TFC gugur 12 pemain musim depan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) mengumumkan pengguguran 12 pemain termasuk lima tonggak import daripada barisan yang akan membawa cabaran skuad itu di Liga Malaysia (Liga M) dan Piala Konfederasi Asia (AFC) musim depan.

- Advertisement -

Lima pemain import itu ialah Kipre Tchetche, Pape Diakite, Petrus Shetembi, Kpah Sherman dan Manuel Ott yang mengikut jejak langkah bekas ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain berhijrah ke Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Ab Rasid Jusoh berkata pemain tempatan yang digugurkan pula ialah Mohd Sharmiza Yusoff, Shahrin Sapien, Azalinullah Alias, Nik Akif Shahiran Nik Mat, Muhd Arif Anwar, Mohd Hafizal Alias dan pemain sayap sensasi, Faisal Halim.

“Pengurusan kelab ingin berterima kasih atas jasa mereka ketika bersama TFC. Selamat maju jaya diucapkan untuk perjalanan karier mereka selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

TFC sebelum ini telah menandatangani kontrak bersama penyerang import kelahiran Haiti, Sony Norde. Turut dikekalkan pemain sayap, Faiz Nasir dan tonggak pertahanan, Arif Fadzilah Abu Bakar.

Dalam pada itu, TFC turut mengumumkan senarai enam pemain daripada pasukan ‘adik’, Terengganu FC ll (TFC ll) yang akan dinaikkan ‘pangkat’ ke skuad Penyu musim depan.

Mereka termasuk Safwan Mazlan, Aqil Irfanuddin Mohamad Sabri, Fazli Ghazali, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, Firdaus Rusdi dan Shafawi Mohamad.

“Pemain ini telah mempamerkan kualiti permainan yang cemerlang untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.

“Kesemua pemain telah disemak dan diuruskan oleh Jawatankuasa Teknikal TFC untuk didaftarkan bersama skuad utama musim depan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -