Inilah Keluarga Pertanian Negeri Terengganu

- Advertisement -

CABARAN terbesar sepanjang hampir lima tahun menerajui sektor pertanian Terengganu?

- Advertisement -

Tentunya tanpa ragu kita jawab, cabaran paling besar ialah untuk mengubah cara berfikir sama ada cara berfikir pegawai kerajaan serta rakyat.

Yang kita perlukan ialah sepasukan pegawai yang komited dan jujur, tidak sekadar mengemukakan laporan berbentuk kosmetik apabila diminta sedangkan realitinya jauh berbeza, ada kreativiti, bersegera dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan seterusnya melayan rakyat dengan sebaiknya.

Saya tidak kisah dengan pegangan politik masing-masing dalam kalangan pegawai, tapi mereka perlu menjadi pegawai yang berkhidmat dengan goverment of the day. Orang politik datang dan pergi silih berganti, pegawai akan berkhidmat sampai habis kontrak atau pencen.

Satu lagi saya tekankan, biarlah kita sebagai kakitangan kerajaan ada sense of belonging dengan tempat kita kerja cari rezeki. Pernah di awal pertukaran kerajaan dulu, saya tanya seorang pegawai, sebab apa kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) ini banyak semak samun? Dalam TKPM ini ramai peserta dan staf. Boleh beli racun rumpai dan buat gotong-royong. Jawapan beliau agak mencuit gegendang telinga. “Ini kawasan milik kerajaan, sepatutnya kerajaan keluarkan tender untuk kerja pembersihan!” Habis tu awak datang kerja 8 pagi hingga 5 petang buat apa? Semua benda nak harap tender.

Saya juga inginkan sekumpulan pegawai yang rapat dengan rakyat. Buka pintu pejabat seluasnya untuk melayan rakyat. Bila rakyat mari pejabat, tentunya ada urusan yang mereka perlu sempurnakan dan urusan ini hanya boleh buat di pejabat. Jangan biarkan mereka meninggalkan pejabat dengan hampa.

Buat kerja jangan bertangguh. Istilah saya, jangan ada file tidur atas meja. Biarlah file tidur atas rak dengan makna kerja telah siap dan file boleh disimpan. Kerja hari ini siapkan segera hari ini. Esok kerja baru akan datang. Bila kerja kelmarin belum siap, maka ia akan menimbun.

Follow up setiap tugas dan kerja sampai selesai. Jangan berhenti setengah jalan kemudian buat tak tahu. Nak kena tanya dulu baru kalut semula.

Saya juga tak berapa gemar dengan jawapan dalam mesyuarat menggunakan istilah ‘masih di peringkat kajian atau kerja dalam proses’. Setahun masa berlalu masih tak selesai lagi kaji. Bila nak mula kerja? Kalau masih dalam proses, perincikan peringkat mana sekarang? Proses reka bentuk, proses tender, proses nak masuk tapak atau proses apa?

Setelah melalui satu tempoh yang penuh cabaran, tahniah saya ucapkan kepada Team Pertanian Terengganu. Aspirasi ini dapat dihadamkan dengan baik dan diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan. Kami kini memiliki sebuah pasukan yang padu. Inilah Keluarga Pertanian Negeri Terengganu.

DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu – HARAKAHDAILY 13/12/2022

- Advertisement -