain, kami tahu cara mereka bermain, mereka pasukan yang sukar untuk dihadapi dan berada dalam prestasi terbaik,” kata Griezmann.

“Mereka mempunyai pemain yang kuat di sekeliling Messi. Kami tahu mereka akan mendapat banyak sokongan penonton. Kami akan lihat cara untuk menyakiti mereka dan cara ketika bertahan. Kami akan bersedia dengan baik.

“Kami boleh mencipta sejarah, tetapi masih ada perjalanan yang sangat panjang, 90 minit atau lebih. Anda perlu mengekalkan kaki anda di atas tanah.”

Bagi Griezmann, perlawanan Ahad ini adalah final Piala Dunia kedua berturut-turut dan telah belajar mengawal emosinya selepas dia menangis ketika menewaskan Belgium pada separuh akhir Piala Dunia 2018.

“Menentang Belgium saya menangis, tetapi sekarang saya lebih fokus,” katanya.

“Saya memberi tumpuan kepada perlawanan akhir Ahad ini. Saya cuba memastikan kaki saya memijak tanah, kekal tenang, fokus pada pemulihan dan bersedia untuk perlawanan itu.” – REUTERS

- Advertisement -