Suasana politik masih panas, teruskan munajat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Dengan suasana politik yang masih panas, saya berpesan kepada semua juga teruskan bermunajat untuk negara dan negeri tercinta,” kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak.

- Advertisement -

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyatakan demikian pada majlis ramah mesra bersama jentera parti dalam jamuan santai sempena Majlis Kesyukuran Kemenangan P.035 Kuala Nerus anjuran UDM Batu Enam malam tadi.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengarah dan saf kepimpinan UDM yang telah bekerja keras demi mempertahankan kerusi itu atas tiket PAS.

“Nasihat saya, jangan leka dan pastikan kita terus bekerja untuk rakyat dengan menjaga kebajikannya.

“Semoga segala gerak kerja yang dibuat dikira amal soleh di sisi-Nya, insya-Allah,” katanya yang juga Exco Kerajaan Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan 19 November lalu, beliau berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus yang dimenangi calon PAS pada PRU lalu dengan majoriti 29,765 undi.

Beliau memperolehi 56,697 undi, meninggalkan pesaing daripada BN, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (26,932 undi), Datuk Seri Suhaimi Hashim (PH – 3,708) dan Azaha Wahid (Pejuang – 291). – HARAKAHDAILY 3/12/2022

- Advertisement -