Ihtifal Alam Ria cungkil bakat murid PASTI

- Advertisement -

LAHAD DATU: Program Ihtifal Alam Ria merupakan platform terbaik bagi mencungkil bakat murid PASTI di Sabah.

- Advertisement -

Pengarah PASTI Negeri Sabah, Karim Dollah, berkata PASTI diwujudkan bukan sahaja untuk melatih pelajar dari segi akademik, malah menjadi platform untuk mencungkil bakat mereka.

“Penerapan ilmu Islam, sahsiah serta akademik pada usia emas mampu menentukan kecerdasan pelajar pada masa hadapan dan PASTI adalah antara platform yang menerapkan perkara berkenaan.

“Namun perkara ini tidak dapat dicapai tanpa bantuan dan sokongan ibu-bapa yang amat diperlukan untuk bersama-sama membina kemenjadian murid PASTI ke arah yang lebih baik,” katanya ketika merasmikan Ihtifal Alam Ria PASTI Kawasan Lahad Datu, semalam.

Turut hadir Ahli Majlis Daerah Lahad Datu, Kanizam Kamis; Ketua Dewan Pemuda PAS Lahad Datu, Landari Labobo; Ketua Muslimat PAS kawasan, Nurmia Habba dan Ketua Penerangan PAS kawasan, Mohd Ahzam Che Mat yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang acara yang dipertandingkan.

PASTI An-Najah dinobatkan sebagai Johan keseluruhan bagi Ihtifal Alam Ria PASTI Lahad Datu 2022 apabila merangkul mata terbanyak daripada keseluruhan acara.

Sementara itu, Pengarah Program, Nazir Nazlan, pula berkata, program itu juga adalah tempat untuk membina kemahiran pelajar.

Katanya, ini bertepatan dengan seruan Allah SWT dalam Surah Al-imran ayat 104 yang menyeru untuk menjadi umat yang terbaik.

“Allah menyeru untuk mengajak umat manusia berbuat baik dan mencegah kemungkaran, dan sesiapa yang berbuat yang demikian maka merekalah umat yang terbaik.

“Melalui program begini, sudah pasti ia mengajak kepada kebaikan yang selaras dengan seruan Allah SWT dalam ayat tadi,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/12/2022

- Advertisement -