Padang Serai: PN menang dengan majoriti 16,260 undi

PADANG SERAI: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Azman Nasrudin berjaya memenangi kerusi Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan hari ini dengan majoriti 16,260 undi.

Advertisement

Beliau mendapat 51,637 undi mengalahkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang memungut 35,377 undi, Datuk C Sivaraj (BN – 2,983 undi), Sreanandha Rao (Bebas – 846), Hamzah Abd Rahman (Pejuang – 424) dan Mohd Bakhri Hashim (Warisan – 149).

Keputusan rasmi PRU15 Parlimen Padang Serai diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dato’ Abdul Bari Abdullah di pusat penjumlahan di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini.

Dengan kemenangan Azman yang juga Exco Kerajaan Kedah itu, menambahkan satu lagi kerusi PERIKATAN NASIONAL kepada 74 dan menjadikan kemenangan ke-14 daripada 15 kerusi Parlimen di negeri ini.

Proses pengundian PRU15 Parlimen Padang Serai yang sepatutnya diadakan pada 19 November lalu ditangguhkan susulan penyandang, M Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 November.

Karupaiya memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU14 lalu dengan majoriti 8,813 undi. – HARAKAHDAILY 7/12/2022