PM jadi Menteri Kewangan, tiada lagi fungsi semak, imbang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Kewangan dilihat sebagai satu langkah amat terkebelakang dalam sudut tadbir urus sebuah negara.

- Advertisement -

Naib Presiden Bersatu, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata, apabila Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan, maka tiada lagi fungsi semak dan imbang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, Pemimpin Pakatan Harapan sendiri dengan sedar tidak bersetuju pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan.

“Justeru, rakyat Malaysia yang memahami tentang tadbir urus negara pun tentunya tidak bersetuju. Perkara paling asas dalam sesebuah negara adalah mempunyai satu sistem tadbir urus yang mantap dan kukuh.

“Sistem ini akan dapat melindungi dan memastikan wang kerajaan digunakan secara keseluruhannya dengan cekap,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Katanya, pada 16 September 2015, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pernah menulis di Facebook (https://bit.ly/3H5Abuu) bahawa beliau memfailkan satu Rang Undang-undang Persendirian untuk menggubal satu akta menghalang seorang Perdana Menteri daripada melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan.

Radzi berkata, selain itu, di bawah Janji 12 dalam Manifesto Pakatan Harapan bagi PRU14, disebut bahawa ‘Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan Menteri lain, terutamanya Menteri Kewangan’.

Menurutnya, Perdana Menteri terakhir yang menjadi Menteri Kewangan ialah Datuk Seri Najib Tun Razak, malah Perdana Menteri selepas itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga tidak memegang portfolio Menteri Kewangan.

“Bahkan ketiga-tiga Perdana Menteri ini juga tidak memegang sebarang portfolio menteri.

“Apa yang saya lihat pada masa ini, Perdana Menteri banyak bercakap tentang perkara yang terlalu kosmetik untuk menyedapkan telinga rakyat.

“Sebaliknya perkara prinsip dalam struktur pentadbiran yang elok dibentuk sebelum ini bila mana Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan, diketepikan.

“Di mana ‘reformasi’ yang sentiasa dilaungkan? Adakah ‘reformasi’ hanya slogan bila jadi pembangkang?” katanya. – bersatu.org

- Advertisement -